“ABANG sihat?” soal Aileen prihatin. Hampir sebulan tak berjumpa dengan suaminya itu, banyak perubahan yang dia lihat pada Hayl.
Wajah Hayl kelihatan sedikit cengkung berbanding dulu. Misai dan jambang lelaki itu juga tidak bercukur. Walhal, Hayl yang dia kenal sangat menjaga penampilannya.
“Sihat. Abang sihat. Sayang sihat?” soal Hayl kembali. Dia masih tidak percaya yang Aileen sudah kembali. Sedari tadi matanya tak lepas daripada menatap wajah sang isteri.
“Leen pun sihat. Leen minta maaf sebab tinggalkan abang lama-lama.”
Hayl menggeleng perlahan. Tangan Aileen dicapai lalu disatukan jemari mereka.
“Abang faham sayang perlukan ruang. Abang yang sepatutnya minta maaf pada sayang dengan apa yang abang dah buat pada sayang selama ni.”
Aileen senyum segaris. Tangan kanannya naik menyentuh wajah Hayl. Rahang yang ditumbuhi bulu-bulu kasar itu diusap lembut.
“Kenapa abang tak shave?”
“Sayang tak suka tengok abang macam ni? Abang pergi shave sekarang juga.” Cepat-cepat Hayl ingin bangun. Hampir terlupa dengan penampilannya yang serabut itu. Dia tidak mahu bertemu Aileen dalam keadaan begini.
Aileen menahan tangan Hayl yang ingin bangun daripada tempat duduknya itu.
“Biar Leen tolong cukurkan. Boleh?”
Hayl langsung tersenyum seraya mengangguk kecil. Kalau Aileen sudi mencukurkan jambang dan misainya, dia seribu kali sudi wanita itu lakukan untuknya.
KRIM pencukur disapukan lembut ke rahang Hayl. Kemudian dengan berhati-hati dan teliti Aileen mencukur jambang Hayl. Mata Hayl tak lepas daripada menatap wajah Aileen. Masih tak puas melihat isterinya itu.
“Kenapa abang pandang Leen macam tu?” soal Aileen. Rasa tak selesa pula bila daripada tadi Hayl asyik menatap wajahnya. Ada apa-apa yang pelik ke pada wajahnya?
“Abang tengah kira jerawat Leen ke?” soal Aileen lagi.
Hayl tergelak kecil. Pipi Aileen dicubit lembut. “Muka isteri abang ni mana ada jerawat. Kan flawless je ni.”
Aileen turut sama ketawa. Syukur dengan nikmat yang satu itu. Walaupun dia tidak begitu menjaga sangat kulit wajahnya, kulit wajahnya tetap kelihatan berseri-seri. Susah nak tumbuh jerawat. Kalau ada pun waktu dia tengah bulan mengambang. Itu normal bagi semua perempuan.
“Sayang okey?”
Aileen pegun seketika. Lambat-lambat dia mengangguk. “Leen okey.”
“Abang minta maaf.” Untuk yang entah keberapa kali lelaki itu mengucap kata maaf. Hayl tahu walau berjuta kali dia mengucap kata maaf sekali pun dia tidak akan mampu memadam luka di hati isterinya itu.
“Abang asyik minta maaf je daripada tadi. Jangan risau, Leen dah maafkan abang.”
“Walaupun abang dah lukakan hati sayang?”
Aileen mengangguk kecil. “Walau apapun yang abang buat pada Leen, Leen akan selalu maafkan abang.”
Hati Hayl tersentuh mendengar bicara isterinya itu. Begitu tulus dan ikhlas. Bagaimana dia tega menyakiti sekeping hati milik Aileen? Ya ALLAH, berdosanya dia pada Aileen.
“Tapi kalau boleh, abang jangan sakitkan hati Leen lagi boleh?”
Hayl terdiam. Lidahnya bagai tergulung di lelangit.
“Sebab dekat sini ada abang.” Aileen menarik lembut tangan Hayl lalu diletakkan di dadanya. Mata Hayl ditatap sayu.
“Sayang...” Hayl terus menarik Aileen ke dalam pelukannya.
YOU ARE READING
Jika Harus Begitu
Romansa"I still love her." Hati isteri mana yang tak terluka apabila ayat itu keluar daripada bibir sang suami di malam pernikahan mereka. Namun Aileen tak mengalah. Sedaya upaya dia cuba membuat Hayl jatuh cinta padanya dan melupakan cinta lamanya. Namun...