"Ini apa? Awak nak suruh saya baca laporan atau perah air kopi?" Masing-masing menunduk apabila suara Dato' Muhaimin menjerkah telinga. Mana tidak mengamuk apabila mereka, ahli-ahli lembaga pengarah turun padang untuk projek besar ini namun dihidangkan dengan kertas coklat berbaju biji kopi arabica.
Nadira menunduk. Sungguh dia tidak mampu menjawab apa-apa.
"Maafkan saya, Dato'. Ada kemalangan kecil berlaku di saat akhir." Dato' Muhaimin mengeluh manakala Encik Uthman di sebelah hanya diam dengan wajah menggerunkan.
"Jadi, apa guna kami turun kalau tiada apa untuk dibentangkan? Kamu fikir, ini kelas di universiti? Tak akan satu benda pun tak ada? Back up?" Nadira menunduk lalu menggeleng. Tabletnya juga tidak dapat dibuka akibat terkena air tadi.
"Rasanya ketua projek besar kali ini ialah ketua cawangan ini sendiri. Tak akan ini yang saya dapat hari ini, Iqbal Asyraf?" Iqbal turut terkelu. Tidak tahu mahu menjawab apa sedangkan dia ada memeriksa progress semua orang.
Encik Usman menggeleng kecewa. Susah payah mereka turun dari ibu pejabat hanya untuk mendapatkan pembentangan yang carca-merba. Memandangkan projek kali ini memakan kos yang tinggi, juga melibatkan ahli muda dari cawangan yang baru beroperasi kurang 5 tahun, semua ahli lembaga pengarah bersemangat untuk menyokong. Projek yang dijangka membuatkan hasil 3 kali ganda ini diluluskan serta-merta kerana keunikan ideanya.
"Kami sudah bersedia Dato'. Cuma kemalangan saat akhir tak dapat dielakkan. Salah saya juga kerana tiada pelan B yang disiapkan." Iqbal buntu. Kalaulah dia tahu apa yang berlaku, mungkin dia boleh melakukan sesuatu. Dia juga baru tahu hal ini sebentar tadi, di dalam bilik ini!
Itu pun setelah dia siap membentangkan bahagiannya. Apabila dia meminta Nadira menyambung laporan kewangan, gadis itu hanya tertunduk diam tanpa bicara.
"Mungkin silap keputusan kita menyerahkan anak syarikat 4 ini kepada pengurusan muda. Mereka ingat, ini tugasan universiti?" Sindir salah seorang pengurusan tertinggi, yang juga merupakan sahabat Encik Usman merangkap antara pemegang saham. Mereka semua merupakan orang yang sudah senang bersama Encik Usman membangunkan syarikat utama serta 3 lagi anak syarikat.
Sewaktu mereka mengembangkan anak syarikat 4 ini dahulu, mereka mengambil keputusan untuk memberi tampuk kepimpinan kepada anak-anak muda dan Iqbal dilihat berpotensi sebagai ketuanya. Jika tiada ahli muda yang layak untuk sesuatu jawatan, barulah ahli lama di cawangan lain akan ditukarkan ke sini untuk membantu buat sementara waktu.
Kini mereka hanya bertindak sebagai badan bukan eksekutif yang memantau syarikat dari jauh memandangkan masing-masing sudah berusia. Ketika keputusan besar diperlukan, barulah mereka campur tangan.
"Slide pun tak ada ni. Kita nak buat Usman dekat sini? Barbecue?" Sindir Encik Zakaria yang berdiam diri sedari tadi.
Encik Usman diam. Lama dia merenung Nadira. Kemudian dia memandang anaknya.
"Kita tamatkan mesyuarat. Saya bagi peluang kedua. Pastikan tak berulang. Ayah-ayah kamu bukan tiket untuk kamu perjudikan periuk nasi 500 pekerja. Bersurai." Encik Usman memberi kata muktamad. Serentak itu mereka berempat bangkit dan berlalu keluar, meninggalkan mereka yang terlibat dalam projek kali ini.
"Usman, boleh percaya ke anak Aiman tu?" Dato' Muhaimin bertanya. Mereka tahu Nadira masuk atas saranan Encik Aiman. Tiada yang membantah memandangkan memang sasaran mereka untuk menjadikan anak syarikat ini diteraju anak muda dan memandangkan Nadira ada kelayakan serta dapat bimbingan langsung dari ayahnya, mereka meluluskan perlantikan jawatannya.
"Aku tak pasti. Yang aku kenal, kembarnya."
"Jadi sekarang?" Encik Zakaria menyelit.
"Kita jumpa Aiman."