BAB 1

593 80 16
                                    

Dia berlari sepantas yang mungkin di dalam kawasan hutan belantara itu. Pinggangnya lenguh, kakinya bengkak dan matanya hampir saja buta kerana kesakitan yang menyengat setiap urat sarafnya.

Kesakitan ini... bermakna kandungannya bakal lahir tidak lama lagi. Apabila celah kelangkang terasa basah, lariannya terus terhenti. Dia kaku di situ melihat air ketuban yang pecah disaluti darah. Tidak dapat menahan sakitnya hendak melahirkan anak, dia terus terduduk di situ.

"Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini. Permudahkan segalanya." Maryam menoleh ke belakang demi memastikan pengawal yang mengejarnya tadi tidak ada.

Dalam peritnya rasa takut, dia cuba bertenang. Berulang kali kalimah Allah meniti di bibirnya.

"Lahirkan anak ini di luar kawasan Ridella. Saya hantarkan Jarrah untuk kamu."

Itulah pesanan Tuan Guru Adam Hussein. Tidak tahu apakah sebabnya arahan itu diberikan tetapi dia turuti tanpa sebarang bantahan. Setiap apa yang lelaki itu sarankan, pastinya bersebab.

Tetapi Jarrah?

Siapa itu?

Grrrrrr!!!

Maryam tersentak. Dia tidak ada lagi kudrat untuk berlari jadi dia sedaya upaya mengesot untuk melindungi dirinya daripada binatang buas itu.

Dari jarak ini, jelas kedengaran ngauman yang menggegarkan tanah ini. Sungguh hatinya tidak senang. Hentakan kaki binatang besar itu sangat kuat sehingga jantungnya berdegup dalam rentak yang sama dengan gegaran tersebut. Laju dan kuat.

"Anak bonda sabar ya? Kita cuba cari tempat berlindung." Maryam menghampiri sebatang pokok yang besar. Dalam gelapnya malam, segalanya terbatas terutamanya penglihatannya.

Grrrrr!!!

"Arghhh!!" Alangkah terkejut dia tatkala seekor serigala jantan yang besarnya sepuluh kali ganda daripada serigala biasa sedang berlari ke arahnya.

Maryam cuba melarikan diri tetapi gagal. Apabila terasa derapan langkah itu semakin hampir, dia cuma menutup mata dan hanya membiarkan apa sahaja takdir yang sudah tuhan tentukan buatnya. Jika kematiannya dengan cara ini, hanya kerana Allah dia reda.

"Maryam..."

Wajahnya automatik terangkat. Suara yang sangat garau itu menggerunkannya. Dengusan nafas serigala ini sangat hampir dengan wajahnya sehinggakan selendang yang dikenakan hampir sahaja terbang.

"Aku Jarrah..."

Lidahnya terkelu seribu bahasa tatkala serigala yang kelihatan bengis tadi sudah duduk dengan tenang malah bisa berbicara. Telapak tangan berbulunya naik menyentuh perut si ibu mengandung yang memboyot ke hadapan itu.

"Lahirkan dia, aku akan jadi saksi kelahirannya."

"Kenapa tuan guru hantarkan kau?" Maryam akhirnya bertemu suaranya yang hilang ditelan rasa terkejut sebentar tadi.

"Aku berjanji untuk melindungi setiap bayi yang diancam. Itu janjiku kepada pemilik aku di dunia dan Pemilik Dunia ini. Jangan kau khuatir, Maryam. Aku akan lindungi anak ini dengan nyawa aku sendiri."

Maryam mengangguk. Dia cuba tenangkan diri. Punggung dilabuhkan ke atas tanah. Jarrah bangun lalu mula mengelilinginya sebanyak 7 kali sebelum mulutnya jatuh mencium perut Maryam.

Bayi di dalam perut itu seakan mendengar seruan untuk keluar. Tatkala itu, kesakitan yang dirasakan Maryam bertambah dan semakin bertambah.

"Apa yang kau amalkan semasa mengandungkan dia?"

 AWAKENING (on hold)Where stories live. Discover now