Pagi-pagi lagi aku dikejutkan dengan kedatangan Mak Ngah Maziah bersama anak sudaranya Ady Farhan. Pelik juga aku kerana baru saja minggu lepas aku terserempak dengan Ady dan Mak Ngah di bandar Tangkak sewaktu aku keluar membeli-belah dengan ibu di sebuah pasaraya. Akrab benar mereka berdua? Hatiku mula tertanya-tanya sendiri. Syak wasangka mula bertandang tapi cepat-cepat aku usir tanggapan kurang enak yang bermain di fikiran.
"Masukklah Ngah....Ady. Langkah kanan korang berdua. Hani mintak sarapan nasi lemak sambal udang malam tadi sebelum dia berangkat ke KL hari ni." Bukan main suka lagi ibu mempelawa tetamu. Aku pula yang tersipu-sipu. Kerana nasi lemak sambal udang kegemaranku, namaku diungkit ibu.
"Wah! sedap tu makcik. Kegemaran saya jugak."
"Oh iya ke? Bertuahlah Ady. Sesuai sangatlah korang berdua ni. Sama saja citarasanya." Mak Ngah tersenyum simpul.
Aku kerutkan dahi.Eh! Eh?
"Hani ni, kalau dengan nasi lemak, sampai ke malam pun dia akan ulang makan. Tak pandang dah nasi putih dan lauk-pauk yang lain." Borak ibu lagi menambah rencah.
"Ibu......."Cepat-cepat aku memintas. Sudah-sudahlah tu ! Darah merah mula menyerbu ke wajah. Malu tak terkira.
Ady ketawa kecil dengan keramahan ibu bercerita. Wajahku dikerling dan dia tersenyum. Seperti biasa, aku alihkan anak mata ke arah lain.
Segera aku membantu ibu mengeluarkan pinggan dan cawan putih dari kabinet dapur. Setangkas yang mungkin aku hidangkan nasi lemak dalam mangkuk besar, sambalnya yang merah pekat, timun, ikan bilis, telur goreng mata kerbau dan tak kulupakan sambal udang kegemaranku yang kini bakal dikongsikan dengan Ady Farhan. Cawan berserta piring aku aturkan di depan tetamu yang siap menunggu di meja makan manakala ibu sedang membancuh seteko kopi panas.
"Jemput makan Ady.... Ngah. Ini ajelah yang ada," ibu berbasa-basi menjemput kakak dan tetamu jauh untuk menjamah hidangan yang sudah tersedia.
"Uih.... banyak sangat dah ni. Tengok pun dah tahu pun sedap. Bukan Ngah tak tahu,kamu tu lagi pandai masak dari Ngah." Mak Ngah berseloroh tak segan mempamerkan kekurangan diri.
Ady membaca doa makan dan kami mula menjamah nasi lemak air tangan ibuku yang kesedapannya di carta nombor satu dalam dunia.
"Pukul berapa Hani nak bertolak ke KL?" aku yang sedang mencuci pinggan yang digunakan tadi menoleh ke sebelah. Rupanya Ady tolong mengangkat pinggan kotor dari atas meja ke singki. Ringan tangan juga anak muda ini. Tapi... eh! Mana perginya ibu dan Mak Ngah? Macam berpakat-pakat pula tinggalkan kami berdua di ruang dapur ini.
"Insya-ALLAH lepas Zohor kalau tak ada apa-apa halangan. Hani tunggu Ijad dan papanya sampai dulu."
"Hani suka budak-budak?"
"Nak kata suka sangat tu, tak adalah. Tapi.... dah sebulan berkepit dengan Ijad,makin sayang pulak dengan dia." Selesai tugasku di singki, aku bergerak ke meja makan. Mengemas mangkuk dan baki pinggan yang masih di atas meja. Menutupnya dengan tudung saji dan mengelap meja dengan tuala dapur.
"Eh! Ady kenapatak naik atas lagi? Pergilah naik. Mak Ngah dan ibu ada dekat atas agaknya." Aku sedikit hairan melihat dia mengekori aku ke tepi meja makan pula. Tercengat memerhatikan gerak-geriku sambil berdiri.
"Saja tak nak naik dulu, dapat tengok Hani lama-lama. Ady suka Hani." Lurus dan telus dia berkata-kata. Tak berkias, tak berlapik apa-apa.
"Apa?" Terkejut sungguh aku. Kali ini aku memberanikan diri merenung wajahnya meminta penjelasan.
"Hani tak dengar ke tadi? Ady baru cakap, Ady suka Hani." Senyumannya... aduhai! kalau perempuan lain tengok, serta-merta akan cair agaknya. Tapi aku..... entahlah!