"Assalamualaikum!"
Kali kedua kami menyambut salam. Lima pasang mata menoleh ke pintu. Syamsul tampil dimuka pintu dengan menjinjing seplastik buah mangga yang masak ranum ditangannya.
Sebagaimana Ijad tadi, Syamsul juga terpaku memandang kami. Lebih-lebih lagi melihat anaknya Ijad yang kini berada di riba Ady Farhan dengan tubuh Ijad masih erat dalam rangkulannya. Wajah Syamsul berubah serta-merta.
"Masuklah, Syam. Kenapa lambat naik?" ibu menyambut bungkusan plastik yang Syamsul hulurkan.
Anak mata Syamsul tak lepas memandang kami bertiga. Lebih-lebih lagi padaku dan juga Ady Farhan. Bersilih-ganti dengan riak kurang senang.
"Ada tamu rupanya. Mak Ngah bila sampai?"
"Dah lama dah Syam! Sempat makan nasi lemak tadi. Ni, dah kenal ke dengan anak saudara Pak Ngah? Ady Farhan." Usai bersalaman, Mak Ngah memperkenalkan anak saudaranya itu. Mungkin di malam kenduri beberapa minggu lepas, masing-masing terlalu sibuk. Mereka tak sempat berkenalan lagi.
"Syamsul...'tunang' Hani."
Ewah-ewah! Sesedap rasa pula dia mengaku aku masih bergelar tunangannya.
"Oh ya ke? Hani bagitau aku tadi, kau bekas tunang dia," Ady membidas sambil matanya mengerling padaku sebentar. Masing-masing tak mahu kalah.
"Oh! Setahu aku, aku tak pernah pun putuskan pertunangan kami. Tak pula ibu Hani pulangkan cincin tunang pada aku. Dia hak aku, kau tak payahlah cuba nak mengorat dia."
Aku tak senang duduk. Suasana mula terasa panas. Mak Ngah dan ibu juga tercengang-cengang.
"Syamsul, jaga sikit mulut tu! Hani bukan lagi tunang Syam dan Hani bukan hak sesiapa, tau tak?" jerkahanku bergema ke segenap ruang, sekaligus mengejutkan Ijad di dalam pelukan Ady.
"Mama!" Ijad terjebik-jebik mahu menangis. Mak Ngah cepat-cepat ambil Ijad dan menghulurkan tubuh kecil Ijad pada ibu.
"Syam.... Hani....kamu berdua ni, kenapa? Depan Ijad, korang nak buat perangai? Elok sangatlah tu, asyik nak bercekau aja. Perkara kecik pun, kamu nak naik angin sampai begitu sekali? Anak dara apa kamu ni, Hani? Cuba kawal sikit perasaan tu, hormatlah sikit tetamu kita?"
Pantas aku menoleh pada ibu. Sampai hati ibu mem 'bahasakan' aku di hadapan Mak Ngah dan Ady Farhan. Dan sampai hati juga ibu lebihkan Syamsul dariku. Apa kerana Syamsul mampu membesarkan Ijad dengan penuh kasih sayang, ibu begitu utamakan lelaki yang pernah mencalarkan perasaanku itu? Tak adil sungguh!
Aku mendengus dan segera angkat tubuhku dari sofa.
"Hani....." Panggil Ady lembut.
"Maaf, Hani nak masuk bilik. Masih ada barang yang belum habis dikemas. Jumpa lagi Ady," aku menahan sebak. Kecewa dengan sikap ibu. Siapa anak kandung ibu di sini? Aku atau pun Syamsul?
"Hani ikut Ady balik KL petang nanti, okey? Dalam pukul tiga petang Ady datang jemput Hani."
Aku tak endahkan kata-kata Ady lalu melangkah lesu ke bilikku yang tak jauh dari ruang tamu dan menutup pintu bilik rapat-rapat. Air mata yang aku tahankan sejak tadi akhirnya menitis juga. Tak berdaya untuk aku membendungnya lagi.
Kecewa, hiba, terluka..........
##########
Usai solat Zuhur, aku menjenguk ke halaman yang luas. Tiada lagi kereta sport milik Ady Farhan dan juga Honda City kepunyaan Syamsul. Lega! Aku lebih suka dia tiada. Sepanjang hampir sebulan aku di rumah ibu, hanya sekali-sekala Syamsul singgah dan jarang sekali dia bermalam di sini. Hanya Ijad yang ditinggalkan di rumah kami. Syamsul terasa agaknya dengan kedinginanku dan sikap acuh tak acuhku melayannya.
Aku melintasi bilik arwah Hazlin di sebelah bilikku. Terdengar dari luar bunyi penghawa dingin yang masih terpasang. Aku mengintai ke dalam. Tubuh kecil Ijad sedang lena di atas katil. Terjingkit-jingkit aku masuk dan duduk di birai katil. Lama aku terpaku memerhatikan wajah putih bersih itu dalam dengkuran halus. Turun naik nafasnya begitu teratur, terasa damai hatiku seketika. Hilang sebentar gundah di dada yang terkumpul sejak kedatangan Syamsul dan pertengkaran mulut kami tadi.
"Ijad... maafkan mama! Mama sayang Ijad. Bukan niat mama nak takutkan Ijad tadi," ubun-ubunya aku lurutkan sehinga ke rambut dan aku menunduk sambil membisik perlahan. Ijad bergerak sedikit seolah dapat mendengar luahan hatiku. Hanya sebentar dan dia kembali damai dalam lenanya. Aku tersenyum kecil. Pipinya aku usap dengan jari dan cium pipinya perlahan.
"Mama kena pergi. Mama kena cari duit, untuk nenek, untuk Ijad. Nanti mama balik, kita pergi jalan-jalan, o.k?" lantas, aku teringatkan patung 'Ninja Turtle' besar yang aku belikan untuknya pagi semalam yang masih tersimpan di bilikku.
Seketika kemudian, aku kembali ke katil Ijad dan letakkan patung lembut Ninja Turtle di sebelahnya. Untuk kali terakhir, aku renung wajah comel seiras arwah Hazlin itu semahu-mahunya. Aku pasti selepas ini aku akan rindukan Ijad. Rindu telatahnya, rindu dengan panggilan 'mama' yang tak putus-putus dari bibir munggilnya. Rindu untuk menyuapnya makan dan rindu untuk mendodoikannya sebelum dia tidur.
"Hani....."
Aku palingkan wajahke pintu. Agaknya sudah lama ibu berdiri di situ memerhatikanku. Segera aku bangkit dan mendapatkan ibu. Air mata yang berlinang aku seka dengan jari.
"Ady telefon tadi. Sekejap lagi dia sampai. Barang-barang Hani dah siap semuanya?" tanya ibu perlahan tak mahu Ijad terjaga.
Aku mengangguk dan peluk lengan ibu membawa ibu keluar dari bilik Ijad. Aku menoleh ke katil Ijad untuk kesekian kalinya. Ijad masih lagi lena tapi lengannya sudahpun memeluk anak patung yang baru aku letakkan sebentar tadi. Aku mahu menangis lagi.
Ya Allah! Terasa ikatan antara kami begitu kuat walaupun bukan aku yang mengandungkan Ijad selama sembilan bulan.
"Ibu.... pasal tadi tu, Hani mintak maaf. Salah Hani, tak pandai nak kawal perasaan."
"Ibu maafkan. Lain kali berhati-hati bila nak bercakap. Ibu tak pernah ajar anak ibu cakap kasar macam tu. Hani dah jauh berubah. Perasaan marah tu, hasutan syaitan. Dah berapa kali ibu cakap, dendam jangan disimpan lama-lama, nanti jadi nanah. Terlalu lama nanti boleh melemah kantulang-temulang."
Aku terdiam mendengar syarahan ibu. Hendak membantah, hujah ibu tak ada satu pun yang tak betul.
"Keadaan yang buat Hani jadi macam ni. Hani tak mampu nak lawan kecewa dengan permainan takdir. Hani........" Aku tak sempat menghabiskan ayatku apabila hon kereta Ady kedengaran di depan rumah. Sudah sampai rupanya dia. Aku belum lagi bersiap, masih lagi dalam track-suit dan t-shirt gedobos yang tersarung sejak pagi tadi.
"Ady dah sampai tu, pergilah siap. Biar ibu bagitahu Ady. Ibu dah siapkan bekal nasi lemak untuk Hani. Kalau singgah kat mana-mana tempat rehat, makanlah."
"Terima kasih,ibu. Hani siap kejap je."
Tak sampai dua puluh minit, aku turun dengan dua buah beg pakaian dan satu lagi beg kecilu ntuk barang-barang peribadiku. Ady segera menurunkannya dari anjung dan bawa masuk ke dalam bonet kereta.
"Hujung minggu depan Hani balik. Peluk cium Hani untuk Ijad ya, ibu? Hani tak nak bangunkan dia." Air mata bergenang lagi bila terkenangkan Ijad yang bakal aku tinggalkan. Aku peluk ibu erat dan cium kedua-dua belah pipinya. Lima tahun aku di perantauan dan hanya sebulan aku sempa tbermanja dengan ibu. Kampung Padang Lalang terpaksa aku tinggal kansekali lagi untuk mencari rezeki demi membalas jasa ibu dan arwah abah membesarkan aku dan arwah Alin. Juga nekadku untuk memulakan hidup baru di sana nanti.
"Makcik, saya balik dulu. Insya-ALLAH, Hani selamat dengan saya."
Ibu mengangguk selepas Ady menyalami dan mencium tangan ibu. "Baik-baik pandu kereta. Dah sampai nanti, Hani telefon ibu tau!"
"Insya-ALLAH! Kirim salam Hani pada Mak Ngah. Tolong cakap dengan Mak Ngah, Hani mintak maaf pasal pagi tadi."
"Baiklah. Mak Ngah tentu faham."
