Sesudah siap berpakaian dan mengemas bilik yang sedia kemas ini, aku turun ke tingkat bawah. Konon-konon mahu menyediakan sarapan sebagai tanda permohonan maaf di atas pertengkaran kami malam tadi. Dari tangga aku dapat dengar cucuran dari air pili di singki. Rupa-rupanya Naemah bangun lebih awal dariku. Buat malu betul!
"Assalamualaikum, good morning!"
Naemah menyambut salamku dengan senyuman lebar. "Nyenyak kau tidur malam tadi?" soal Naemah tanpa sedikit pun menunjukkan kemarahan atau perasaan sakit hatinya padaku.
"Boleh la... ada juga dua-tiga kali terjaga. Beralih tidur tempat baru, selalu macam tulah. Kau masak apa? Sorry, aku bangun lewat."
"Pancake dan roti telur."
Aku bersandar di tepi kabinet dapur memerhatikan Naemah yang bekerja dengan cekap. "Naemah, aku... errr nak mintak maaf pasal malam tadi. Kalau pasal Syamsul, aku memang cepat naik angin. Kau marah aku ke?" aku buat muka sedih campur minta belas kasihan.
"Alah....... aku tak ambil hati pun. Bukan setahun dua aku kenal kau! Aku dah masak dengan perangai kau yang cepat naik angin tu."
"Semalam, ibu aku pun marah sebab aku berkasar dengan Syamsul. Aku geram sedap-sedap aje dia mengaku depan Ady dan Mak Ngah yang aku ni masih 'tunang' dia."
"Kalau kenyataan dia betul, macam mana? Ada kau pulangkan cincin pertunangan kau?"
"Memanglah aku tak pulangkan cincin dia sebab aku tak bekesempatan. Dengan kematian arwah abah lagi, nak uruskan itu ini. Dengan aku yang kelam kabut dengan persediaan aku nak terbang ke Perth."
"Betullah tu. Kalau diikutkan, kau masih tunang dia."
"Tunang apa kalau dia dah nikah dengan orang lain? Bagi aku, secara automatiknya pertunangan kami, putus!"
"Itu kata kau, tapi dia tak kata macam tu, kan? Hal-hal tunang ni bukan ada perjanjian hitam putih. Bukan ada tertulis kat kertas, macam sijil 'Nikah'. Semuanya perjanjian atas mulut. Dah, jom makan!" roti telur yang sudah siap diceduk ke dalam piring, Naemah bawa ke meja makan. Aku mengikut sama duduk di kerusi. Wah! Terasa macam tuan puteri aku pagi ini. Semuanya sudah siap terhidang. Tinggal makan aje.
"Dah habis makan, giliran kau cuci pinggan dan kemas dapur, boleh?" Naemah mengarah ala-ala supervisor.
"Kacang ajelah tu. Macamlah sebulan kat rumah, aku duduk goyang kaki." Aku ketawa kecil.
"Ermmm.... aku nak tanya sesuatu ni," sambil mengunyah pancake diselaputi madu di atasnya, Naemah merenung wajahku.
Aku mengangguk dan menunggu Naeamah terus berbicara.
"Kau tak ada perasaan langsung dah pada Syamsul?"
"Tak ada dan jangan harap!"
"Sikit pun tak ada?" Naemah masih tak berpuas hati dengan jawapanku.
"Nope! zero percent." Roti telur aku lipat dua dan sumbat ke mulut.
"Ady Farhan?"
Terkejut aku. Nasib baik tak tercekik roti telur. "Hah? Kenapa kau nak kaitkan nama Ady pulak?"
"Aku dapat rasa Ady tu suka kat kau." Naemah angkat-angkat kening sambil tersenyum simpul.
"Memang dia dah mengaku dia suka kat aku. So what?"
"Jadi....... macammana? kau nak terima dia? Kalau kau pun ada perasaan yang sama, maknanya kau dah boleh lupakan cinta lama kau. Kalau betul la apa yang aku teka ni, syukur Alhamdulillah!"
"Dah lebih lima tahun, kau. Aku pun dah lama lupakan cinta aku yang tak kesampaian tu. Dulu aku alpa, masih muda benar masa tu. Bila Syamsul masukmeminang, abah terima sebab abah tahu, aku sayangkan dia sangat-sangat. Kan lawak, anak murid bercinta dengan cikgu tuisyen sendiri?" aku ketawa kecil dengan kebodohan diri.
