Link House yang terletak di Seksyen 5, Bandar Mahkota Cheras kepunyaan Naemah tersangatlah luas dan cantik. Kedudukannya di dalam sebuah taman perumahan di kawasan elit, aku cukup yakin tentu mahal harganya.
"Rumah bukan main besar, tapi pakai kereta MyVi aje? Tak padan langsung la......" Aku memberi komen pedas.
Naemah tayang sengih. "Aku bab kereta memang kedekut sikit. Setakat boleh bergerak ke sana ke mari, cukuplah! Rumah makin lama makin naik harga. Kereta mahal macam mana pun, lama-lama value jatuh merundum. Rugi! Lainlah kalau banyak duit macam 'mamat' yang kau tumpang tadi. Lagipun, aku bukan ada anak nak beli kereta besar-besar."
"Kau duduk sorang je ke?"
"Ya lah! aku bukannya ada suami lagi." Ujar Neamah sambil ketawa. Neamah, rakan sebayaku merangkap teman baikku semasa di sekolah menengah, juga sukar mendapat jodoh. Puas emaknya membebel meminta Naemah mencari calon suami, tetapi dia hanya pekakkan telinga.
Petang semalam, ibu Naimah juga mengirim sedikit bekalan di samping meminta aku tengok-tengokkan Naemah. Dan kalau boleh, disuruhnya aku mencarikan jodoh untuk Naemah juga. Aku yang masih bujang ni disuruh jadi match maker? Lawak sungguh!
"Jomlah! bilik kau dekat tingkat atas. Bilik bawah ni, bilik aku."
"Selalu ke mak kau datang jenguk kau?"
"Selalu jugaklah. Setiap bulan dia mesti nak ke sini. Tapi bukannya lama mana pun. Paling lama tiga hari. Kau tahulah perangai orang tua. Rumah kayu tu jugak yang selesa dari rumah besar kat bandar ni. Semunya dia nak komplen. Kedai jauhlah, sunyilah, bosanlah, tak ada tanah nak bercucuk-tanamlah. Pot pet pot pet!!!"
Aku ketawa besar dengan bebelan Naemah. Perangai Naemah yang banyak mulut sebijik macam emaknya, Hajjah Kalsom yang aku panggilnya Mak Som.Berat juga beg pakaianku ini mahu diangkut sampai ke tingkat atas. Lenguh jugalah tanganku mengheretnya. Aku diberikan bilik utama yang menghadap ke kawasan bukit hijau di belakang. Oleh kerana hari sudah petang dan remangnya telah pun beransur gelap, tak dapat aku menikmati pemandangannya. Tentu di awal pagi esok, aku akan dapat melihat kaki bukit yang kehijauan ditabiri hutan tebal di belakangnya.
Katil queen size lengkap dengan almari dan karpet di tengah-tengah bilik. Aku gelengkan kepala. Hiasan bilik ini bukan lagi seperti bilik bujang. Aku kira amat sesuai untuk didiami sebuah keluarga bahagia. Naemah... Naemah!
#########
"Syamsul apa khabar?" aku dan Naemah sedang bersantai-santai di ruang menonton di tingkat atas ini selepas makan malam apabila Naemah tiba-tiba bangkitkan nama Syamsul.
"Buat apa kau tanya dia?"
"Lah..... tanya pun tak boleh?"Serta-merta bibirku terheret dengan sendirinya. "Dia sihat macam biasa. Masih bernyawa. Mata dan hidung pun masih ada lagi." Aku menjawab sambil lewa. Kalau hal berkaitan dengan Syamsul... aku rasa sungguh jaki. Meluat!
Bukk!! Satu kusyen kecil hinggap di bahuku. Naemah kepalkan tangannya geram dan menunjal-nunjal tapak tangannya sendiri. Konon-konon akulah yang bakal dipenyek-penyek olehnya.
"Aku tahulah dia sihat. Aku cuma nak tahu, Mamat 'poyo' tu ada usha-usha kau tak? Ajak kau kahwin ke?'
"Ish.. mula nak mengarutlah tu? Kahwin dengan Syamsul? No way! Hati aku dah kena kunci. Siap pakai padlock lagi."
"Kau tak kesian pada Ijad? Anak buah kau jugak, kan?"
"Kau nih! malam tadi ibu aku dah basuh aku. Hari ni, kau pulak? Aduh... berat kepala aku nak pikir, tau tak?"
"Ala... kau janganlah marah! Aku tanya aje. Kau macam anti sangat bila aku sebut nama Syamsul, kenapa?"
"Bukan anti saja tau? Boleh bernanah telinga aku bila. dengar nama dia." Aku buat-buat picit dahi.
"Sampai bila kau nak berdendam, Hani?"
"Kalau boleh sampai mati!" aku buat muka, menjeling marah pada Naemah.
"Tak baik kau buat dia macam tu. Kau pun tahu, kan? Setiap kejadian tu ada hikmahnya. Dah takdir, bukan jodoh kau dengan Syamsul."
"Kau cakap senanglah! Kau tak rasa apa yang aku rasa. Kau tak berdepan dengan peristiwa pahit yang aku dah lalui. Kerana Syamsul, arwah abah aku meninggal depan
mata kami." Aku mula beremosi. Lima tahun belum cukup lama untuk aku
memadamkan sebuah memori luka.
"Kau tak boleh salahkan Syamsul sorang. Kau kena ingat, arwah Hazlin pun bersalah dalam hal ni. Semua orang kampung tahu pasal tu."
"Aku tahu. Sebab tu, aku cuba bertahan sedaya yang boleh. Kalau ikutkan, aku tak suka dia datang sesuka hati kat rumah aku, buat rumah ibu aku macam rumah dia."
"Kau ni.... ibu kau kan, bekas mak mertua Syamsul. Dan kau jangan lupa, Syamsul tu bekas adik ipar kau."
"Aku tak pernah anggap dia adik ipar aku." Keras aku membantah. Mana mungkin aku mengakui lelaki yang menikam duri di hatiku sebagai ahli keluarga? Jangan harap! Selama-lamanya aku akan tetap menanganggap Syamsul sebagai orang luar.
"Suka hati kaulah Hani. Aku hanya bagi nasihat, tapi semuanya terpulang pada kau. Kau yang menanggungnya. Dah lebih lima tahun, aku ingat kau dah belajar memaafkan."
"Boleh tak kita cerita pasal lain? Aku bosanlah nak panjangkan lagi kisah lapuk ni? Syamsul... dah jadi sejarah! Dan kalau kau nak tahu, aku akan pastikan sejarah lama tak akan berulang lagi. Nama Syamsul dah tak ada lagi dalam hidup aku. Aku dan 'delete' terus. Aku bukan lagi Hani sepertimana yang pernah kau kenal. Yang ada dengan kau sekarang, Hani yang baru. Hani yang tak mahu toleh ke belakang lagi."
Naemah terkebil-kebil dengan 'angin' yang menguasaiku.
"Hani.. aku...er... aku......" Tergagap-gapap dia mahu meneruskan kata.
Aku mula sedar dengan ketelanjuranku. Mahu meminta maaf, rasa segan pula. Tak wajar sungguh aku bertikam lidah pada hari pertama aku menumpang di rumah Naemah.
"Sorry, aku dah mengantuk. Aku masuk tidur dululah. Selamat malam, Assalamualaikum!" langkah selamat aku ambil demi menjaga air muka sendiri.