Bab 12

491 46 2
                                    

Mawar yang sedang menuruni tangga itu meliarkan matanya mencari kelibat Luthfan Hariez, namun tiada. Hanya ada Kak Siti yang sedang sibuk membersihkan ruang tamu. Segera kakinya diatur mendekati wanita separuh baya itu.

"Kak Siti..."

Kak Siti mengangkat kepalanya setelah mendengar namanya dipanggil. "Mawar..." ujarnya dengan senyuman kekok. Anak matanya sengaja dilarikan ke tempat lain, takut jika bertentang mata dengan gadis cantik itu. Dia masih rasa bersalah tentang hal kelmarin malam.

"Kak Siti kenapa? Ada apa-apa yang tak kena ke dengan Mawar?" soal Mawar bingung melihat wanita itu seperti takut akan dirinya. Tangannya naik meraba wajahnya sendiri. Yelah, takut juga kalau hidung dia tiba-tiba hilang ke apa.

"Mawar, tentang hal semalam tu Kak Siti nak minta maaf... Kak Siti tak berani nak bantah arahan Tuan Hariez." kata Kak Siti takut-takut. Matanya sempat mengerling sekilas wajah Mawar, ingin melihat air muka gadis itu.

Mawar tersenyum nipis. "Alaa Mawar tak marah pun lah. Mawar tahu perangai lelaki tu macam mana. Garang!" bisik Mawar di hujung ayat namun sedikit keras. Kemudian, dia tertawa kecil. Suka betul dia mengumpat tentang lelaki itu.

Kak Siti akhirnya dapat menarik sedikit nafas lega. Sejak semalam dia tidak dapat tidur memikirkan kalau-kalau lelaki itu membuat sesuatu yang tidak baik kepada Mawar. Tapi melihat keadaan gadis ini yang ceria, senang juga sedikit hatinya.

"Kak Siti.... tuan rumah ni pergi mana?" soal Mawar, mengubah topik.

"Tuan Hariez keluar pergi beli barang dapur. Tak lama lagi balik lah tu. Ni, Mawar kalau nak makan pergi je dapur. Kak Siti dah masakkan nasi goreng kampung untuk Mawar."

Mata mawar terus bersinar setelah mendengar menu yang disebut oleh Kak Siti. 'Untuk Mawar' . Tak pernah-pernah orang nak masakkan untuk dia. Ada bagusnya juga lelaki itu membawanya ke sini. Sudahlah dapat duit, dilayan macam tuan puteri pula tu.

"Betul ni Kak Siti?"

Kak Siti mengangguk. "Tapi dah tak panas macam tadi. Mawar kan bangun awal sangat...." perli Kak Siti di hujung ayat.

Mawar hanya tergelak kecil. Amboi, lepas dah maafkan bukan main lagi Kak Siti ni bahan dia. Tahulah dia bangun dah nak dekat pukul 11:00 pagi. Tapi tu semua salah lelaki singa tu. Sebab dia, Mawar tidur pukul 3 semalam.

"Eh, yang tercegat dekat sini lagi kenapa? Pergilah dapur."

Mawar tersentak dari lamunannya sebelum dia tersengih kecil. "Dah nak pergi lah ni. Bye Kak Siti... Selamat membersihkan ruang tamu...." ujar Mawar sebelum mengatur kakinya pergi ke dalam dapur.

Kak Siti hanya menggeleng kepala melihat telatah gadis itu. Langsung tidak nampak seperti diculik. Beza sungguh tingkah gadis itu sekarang dengan waktu pertama kali mereka bertemu.

Nampaknya, Luthfan Hariez tidaklah seteruk yang dibayangkan.

***

Mawar melangkah masuk ke dalam dapur sambil bernyanyi kecil. Sebuah bekas yang ada di atas meja makan didekati. Penutup dibuka. Mawar sudah menelan air liur. Ah, tengok bentuk saja sudah mampu buat dia terliur.

Baru sahaja dia mengatur langkah untuk mengambil pinggan, matanya sudah tertancap dengan sebuah telefon bimbit yang berada di atas rak.

"Siapa pula yang bagi tinggal phone dia dekat sini ni?" soalnya perlahan namun tangannya sudah membelek telefon itu. Senyuman lebar sudah terukir di bibirnya setelah melihat telefon itu tidak mempunyai password.

Mawar RoseWhere stories live. Discover now