~Best of luck on your new journey. Happy working!~
'WhatsApp' dari Ady masuk ke telefon pintar seawal 8.00 pagi di hari pertama aku melapor diri di Ammar Multi Resources.
Tersenyum kecil aku dengan ucapan dari Ady. Walaupun kelihatan tak seromantik mana, amat menyenangkan.
'Sweet and simple! "
Namun, ucapan itu aku biarkan tidak berbalas. Tidak mahu menunjukkan yang aku teruja dengan ucapan ringkasnya itu.
Pegawai di bahagian HR memperkenalkan aku kepada pengarah yang mungkin sebaya dengan arwah abah iaitu Datuk Ammar Mukmin. Berkemeja lengan panjang warna krim dengan tali leher sepadan tampak masih segak dan bergaya.Adat orang baru, aku menunduk hormat dan melemparkan senyuman semanis mungkin.
"Selamat datang Cik Hani. Saya harap Cik Hani selesa bekerja di sini."
"Terima kasih Datuk. Saya juga berharap macam tu. Saya tak pernah bekerja, pengalaman pun jauh sekali. Harap kakitangan di sini dapat beri tunjuk ajar."
"Insya-ALLAH semua staf di sini sudi beri kerjasama lebih-lebih lagi pada gadis cantik macam Cik Hani ni."
Erk!... lain macam saja bunyinya kata-kata Datuk Ammar ni? Cara dia merenungku juga, sedikit menggerunkan. Adakah dia dari spesis yang miang? Masih tak sedarkah diri, uban di kepala tersangatlah ketara banyaknya?
"Ini bilik Cik Hani, silalah masuk. Kalau ada apa-apa masalah, boleh rujuk kepada Aleeya, setiausaha Encik Zaid."
Aku ditempatkan di sebuah bilik sederhana besar. Kemas dan moden, sangat sesuai dengan citarasaku.
"Terima kasih Puan Norma."
"Dan satu lagi Cik Hani, sebagai seorang consultant, Cik Hani kena bersedia untuk selalu outstation setiap bulan selepas Cik Hani memegang jawatan tetap di Ammar Multi Resources."
Outstation? Wah, ini sudah bagus! Boleh juga aku makan angin sekali. Tak adalah hanya terkurung di dalam pejabat tertutup begini selama lapan jam sehari.
"I see... baiklah. Saya akan bersedia."
Puan Norma tinggalkan aku di bilik sederhana besar ini tanpa sebarang tugas. Hari baru, suasana pun baru dan di atas meja tak ada satu pun fail-fail yang boleh aku membelek apa yang patut. Meja bersih dan kosong. Hanya sebuah notebook yang tertutup di sudut meja.
Tok! Tok! Tok! Ketukan di pintu yang sedia terbuka kedengaran. Seorang gadis muda melangkah masuk sambil tersenyum menghampiri mejaku.
"Cik Hani,"
Aku cuba mengingati namanya sepertimana diperkenalkan oleh Puan Norma tadi. Si cantik manis dan genit ini namanya Aleeya Amira.
"Ini saya bawakan company profile. Datuk Ammar minta Cik Hani review untuk pagi ni. Encik Zaid dan Encik Shafiq ada meeting di luar, petang nanti baru mereka berdua masuk ke pejabat." Buku tebal tertulis "Company Profile" diletakkan di atas meja betul-betul di hadapanku.
Aku merenung wajahnya sebentar.
"You sibuk tak sekarang, Aleeya?"
"Tak sibuk sangat. Bos saya pun, tak ada." Aleeya masih malu-malu denganku.
"Duduklah dulu. Kalau boleh I nak tahu serba-sedikit tentang company ni sementara meja I ni masih kosong lagi."
"Bo.... boleh! tak ada masalah. Encik Zaid pun dah minta saya bantu Cik Hani apa yang perlu. Suatu hari nanti, Cik Hani juga akan ada setiausaha sendiri."
"You dah lama kerja dekat sini?"
"Boleh tahan juga. Dah hampir tiga tahun. Encik Zaid tu, abang ipar saya." Tanpa bertanya, Aleeya ramah bercerita. Mula selesa dengan cara perbualaaku.
"Oh, senanglah kalau macam tu. Tak adalah selalu kena marah dengan boss?"
Aleeya ketawa perlahan.
" Saya ada dengar dari Puan Norma yang Cik Hani baru balik dari luar negara. Betul ke?"
"Haah, baru sebulan lebih. Lima tahun di Perth, ingat nak ambil ijazah saja tapi my lecturer syorkan I sambung ambil Master terus. Dua tahun pulun untuk habiskan Master yang sepatutnya makan masa tiga tahun lebih."
"Tentu Cik Hani otak geliga."
"Alhamdulillah, kurnian ALLAH!" company profile aku selak beberapa mukasurat sekali imbas. Di carta organisasi syarikat, ada terdapat beberapa nama pegawai-pegawai tinggi termasuk lembaga pengarah dan tak ketinggalan gambar Datuk Ammar Mukmin.
"Ini abang ipar you?" jariku menunjuk pada gambar di atas nama 'Zaid Shukri". Cantik namanya.
"Haah.. itulah ipar saya. Handsome kan? Sebijik rupa Ashraff Sinclair tapi versi sedikit tualah."
Aku senyum nipis. Kalau adik ipar sendiri yang memuji Encik Zaid kacak, apa lagi yang boleh aku katakan? Mengikut pendapatku pula, aku tak beberapa berkenan dengan lelaki yang berkulit cerah. Terlalu putih, hilang maskulinnya.
"Betul... handsome! Boleh jadi artis kalau rupa macam ni." Selorohku mengundang tawa Aleeya sekali lagi. Periang sungguh gadis muda ini, macam tiada masalah langsung yang perlu difikirkan. Tak macam aku, sarat dengan bebanan di pundak hingga selalu diserang sakit kepala.Aku teliti lagi senarai nama-nama pekerja yang terdapat di dalam buku tebal di tanganku. Agak ramai juga, melebihi 100 orang. Boleh tahan besarnya syarikat multi-international ini. Tentu Datuk Ammar Mukmin seorang yang kaya- raya.
"Cerita Tentang you pulak, macamana? masih bujang atau dah kahwin?"
"Belum lagi, Cik Hani. Tunang saya masih belajar di U.K. Tahun depan baru balik." Aleeya yang peramah tak berselindung tentang lelaki penting dalam hidupnya.
Aku mengangguk perlahan. Alangkah beruntungnya Aleeya punya tunang yang boleh dibanggakan sebegitu. Sedangkan aku? Ah..... buat apa difikirkan lagi tentang Syamsul? Buat menyakitkan hati sahaja.
"Er..... okeylah! dah lama sangat I ambil masa you. Sebelum you pergi, I nak minta tolong sikit. I tak biasa dengan area sini. Lunch nanti, temankan I makan dan tunjukkan I kat mana gerai-gerai atau restoran yang selalu you dan kawan-kawan you menjamu selera?"
"Tentu boleh, Cik Hani. Saya pun selalu makan berdua saja dengan setiausaha Encik Shafiq. Namanya Hazlin." Aleeya senyum ramah.
Hazlin? Terus bergetar dadaku mendengar serangkap nama itu. Ingatan pada arwah adikku menjelma serta-merta.
"Nanti dah sampai waktu lunch, you interkom me, ok?"
"Saya keluar dulu, Cik Hani." Aleeya bangun dan pergi meninggalkan aku keseorangan kembali bersama sebuah company profile berwarna hijau tua untuk aku 'review' hinggalah sampai waktu tengahari nanti. Seolah mahu buat revision buku di library saja lagaknya. Boleh mati kesanggapan aku kalau begini.
Bosannya! Isyhhh, buruk sungguh perangaiku pada hari pertama di tempat kerja. Mana nak cari secawan pekat minuman 'Kopiko' kegemaranku?########
Berkenalan pula dengan Hazlin sebelum keluar untuk makan tengahari di gerai .
berhampiran bangunan pejabat. Umur Hazlin 2 tahun melebihiku dan sudah beranak dua. Ibu muda ini berperwatakan lemah-lembut dan tubuhnya masih lagi langsing. Cantik dan yang pastinya langsung tak menyamai wajah arwah Hazlin. Sedikit pun tak!
"Selamat berkenalan Cik Hani. I Hazlin."
Aku menyambut huluran tangannya.
"Panggil I Hani, cukup."
Kami makan di sebuah gerai yang terletak tak jauh dari bangunan pejabat A.M.R. Deretan gerai-gerai kecil yang bersih dan dipenuhi pelanggan dari kakitangan pejabat-pejabat berhampiran. Waktu puncak begini, terpaksa pula beratur untuk memilih lauk-pauk kegemaran masing-masing.
"Hani tau tak, inilah kali pertama Datuk Ammar ambil consultant perempuan. Sepanjang I kerja kat sini, semuanya dari kalangan lelaki.
"Oh ya ke? Mungkin rezeki I lah, kot."
"Alhamdulillah! Seronok juga bila ada kaum kita boleh setanding dengan lelaki."
Aleeya hanya mendengar, tak menyampuk perbualanku dengan Hazlin. Berselera nampaknya dengan lauk ikan keli goreng berlada dan masak lemak sayur petola.
"Assalamualaikum!"
Kami bertiga serentak mendongak pada yang mengucapkan salam. Aku menjawab perlahan. Rupanya Encik Zaid dan Encik Shafiq mendatangi meja kami.
"Oh Encik Shafiq.... Baru sampai? Jemput makan," Hazlin terlebih dulu mempelawa. Aku masih lagi kekok mahu mulakan bicara.
"Silakan! Saya dan Zaid pun baru nak order ni."
"Encik Shafiq... ni lah Cik Hani, consultant baru kita. Hani..... kenalkan, yang ni Encik Shafiq... di sebelahnya Encik Zaid Shukri."
Kepala, aku anggukkan sementelah sedang menikmati kesedapan gulai kawah daging yang sangat menyelerakan.
"Fiq... mesti berkobar-kobar semangat kau nak kerja lepas dapat pembantu lawa macam Hani ni."
Aleeya ketawa dengan lucuan abang iparnya.
"Cik Hani memang lawa, kan abang Zaid? Nasib baik Leeya tak ada abang. Kalau ada, dah lama Leeya jadikan Cik Hani ni, kakak ipar Leeya." Seloroh Aleeya.
Kebas seluruh wajahnya. Terasa bagaikan tercekik nasi yang baru hendak ditelan. Aleeya ni, cakap tak pandang kiri kanan.
"I dah ada someone special," cepat-cepat aku memberi dalih. Sanggup menipu sunat untuk tak dijadikan bahan lagi.
Aku sudah berpunya, tapi siapa? Ady Farhan ke? Tak mungkin!. Hatiku belum lagi terbuka untuk sesiapa.
