USAI solat Maghrib, barulah aku teringat tentang ajakan Ady Farhan untuk keluar berjanji-temu esok hari. Aduh! Sesampai di rumah ibu sejak siang tadi, aku terus lupakan telefon bimbit yang aku simpan di bilik tidur.
Aku menyelongkar beg tangan dan menemui telefon bimbit yang baterinya sudah tinggal nyawa-nyawa ikan. Missed calls dari Ady berjela-jela panjangnya. Baru aku berhajat mahu mengecas bateri, telefon berdering sekali lagi. Nama Ady Farhan tertera. Aku senyum. Panjang umur Ady!
"Hello.. Assalamualaikum!"
Segera Ady menjawab ucapan salamku.
"You kat kampung ke?"
"Haah! I balik pagi tadi. Ijad demam."
Beep! Beep! beep! Amaran di kotak kecil telefon bimbit meminta aku menyambungkan nyawanya.
"Maaf, Hani kena cas bateri dulu. Nanti Hani call semula, o.k.?" dan telefon bimbitku terpadam terus. Isyhh...... Potong stim betul! Aku menggumal perlahan dan mencari charger. Aku tinggalkan sahaja di dalam bilik dan turun ke dapur mahu makan malam bersama ibu dan Ijad.
"Ibu, kalau kewangan Hani dah stabil sikit nanti, nak tak ibu duduk dengan Hani dekat KL? Kita bawak Ijad sekali. Boleh tak, Ibu?
"Tak mahulah ibu duduk kat hutan batu tu, menyesakkan dada. Kalau sekali-sekala ibu pergi sana melawat Hani, bolehlah," pantas sahaja ibu menolak.
"Alaa.... marilah duduk dengan Hani. Rumah ni, ibu sewakan jelah." Aku membuat cadangan.
"Tak boleh Hani. Rumah ni sajalah kenangan ibu dengan arwah abah Hani dan arwah Alin. Ibu tak rasa ibu boleh tinggalkan rumah ni. Selagi ibu duduk sini, ibu dapat rasakan yang arwah abah dan arwah Alin sentiasa memerhatikan ibu, terasa dekat dengan ibu. Di mana-mana ada arwah abah dan arwah Alin." Ibu sebak meluahkan perasaan sendiri.
"Bukan apa, Hani risau. Siapa nak jaga ibu kalau ibu tak sihat nanti? Atau, ibu nak ke mana-mana ke. Takkan selamanya ibu nak berharap pada Syamsul?"
"Selama lima tahun Hani bawak diri ke Perth, Syamsul tulah yang ambil berat pasal ibu selain dari Mak Ngah Hani. Sakit pening ibu, Syamsul jugalah yang tolong. Hani jauh nun di rantau orang, siapa lagi yang ibu boleh harapkan? Ibu tahu, hati Syamsul baik. Cuma Hani aje yang keraskan hati mahu bermusuh dengan Syam terus."
Lambat-lambat aku menyuap nasi. Sebu perutku. Kenapa setiap perbincangan ibu mesti selitkan tentang kebaikan Syamsul? Sudah lupakah ibu dengan apa yang Syamsul sudah buat padaku?
"Hani tak mampu nak maafkan Syamsul." Aku tunduk dan menguis nasi di dalam pinggan. Lauk sambal udang kegemaranku sudah hilang enaknya sekarang.
"Dari Hani risaukan ibu, lebih baik Hani yang nikah cepat. Mak Ngah bagitau Ady Farhan dah berkenan sangat pada Hani. Ibu setuju kalau Hani jadi isteri dia."
"Hani dengan Ady berkawan saja ibu." Jika soal jodoh, seperti biasa aku kebal bersama alasan demi alasan yang aku ciptakan dengan lidah tajamku.
"Tak sudah-sudah dengan alasan. Bilalah agaknya ibu nak tengok Hani naik pelamin?"
Ibu ni..... dah berapa kali aku mahu menjawab soalan yang sama? Ada jodoh, kahwinlah aku. Kalau tiada, aku rela membujang hingga ke akhir hayat!
"Apa kata kalau ibu aja yang kahwin. Hani boleh dapat abah baru!" aku mengekek perlahan. Ijad disebelahku yang leka dengan seketul ayam goreng menoleh melihat aku ketawa.
"Mama.... nak air!" bibir munggil itu meminta.
Aku segera menuang air putih ke dalam gelas plastik dan hulurkan pada Ijad. Ibu yang sedang menahan marah dengan usikanku, tak aku hiraukan.
