22

101 22 0
                                    

"Tuanku..."

Mutiah mengangkat pandangan ke arah pintu. Ada Ketua Salloman di situ. Wajahnya serius. Mutiah dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena.

"Ada kes zina di Kota Hagron. Kami memerlukan persetujuan tuanku untuk jatuhkan hukuman ke atas mereka."

Mutiah mengangguk faham. Sebulan sudah berlalu. Rumahtangganya baik-baik sahaja namun diganti oleh pelbagai masalah di kawasan kota. Mirhad mengendalikan setiap kawasan kecuali Kota Hagron, kerana Mutiah yang berkeras mahukan kota itu di bawah penjagaannya.

"Berapa usia mereka?"

"20 dan 19, tuanku."

Pen yang sedang mengukir patah perkataan itu terhenti. Terpercik lebihan dakwat sehingga comot sudah kertas putih itu. Mutiah mengetap rahang. Usia mereka masih muda tapi sudah hanyut kerana ledakan nafsu.

"Saya akan ke sana." Mutiah bangkit daripada kerusi tanpa mengemas apa yang patut. Dayang yang menemaninya pantas bertindak menyediakan persalinan yang sesuai.

"Saya perlu berjumpa dengan suami saya dahulu. Kejap ya?"

"Baik, tuanku. Saya tunggu di luar." Ketua Salloman mengangkat sembah sebelum berundur. Melihat pemergian lelaki itu barulah Mutiah membuka langkah ke perpustakaan.

Perkahwinan mereka baru saja sebulan terbina. Tetapi Mutiah cukup kenal dengan suaminya yang lebih suka betapa di perpustakaan berbanding pejabat yang khas disediakan untuknya.

"Awak." Mutiah melangkah masuk tanpa mengetuk pintu. Dia pernah ketuk tapi Mirhad kata tak perlu.

"Ya?" Lelaki itu menurunkan kaca mata ke batang hidung. Badannya disandarkan ke kerusi sambil memandang isterinya yang sedang menghampiri.

"Saya nak keluar ke kota. Ada perkara yang perlu saya selesaikan. Awak izinkan?"

Mirhad tersenyum lalu mengangguk memberi keizinan.

Itulah Mutiah. Sepanjang bergelar isteri, tidak pernah walaupun sekali dia mengetepikan Mirhad. Setiap tindakannya pasti akan tertangguh jika Mirhad tidak memberi keizinan. Melainkan ada perkara yang Mirhad kata tidak perlukan keizinannya.

"Terima kasih." Mutiah mencapai tangan lelaki itu untuk bersalaman.

"Jaga diri."

"Baik awak. Layla mana?" Saja dia ambil masa sedikit untuk bersembang. Sejak dua menjak ini, susah betul dia nak nampak muka Mirhad. Kadang kala lelaki itu ke Errodian selama 4 hari, kemudian ke Pluvio selama seminggu. Dia pula akan ke sana selama 2 hari saja sebelum pulang.

"Ada dekat taman bunga atas."

Taman bunga di Istana Hagron L Casa terbahagi kepada dua kategori. Yang bawah diletakkan pokok bunga biasa berlantaikan tanah berumput. Manakala yang di atas diletakkan pokok bunga eksotik dan berlantaikan kaca yang dibawahkan terdapat kolam ikan yang bersambung dengan sungai yang mengalir dari Bukit Niro di belakang istana.

"Oh, tempat kegemaran dialah tu. Okeylah, saya pergi dulu." Mutiah melambai kecil.

"Hati-hati. Assalamualaikum." Mirhad membalas lambaian itu sebelum salamnya turut dibalas. Mutiah sempat melorekkan senyuman lebar buatnya sebelum menghilang di sebalik pintu.

*****

"Lelaki tu merupakan penzina muhsan, tuanku." beritahu Ketua Salloman sebaik sahaja mereka tiba ke tapak hukuman. Di sekeliling mereka sudah berkumpul lebih kurang 100 orang untuk menyaksikan hukuman yang bakal dijalankan.

"Perempuan?" Nada Mutiah menjadi beku. Tempat ini dia akan elakkan jika boleh. Tetapi setiap minggu, pasti ada saja jenayah yang dilakukan. Tidak ke sini, akan ke mahkamah.

 AWAKENING (on hold)Where stories live. Discover now