Dato' Safwan memandang pemandangan melalui tingkap kereta. Perjalanan yang mengambil masa selama 1 jam itu amat membosankannya. Jadi Dato' Safwan membuat keputusan untuk membuka radio.
Kepalanya terhangguk-hangguk mengikut rentak lagu rock yang dimainkan oleh juruhebah radio. Sesekali dia tertawa kecil mendengar celoteh dari juruhebah itu yang agak menghiburkan.
Kereta Mercedes milik Dato' Safwan akhirnya selamat sampai di tapak projeknya yang terletak di Putrajaya. Keluar sahaja dari perut kereta, Dato' Safwan terus melangkah menghampiri tapak projeknya itu. Bangunan yang hampir siap itu ditatapnya lama dengan perasaan puas.
Dato' Safwan masuk ke dalam bangunan tersebut. Matanya meliar memandang pekerja-pekerjanya yang bertungkus-lumus menyiapkan tapak projek itu demi sesuap nasi.
"Tuan, kami rasa tuan tak patut berada di sini. Tempat ni bahaya" ujar salah seorang dari pekerjanya. Bukan apa, tempat ini baru sahaja dibina. Banyak kejadian bahaya yang boleh berlaku jika tidak berhati-hati atau tersilap langkah.
Dato' Safwan hanya tersenyum simpul. "Jangan risau, saya cuma nak melawat tapak projek ini sekejap sahaja" jawab Dato' Safwan ramah. Pekerja itu menganggukkan kepalanya lalu menyambung semula kerjanya.
Hayyan keluar dari kedai itu dengan perasaan kecewa. Sudah 8 buah kedai dia bertanyakan tentang kerja kosong tetapi malangnya jawapan mereka tetap sama. Tiada jawatan kosong.
Hayyan menghembuskan nafas berat. Dia melabuhkan punggung di atas tangga itu. Kakinya sudah lenguh kerana sudah seharian dia berjalan tanpa henti. Hayyan meraup kasar wajahnya.
"Ya Allah, kau permudahkanlah urusan hambamu ini. Dapatkanlah aku satu pekerjaan tetap Ya Allah. Kalau aku tak kerja, siapa yang nak tanggung makan minum keluargaku jika bukan aku" rintih Hayyan perlahan. Sudah la dia dipecat kerana fitnah, kini tiada pula kerja kosong yang dijumpainya. Berat sungguh ujian ini. Tapi dia tahu, semua yang terjadi pasti ada hikmahnya.
Hayyan kembali berdiri. Seluarnya yang terlekat habuk itu ditepuk perlahan agar dapat menghilangkan kotoran. Dia berjalan keluar dari situ. Dia pun tidak tahu hendak ke mana lagi.
Hayyan berjalan tanpa hala tuju. Langkah yang diaturnya agak perlahan dan lemah. Fikirannya kusut memikirkan ibu dan adik-adik angkatnya di kampung. Pasti mereka sedang menunggu wang darinya.
"Angkat dan letak dekat situ!"
"Baik tuan"
Hayyan menoleh ke tepi apabila telinganya menangkap bunyi bising tersebut. Tidak sedar pula yang dia sekarang berada di tapak pembinaan. Mungkin kerana terlalu memikirkan hal keluarga.
Hayyan memerhati pekerja-pekerja asing di situ. Mereka semua sedang sibuk membuat kerja masing-masing. Ada yang membawa batu-bata menggunakan kereta sorong. Ada juga yang sedang mencedok tanah.
Tiba-tiba dia mendapat satu idea. Kalau dia meminta kerja di sini, agak-agaknya dapat tak? Ah, belum cuba belum tahu.
Dato' Safwan melangkah keluar dari tapak projek itu. Dia menilik jam di tangannya. Nampaknya sudah sejam dia berada di sini. Selepas berfikir masak-masak, dia membuat keputusan untuk pulang ke rumah sahaja.
"Tuan!" jerit salah seorang dari pekerjanya. Dato' Safwan terus mendongakkan kepalanya ke atas. Terbuntang matanya melihat sebuah tukul yang sedang menjunam laju betul-betul berada di atas kepalanya. Kakinya hanya kaku di situ, mungkin kerana terlalu terkejut. Matanya terpejam rapat menunggu kesakitan yang bakal dialami sekejap lagi.
Buk!
Nadya melangkah masuk ke dalam restoran mahal yang menjadi tempat pilihannya untuk menjamu selera. Matanya melilau mencari figura yang sudah beberapa tahun tidak berjumpa. Bagaimanalah rupa sahabatnya itu sekarang?
YOU ARE READING
CINTA UNTUK MISS SOMBONG
RomansNadya Fitriani seorang gadis kaya dan hidup dalam serba mewah. Wajahnya yang berkacukan Arab itu menjadikan dirinya tarikan para lelaki. Sikapnya yang terlalu sombong membuatkan dirinya agak sukar untuk mendapatkan teman lelaki. Prinsipnya hanya sat...