Pejam-celik, sebulan itu berlalu tanpa aku sedari. Hanya sekejap aku dapat meluangkan masa bersama ibu dan Ijad yang hanya bertandang ke rumah ini sekali-sekala di hari persekolahan. Hari Jumaat sahaja Syamsul akan memghantar Ijad ke rumah ibu dan akan menjemput anaknya di petang Ahad.
Sedang aku mengemas pakaian dan barang-barang keperluanku ke dalam beg yang akan aku bawa ke KL, ibu labuhkan punggung di sebelahku. Sekilas aku menoleh dan hadiahkan senyuman buat ibu.
"Tinggallah ibu sorang-sorang semula dekat rumah besar ni."Aku hentikan kerjaku untuk memberi perhatian pada keluhan ibu.
"Ibu mintaklah Syamsul dengan Ijad duduk dengan ibu. Lagipun bukannya jauh tempat kerja Syam tu dengan rumah kita."
"Ibu dah lama mintak nak jaga Ijad tu, tapi Syamsul tak bagi. Dia kata nak jaga anak dia sendiri."
"Tapikan ibu, Ijad tu...... bukan anak kandung dia, kan?"
Wajah ibu berubah serta-merta bila aku mengajukan persoalan berkaitan Ijad. Zuriat arwah Hazlin yang sehingga kini aku dan ibu tidak pasti identiti sebenar siapa yang menyebabkan kelahiran anak itu. Cerita ibu, arwah Hazlin mengunci mulut hingga ke akhir hayatnya.
"Maafkan Hani, ibu. Hani tak ada niat nak buat ibu sedih," aku peluk ibu. Kesal bertimpa-timpa dengan keterlanjuran mulutku sebentar tadi.
"Itu yang ibu sayang sangat dengan Syamsul. Walaupun dia tahu Ijad tu anak luar nikah arwah Alin, tapi dia tetap berkeras nak jaga Ijad. Kesian dia, tak sangka anak kandung mereka meninggal juga lepas arwah Alin tumpah darah."Laju sahaja tangan ini menggenggam erat kedua-dua belah tangan ibu. Masih teringat lagi berita yang menyayat hati semasa aku di akhir tahun ke-tiga pengajianku. Hazlin, adikku meninggal dunia semasa melahirkan anak keduanya. Akibat kompilasi, Hazlin dan bayinya tak dapat diselamatkan. Aku meraung bagai nak gila sebaik sahaja aku menerima panggilan dari ibu. Hendak terbang balik ke Malaysia ketika itu, biasiswa MARA di dalam akaunku hanya tinggal saki-baki untuk aku meneruskan hidup sebelum semester baru bermula. Sudahlah kos sara hidup di negara 'kangaroo' itu amatlah tinggi.
"Tuhan lebih sayangkan Alin, ibu. Arwah abah jugak." Aku kesat air mata yang bergenang. Setiap kali aku terkenangkan arwah abah dan arwah Hazlin, mudah sahaja aku digelungi hiba.
"Hani dah ada teman lelaki ke?"
Aku yang masih larut dalam kesedihan, tersentak. Pandai pula ibu menukar topik perbualan.
"Kenapa ibu tanya?" degup jantung mula berentak tak serirama. Rasa-rasanya aku dapat menebak apa yang ibu sedang rencanakan untukku.
"Ibu kesian sangat tengok Syamsul. Ibu rasa dia masih tunggu Hani. Hani tak nak ke terima Syamsul sebagai suami?"
Ahh! Baru beberapa minggu lepas semasa kenduri Tahlil, Mak Ngah usulkan cadangan yang sama.
"Hani tak boleh terima Syamsul lagi, Ibu . Hani mintak maaf!"
"Ijad tu pun, sudah rapat benar dengan Hani. Ibu lagi suka kalau Hani gantikan tempat mama dia."
Aku telan liur. Itu juga yang diungkit Mak Ngah tempohari. Kehendak dan keperluan Ijad yang harus dititikberatkan? Bagaimana pula dengan kehendakku? Perasaanku? Derita yang aku tanggung bertahun-tahun lamanya? Kedua-dua tangan ibu aku bawa ke bibir dan aku cium lama.
"Ibu... Hani mintak sangat-sangat pada ibu, tolong jangan sesekali bangkitkan soal Hani dengan Syamsul lagi. Hati Hani dah tertutup rapat buat Syamsul. Luka di hati Hani ni terlalu dalam. Kalaulah Hani tahu arwah Alin memang sukakan Syamsul, dari awal lagi Hani mintak Syamsul pinangkan Alin. Ibu jugak tahu kan? Alin terlanjur sebab kecewa dengan pertunangan Hani. Dia jadi liar kerana kecewa."
Bergenang air mata ibu bila aku mengungkit kisah lalu.
"Hani dah nak masuk dua puluh enam tahun. Sampai bila Hani nak membujang? Takkan selamanya Hani nak berdendam dengan lelaki?" Ibu bersuara semula setelah berdiam sebentar. Ya... aku tahy, ibu mNa yang tak mahu melihat anaknya berkeluarga seperti wanita lain.
"Hani bukannya simpan dendam. Hani tak sanggup nak buka lembaran lama dengan orang yang sama. Beri Hani sedikit masa. Kalau ada jodoh, sampai masanya, Insya-ALLAH, kahwinlah Hani. Yang pastinya, bukan dengan Syamsul." Ketetapan hati, tak akan ada cara apa sekalipun untuk aku mengubahnya.
"Kalau dah tersurat jodoh Hani dengan Syam?" ibu masih lagi mahu memancingku.
Aku tatap anak mata ibu lantas mengukir senyuman tipis.
"Hani berserah saja pada takdir. Kalau suatu masa nanti, kalau sudah jodoh Hani dengan Syamsul, Hani terima dengan redha. Hani janji. Cuma buat masa sekarang, bagilah Hani ruang bernafas. Selepas lima tahun Hani pujuk rasa kecewa, Hani semakin kuat, ibu. Izinkan Hani kerja dulu beberapa tahun untuk balas segala jasa baik ibu dan arwah abah besarkan Hani. Boleh ya, ibu?"Ibu mengangguk dan memelukku. Aku menangis di bahu ibu.
'Tuhan... berilah aku kekuatan!'
