Mata dibuka perlahan. Hanya siling putuh yang menyapa pandangannya. Erina kembali memejamkan mata, cuba untuk mengingati perkara yang berlaku sebelum dia tidak sedarkan diri.
"Baby?" Matanya kembali terbuka apabila segala memori kembali menjengah. Perutnya diusap laju.
"Dia selamat." Satu suara garau memberitahu setelah melihat wajah panik Erina. Segera mata Erina mencari sumber arah suara itu.
"Sabar sayang. Kita nak sampai."
"Awak buat apa dekat sini?" Erina hanya beriak normal. Tidak menunjukkan rasa terkejut dengan kehadiran lelaki itu.
"Ada sakit mana-mana lagi?" Tanpa mempedulikan soalan wanita itu, Saif menapak menghampiri katil Erina.
"Tak. Tak ada. Cuma lenguh sikit." Saif memandang tepat ke mata Erina. Tanpa amaran, tangan kiri wanita itu diangkat.
"Aww!!!" Erina menjerit kuat.
"Cik puan?" Hakim yang baru menjejakkan kaki ke wad itu terus berlari sebaik mendengar jaritan nyaring itu.
"Jangan nak berlagak kuat. Semut gigit pun dah menangis." Erina mencebik. Pasti Saif memerlinya dengan kisah dia datang ke klinik Saif dalam keadaan teresak-esak akibat digigit semut api. Tapi memang sakitlah! Sampai demam dia dibuatnya dahulu.
"Cik puan, okay?" Erina menggangguk.
"Anak saya macam mana, Akim?" Saif menjeling. Aku dekat sini dari tadi bukannya nak tanya.
"Doktor kata tak ada apa yang serius tapi ada pendarahan sikit. Cik puan kena lebih hati-hati selepas ini. Itulah cik puan, degil! Kan saya dah kata tunggu." Erina tergelak kecil melihat Hakim membebel bagaikan seorang emak memarahi anaknya.
"Baiklah Encik Hakim Rizuan. Lain kali, saya dengar kata-kata encik. Okay?"
"Ish cik puan! Jangan panggil saya macam itu. Saya kuli sahaja. Jangan encik-encik."
"La macam itu pula? Kalau saya naikkan pangkat dari kuli jadikan laki, amacam? Boleh panggil encik lepas ni." Dahi Hakim berkerut mendengarnya.
"Saya memang lelaki, cik puan." Erina ketawa kuat. Sudah dia agak Hakim tidak faham maksud 'laki' yang dimaksudkan. Hakim ada menceritakan yang dia memang jarang bercuti ke luar negeri. Rakan-rakannya juga tidak banyak dari negeri lain membuatkan dia sukar memahami loghat dan dialek yang wujud di Malaysia ini.
"Tak apalah Hakim. Nanti kalau awak dah faham, bagitahu saya ya awak setuju atau tidak." Hakim menggaru kepalanya. Masih tidak berjaya memahami apa yang Erina katakan.
"Ehem!" Saif yang sedari tadi memerhati kemesraan pasangan majikan dan pekerja itu berdehem. Tidak sedarkah dia manusia itu yang dia masih di sini?
Kini perhatian Erina beralih ke arah doktor lelaki yang masih setia berdiri di situ.
"Erm terima kasih tolong." Ucap Erina ikhlas. Dia masih waras ketika Saif merawatnya di klinik selepas kemalangan itu berlaku. Selepas itu, dia tertidur semasa dia dipindahkan ke hospital berdekatan.
"Sama-sama." Dan keadaan menjadi sunyi kembali.
"Tak apa ke awak tinggalkan klinik lama-lama?" Bukan dia mahu menghalau lelaki yang membatunya, cuma keadaan menjadi sangat janggal lagi-lagi mereka pernah mempunyai hubungan satu ketika dahulu.
Saif tidak menjawab sebaliknya dia merenung Erina yang masih terbaring itu.
"Saya dah bagitahu doktor tentang tangan awak. Kalau ada sakit yang lain, bagitahu. Jangan rahsiakan. Doktor bukan ahli nujum. Saya minta diri." Erina dan Hakim hanya menggangguk. Tidak tahu mahu memberi respon apa. Keadaan menjadi sepi kembali setelah tubuh Saif hilang dari pandangan. Erina memejamkan matanya erat.