AILEEN bersalaman dengan makcik-makcik dan saudaranya yang lain. Dia dan Hayl sudah mahu bertolak ke Kuala Lumpur. Entah bila lagilah mereka dapat peluang untuk berkumpul begini.
“Jangan lupa datang majlis resepsi sebelah Hayl nanti tau,” pesan Aileen. Awal-awal dia dah minta mereka semua ambil cuti untuk majlis resepsinya di pihak lelaki yang akan diadakan dua minggu lagi.
“Yalah Leen. Jangan risau. Kami naik bas ke sana nanti,” seloroh mak ngah.
Aileen ketawa. Ada-ada saja. Dipeluk Mak Siti erat. “Ibu... Jaga diri tau. Kalau ada apa-apa, beritahu Leen,” pesannya.
“Ya. Leen pun sama. Lepas ni jangan buat perangai macam budak-budak lagi. Leen tu dah jadi isteri orang. Jaga makan pakai suami.”
Aileen mengangguk faham. Mak Siti mahu meleraikan pelukan mereka tetapi Aileen menariknya kembali. “Bagilah Leen peluk ibu lama sikit.”
Seandainya dia mampu, mahu saja dia ceritakan pada Mak Siti apa yang dia sedang lalui sekarang ini. Tetapi dia tidak mahu wanita itu risaukannya. Jadi biarlah dia memendamnya sendiri. Lagipun ini adalah pilihannya sendiri. Jadi dialah yang tanggung kesannya sendiri. Tiada siapa yang memaksanya dalam membuat pilihan.
“Leen sayang ibu...” ujarnya sebak.
“Ibu pun sayang Leen juga. Ingat Leen, apa pun ujian yang mendatang lepas ni Leen kena sabar. ALLAH tak datangkan masalah itu tanpa jalan penyelesaian.”
Aileen mengangguk faham. Sebelum jadi drama air mata dekat sini, lebih baik dia mengundur diri. Pelukan dileraikan.
“Hayl dah ambil semua beg baju bawa masuk dalam kereta kan?” soalnya pada Hayl.
“Dah Leen.”
Pap! Satu tamparan hinggap di lengan Aileen. Membuatkan Aileen tersentak.
“Hayl je Leen panggil suami Leen?” Mencerlung mata Mak Siti memandang anak tunggalnya itu. Bertuah punya budak.
“Kenapa? Dah nama dia Hayl. Leen panggil lah Hayl. Ibu dengan yang lain pun panggil Hayl dia juga kan?”
Yang lain tertawa melihat reaksi dua beranak itu. Lagi-lagi mak ngah. Bukan main seronok dia ketawa. Lurus juga anak buah aku ni. Kalau nak dibandingkan dengan pembaris, si Leen ni lagi lurus.
“Leen, panggillah nama yang romantik sikit. Baby ke, ucuk ke... Ha tak pun manja. Budak-budak zaman sekarang kan suka panggilan macam tu,” ujar mak ngah dengan sisa tawanya.
Hayl ketawa kecil. Sejujurnya dia tidak kisah pun jika Aileen mahu memanggilnya dengan panggilan nama. Dia juga bahasakan dirinya dengan panggilan nama sahaja. Baginya panggilan itu tidak berapa penting pun. Tapi jika Aileen mahu memanggilnya dengan panggilan yang istimewa, dia sangat alu-alukan!
“Panggil nama lain. Jangan panggil nama macam tu je,” tegur Mak Siti.
“Hmm ya lah.” Aileen akur. Dia dah terbiasa panggil Hayl dengan namanya saja. Lagipun tak pernah terfikir pula nak panggil Hayl dengan panggilan yang lain. Dia selesa begitu. Hayl pun memanggilnya dengan namanya saja. Kadang-kadang Hayl memanggilnya dengan panggilan sayang juga.
SEDARI tadi Aileen hanya diam. Pandangan dihalakan ke luar tingkap. Hanya suara radio yang menemani perjalanan mereka.
”Leen okay ke?” soal Hayl memecah kesunyian antara mereka. Dia yang sedang memandu itu mengerling sekilas ke arah Aileen.
“Okay,” jawab Aileen sepatah. Jasad saja berada di sini tapi fikirannya entah melayang kemana-mana. Dia memikirkan hala tuju hubungannya dengan Hayl selepas ini.
Mampukah dia membuat Hayl melupakan cinta pertamanya? Sekiranya dia tidak berjaya, bagaimana penghujung hubungan mereka? Mampukah dia terus bertahan dalam hubungan tanpa cinta ini?
YOU ARE READING
Jika Harus Begitu
Romance"I still love her." Hati isteri mana yang tak terluka apabila ayat itu keluar daripada bibir sang suami di malam pernikahan mereka. Namun Aileen tak mengalah. Sedaya upaya dia cuba membuat Hayl jatuh cinta padanya dan melupakan cinta lamanya. Namun...