18

112 23 3
                                    

Permaisuri Maryam disahkan telah mangkat pada pukul 3 pagi tadi.

Mutiah sudah pulang ke Ridella. Dia sendiri yang akan menguruskan jenazah ibunya bersama kakak-kakaknya. Pagi itu terasa sunyi. Kematian yang terjadi ini masih menjadi tanda tanya. Tidak ada sesiapapun tahu apa puncanya.

Maryam tidak ada sebarang penyakit serius. Dia sihat dan tidak pernah culas dalam penjagaan diri. Tetapi apakah faktornya? Maryam sudah berumur 52 tahun. Barangkali ada masalah dalam tubuhnya yang tidak ada sesiapa tahu.

"Boleh mandikan jenazah."

Jenazah.

Itulah bakal gelaran setiap orang di masa yang akan datang. Tiada tuanku. Tiada dato'. Tiada doktor dan seumpama dengannya.

Mutiah bergerak ke sebelah kanan sambil memakai sarung tangan. Dia meletakkan kepala jenazah bondanya agak tinggi di tempat yang disediakan.
Doa untuk jenazah perempuan dibaca.

Setelah itu, Cassandra mengambil kain penutup daripada tubuh jenazah dan menggantikannya dengan kain basahan agar aurat bondanya tetap terpelihara. Subhiya membersihkan gigi, lubang hidung, lubang telinga, celah ketiak, celah jari tangan, dan kaki serta rambut Maryam dengan berhati-hati.

Berikutnya, Mutiah membersihkan kotoran yang keluar dari depan mahupun dari belakang. Perut jenazah ditekan perlahan-lahan agar apa yang ada di dalamnya keluar. Kemudian Cassandra menyiram air untuk membasuh seluruh anggota tubuh Maryam dengan air sabun.

Setelah itu, Cassandra menyiramnya pula dengan air yang bersih sambil membacakan niat dengan nada perlahan.

"Nawaitul ghusla adaa 'an hadzihil mayyitati lillahi ta'aalaa."

Aku berniat memandikan untuk memenuhi kewajiban dari jenazah (wanita) ini kerana Allah Ta'ala.

Setelah membacakan niat tersebut, mereka bertiga mengiringkan jenazah ke kanan lalu membasuh bahagian perut kiri jenazah di sebelah belakang. Selesai sahaja, air bersih disiram daripada kepala hingga ke hujung kaki sebelum disiram lagi dengan air kapur barus.

Mutiah kemudian meratakan air wuduk dengan lemah lembut seakan membantu Maryam berwuduk untuk menunaikan solat.

Maka selesailah jenazah bonda mereka dimandikan.

Tempat mandian jenazah itu diperiksa oleh Subhiya. Jika terdapat najis yang keluar setelah dimandikan dan terkena pada badan jenazah, ia wajib dibuang dan dimandikan semula. Namun tidak perlu bagi najis yang keluar setelah di atas kain kafan, cukup dengan membuang najis itu sahaja.

Setelah melepaskan sanggul rambut, rambut ikal mayang milik Maryam disiram dan dibersihkan, kemudian dikeringkan dengan tuala dan dikepang agar tidak membasahi kain kafannya. Wangi-wangian yang tidak mengandungi alkohol juga dicalitkan sebelum dikafan.

"Kamu bertiga akan tolong kafankan jenazah ni ya?" soal seorang penduduk Ridella yang dahulunya merupakan dayang istana.

Mereka bertiga mengangguk. Sejak Mutiah tiba pada pukul 5 pagi tadi, mereka cuma berkongsi duka. Sekarang mulut masing-masing terkunci. Sudah tidak kuat lagi untuk mengeluarkan sebarang kata.

Kain kafan sudah dipotong sesuai dengan ukuran jenazah dan dibentangkan sebanyak dua lembar.
Kain sarung juga disediakan untuk diletakkan di antara pusat dan kedua lututnya. Pakaian bersih dan tudung turut diletakkan pada tempatnya.

3 hingga ke 5 utas tali diletakkan di bahagian paling bawah kain kafan. Kapas yang berbau wangi turut ada di situ untuk diletakkan pada anggota badan tertentu. Melihat segalanya sudah tersedia, Subhiya berpaling lalu mengangguk pada orang-orang yang akan mengangkat dan baringkan jenazah Maryam di atas kain kafan itu.

 AWAKENING (on hold)Where stories live. Discover now