HAIRAN melihat ibu yang sedang sibuk mengeluarkan barang-barang basah dari peti sejuk, terus aku buka mulut dan bertanya.
"Ibu nak masak sarapan banyak-banyak ni, untuk siapa? Syamsul nak datang sarapan sekali dengan kita ke?"
"Ada tetamu dari jauh nak datang."
"Siapa?"
"Saudara pada mak ngah dengan pak ngah Hani. Saja je dorang datang nak tengok-tengok dusun arwah abah. Pagi-pagi ni tak adalah panas sangat nak ke sana, tu yang ibu nak buat bekalan nasi lemak dan kuih sikit."
"Oh.... nak masuk dusun, kenapa tak cakap awal-awal? Meh la.. Hani tolong sama, Hani pun dah lama tak tengok dusun abah. Hani nak ikut sekalilah, err... kita nak pergi sana naik apa, ibu? Dengan bekas-bekas makanan ni lagi?"
"Si Hanim ada balik, abangnya Hakimi pun ada. Nanti dalam pukul 9.00 datanglah dorang jemput kita."
"Kimi kerja apa sekarang?" sudah agak lama juga aku tak berjumpa dengan kedua-dua sepupuku itu. Hanim yang jauh lebih muda dariku kini sedang menyambung pelajaran di UIA. Abangnya Hakimi sebaya dengan arwah Hazlin.
"Kimi kerja juruteknik kilang. Boleh tahanlah gajinya sekarang, cepat naik pangkat budak tu."
Aku senyum sendirian. Dulu Hakimi juga nakal seperti pelajar lelaki yang lain. Acapkali juga arwah Hazlin mengadu yang geng-geng Hakimi selalu mengusiknya. Tapi... denganku Hakimi tak begitu. Mungkin usiaku yang setahun lebih tua, dia menghormatiku sebagai kakak juga.
Hampir kesemua bekalan sudah dimuatkan dalam mangkuk tingkat. Termos air panas berisi minuman dan sebotol lagi air putih sudah tersedia dalam bakul besar. Pinggan-pinggan dan cawan-cawan plastik dan alatan yang lain turut disertakan sekali. Sekarang, hanya menunggu kedatangan Hakimi dan Hanim yang bakal menjemput kami.
Bunyi hon di depan pintu pagar memaksa aku keluar ikut pintu dapur mahu membuka kuncinya. Terkesima aku melihat Lexus sport Ady yang berhenti di situ. Kini, barulah aku faham, tetamu jauh sudara mak ngah yang datang tu, rupanya Ady Farhan. Hampir terlupa aku yang tengah malam tadi, Ady Farhan ada menelefonku mengajak aku keluar.
"Assalamualaikum Kak Hani," jerit Hanim dan berlari mendapatkanku.
Aku jawab salamnya dan memeluknya erat. Lebih 5 tahun tak bersua muka dengan adik sepupuku ini.
"Lama sungguh Kak Hani tak jumpa Hanim, makin cantik Hanim sekarang!"
"Mana ada cantik? Orang biasa-biasa je. Kak Hani tu... masih macam dulu, tak berubah langsung. Awet muda."
"Eh! Kak Hani memang masih muda lagi, apa?" kami mengikik ketawa.
"Ya Allah budak-budak dua orang ni, kalau dah berjumpa tak ingat orang kiri kanan! Ady dah lama sampainya?" tegur ibu ramah pada Ady Farhan.
Aku tersengih sahaja demgam komen ibu.
"Malam tadi sampainya mak cik. Dah siap ke semua barang? Mari saya tolong angkut masuk kereta."
Aku dan Hanim turut masuk ke dapur untuk mengambil bakul, tikar dan barang-brang yang lain.
"Mak, abang Kimi dan yang lain-lain pergi dulu tadi. Mereka tunggu kat sana terus." Hanim memberi penjelasan pada ibu.
Yang lain-lain? Siapa lagi yang turut serta? Jika diikutkan dengan kuantiti bekalan yang sudah ibu sediakan, aku agak-agak untuk menjamu lebih dari sepuluh orang lagaknya. Pelik nih.....
"Siapa lagi yang datang selain Ady?" aku membisik perlahan di telinga Hanim.
Hanim angkat kening diiringi senyum-senyum kambing.
