Bab 2

611 7 3
                                    

"Hani......."

Air mata di pipi segera aku seka dengan belakang tapak tangan dan menoleh pada ibu. Tak sedar, bila masanya ibu tinggalkan aku di tangga ini. Hayal dalam lamunan mengenangkan kisah lalu. Sebuah tragedi yang tak akan luput dari ingatan selagi hayat dikandung badan.

"Hani kata tadi nak mandi? Apa lagi yang dimenungkan tu? Lah! Hani menangis ke? Kenapa diingat kisah lama, Hani. Dah lebih lima tahun." Tak perlu bertanya, ibu seakan mengerti takala melihat aku mengesat air mata.

"Hani rindukan arwah abah dan arwah Alin, ibu."

Ibu duduk di sebelahku, mengusap bahuku perlahan. "Yang dah pergi tetap pergi. Kita yang tinggal ni kena teruskan hidup. Sabarlah! Oh ya! hujung minggu ni, ibu ingat nak buat kenduri arwah dan doa selamat sebab Hani dah selamat pulang ke pangkuan ibu." Pandai ibu lencongkan kata-kata ke agenda lain untuk menangkis kesedihanku.

"Hani ikut saja, ibu. Lagipun, Hani ada masa sebulan sebelum Hani mula kerja."

Usai solat Zohor aku ke dapur menolong ibu menyenduk lauk untuk makan tengahari. Hairan melihat pelbagai lauk-pauk yang sedap-sedap di atas meja. Kecur liurku serta-merta. Lima tahun aku merantau, lima tahun juga aku degilkan hati untuk tak jejakkan kaki ke Malaysia. Hanya esak tangis ibu meruntun hatiku setiap kali dia menelefon dari kejauhan. Saban tahun bila tibanya Aidilfitri, aku lebih rela mengurungkan diri di dalam bilik bagi melempiaskan segala kesedihanku di rantau orang.

"Banyaknya ibu masak?"

"Special untuk anak ibu ni. Lagipun, sekejap lagi Syamsul sampai. Kita makan sama-sama, ya?"

"Syamsul? Er........" Rasa serba-salah. Lelaki yang paling cuba aku hindari, bakal muncul di depan mata.

"Apa salahnya, Hani? Yang lepas-lepas tu, lupakanlah. Ibu tahu hati anak ibu tak kejam, kan?"

Dan ketika itu juga, kedengaran enjin kereta berhenti di tengah laman.

"Assalamualaikum........ nenek!!" suara seorang kanak-kanak lelaki melaung dari jauh.

"Cucu nenek!" ibu tergesa-gesa keluar dari pintu dapur. Sebaik sahaja terjengul anak saudaraku itu di muka pintu, mata kami bertaut. Anak kecil itu pegun seketika sebelum meluru ke arahku.

"Mama!!!! Mama pergi mana? Lama Ijad tunggu mama balik," Terus sahaja Ijad peluk pehaku.

Aku kaget. Menunduk dan lantas meraih tubuh kecil di lututku. Ya TUHAN, wajahnya mirip benar dengan arwah Hazlin. Comel sungguh! Pipinya yang gebu dan berkulit cerah juga sama seperti arwah Hazlin. Matanya galak dan bercahaya. Aku benamkan bibir ke pipi Ijad selama yang mungkin. Sungguh, aku terlalu rindukan arwah Hazlin!

Aku mengerling pada ibu mengesat airmatanya. Kemudian, berkalih pada lelaki yang tercengat tak jauh dari kami yang sedang memerhatikan drama sebabak ini.

Lelaki itulah yang pernah menjadi tunanganku dan jika Hazlin masih hidup, Syamsul masih lagi bergelar adik iparku.
Ijad, aku raih ke dalam dukungan dan letakkannya di kerusi.

"Hani apa khabar?"

"Sihat." Aku menjawab acuh tak acuh. Wajah sengaja aku ketatkan.

"Hani nampak kurus,"

Aku ketap bibir. Cis! Sempat juga dia mengamati tubuhku atas bawah. "Kurang makan kut... assignment dan tesis banyak." Aku senyum sendiri dengan alasan yang kedengaran tak logik.

"Jomlah kita makan. Nanti sejuk pulak nasi ni." Mujurlah ibu mencelah. Selamat aku kerana aku merasa canggung benar ketika ini. Aku ambil tempat di sebelah Ijad kerana dia semacam tak mahu berenggang denganku. Malahan dia minta aku suapkan nasi ke mulutnya. Mula-mulanya Syamsul melarang.

"Biarkanlah Syam. Dia nak bermanja dengan mamanya tu,"
'Mama'? Aku terkesima. Ibu ni, macam merencanakan sesuatu aje?

############

Sepanjang petang, aku mengurung diri di dalam bilik. Ibu dan Ijad tak mengangguku. Mungkin ibu fikir, aku perlukan rehat secukupnya hari ini. Aku cuba berbaring, tapi mataku susah mahu dilelapkan. Dari dalam bilik, dapat aku mendengar gelak tawa Ijad dan gurau mesra papanya. Berselang-seli dengan suara ibu yang melayan cucu dan menantunya berbual. Sejauh mana rapatnya ibu dengan Syamsul selama lima tahun aku tinggalkan tanah air?

Malam menjelma. Sewaktu mahu tidur, Ijad mengheret aku ke bilik tidurnya.

"Jomlah mama, tidur dengan Ijad dengan papa......."

Tegumpal-gumpal aku mencari alasan bila sudah sampai di katilnya. "Ala....... katil bilik Ijad ni, sempitlah! Mana muat tiga orang?" kalau hendak bercerita tentang halal-haram, tak mungkin kanak-kanak sebesar Ijad akan faham. Lagilah sekarang ini dia fikir akulah ibu kandungnya.

"Kita bentang toto kat lantailah mama. Macam papa selalu buat dekat depan TV. Boleh tidur ramai-ramai." Ijad lagi pandai menjawab hingga aku mati akal.

Akhirnya aku mengalah, aku temankan Ijad tidur terlebih dulu. Sedaya upaya aku kawal mataku yang mengantuk agar tak terlelap di situ.

Setelah pastikan Ijad sudah lena tidur, perlahan-lahan aku turun dari katil dan menapak ke pintu. Sebaik sahaja aku membuka pintu, Syamsul tegak betul-betul di hadapanku. Kami bertentang mata seketika.

"Ijad dah tidur?" soalnya dalam wajah yang agak serius.

Aku naikkan jariku ke bibir memberi isyarat agar Syamsul memperlahankan suaranya. "Baru aje lena." Jawabku dalam dengar tak dengar.

"Boleh kita berbual?" Dia membisik juga.

"Maaf! Hani penat... masih jet lag lagi"

"Syam nak bincang pasal kita."

"Tak ada apa lagi yang harus dibincangkan Syam. Antara kita, semuanya dah ternokhtah lima tahun dulu. Selamat malam, Assalamualaikum!" aku pulas tombol pintu yang hanya bersebelah bilik Syamsul. Juga bilik kepunyaan arwah adikku, Hazlin.

BIAR BULAN BERBICARAWhere stories live. Discover now