Bab 10

94 11 1
                                    

HAYL meraup kasar wajahnya. Apa yang kau dah buat ni Hayl? Tanpa menunggu lama, dia terus mengejar Aileen yang sudah turun ke tingkat bawah.

“Sayang!” Hayl terus menyambar lengan Aileen. Serentak dengan itu langkah Aileen langsung terhenti.

“Sayang... Abang minta maaf. I’m sorry,” ucapnya berulang kali. Tubuh Aileen terus ditarik ke dalam dakapannya. Erat.

Aileen terus menghamburkan tangisannya di dada bidang Hayl. Teresak-esak dia menangis. Hatinya benar-benar luluh. Sudah sekian lama dia bertahan.

“Abang minta maaf. Abang gagal jadi suami yang sempurna untuk sayang.” Hayl mengeratkan lagi pelukannya. Tubir matanya bergenang. Melihat Aileen menangis teruk kerananya, hatinya turut terkesan sama. Semuanya berpunca daripadanya.

Sepatutnya daripada awal lagi dia tidak hadir ke dalam kehidupan Aileen. Jika tidak, Aileen tidak akan terseksa begini.

Semua berpunca daripada dirinya sendiri. Dirinya yang tak mampu berdamai dengan takdir. Dirinya yang masih terus hidup dengan bayangan silam.


“LEEN tahu abang lukis gambar dia waktu Leen minta abang lukis gambar Leen. Sebab tu abang tak bagi Leen tengok lukisan tu kan?” soal Aileen. Dia sudah lebih tenang ketika ini.

Lambat-lambat Hayl mengangguk. Tak mampu dia nak menafikannya lagi. Aileen sudah tahu. Malah isterinya itu melihat sendiri lukisan itu.

“Susah sangat ke untuk abang lupakan dia?” soal Aileen lagi. Dadanya dihurung sebak.

“Abang masih belum mampu nak lupakan semuanya.”

“Sebab dia cinta pertama abang?”

Hayl mengangguk lagi. Dhia lah perempuan pertama yang menghuni hatinya sampailah dia bertemu dengan Aileen. Dia sangkakan selepas berkahwin dengan Aileen dia akan serta-merta mampu melupakan Dhia. Ternyata dia silap. Isterinya itu pula yang terseksa.

“Jadi macam mana dengan Leen?”

“Abang sayangkan sayang. Abang cintakan sayang.”

Aileen menggeleng perlahan. Sayang itu mungkin. Tapi tidak cinta. Tak mungkin Hayl mampu mencintai dua orang wanita dalam masa yang sama. Jika Hayl masih mencintai Dhia, mustahil Hayl mampu untuk cintakan dia. Jika cinta pun itu hanyalah kerana kasihan. Kasihan mungkin pada Aileen yang terhegeh-hegeh mengejar cinta seorang suami.

“Sayang, abang betul-betul minta maaf. Semua ni salah abang. Kalau abang tak datang dalam hidup sayang, semua ni tak akan jadi. Kita tak akan pergi sejauh ni. Dan sayang pun tak akan terluka.” Hayl bangun daripada sofa. Dia duduk bertinggung di hadapan Aileen. Tangan isterinya itu diraih lalu digenggam erat.

Aileen memejamkan matanya sesaat. Berkaca matanya menatap wajah Hayl. Apa maksud Hayl? Adakah lelaki itu menyesal kerana dipertemukan dengannya?

“Abang menyesal kahwin dengan Leen?”

“Abang menyesal sebab dah lukakan hati sayang. You don’t deserve this pain. I’m sorry.” Hayl tunduk mencium kekura tangan Aileen.

“Leen tak pernah menyesal dengan pertemuan kita. Ya, Leen akui memang Leen kecewa bila tahu hati abang masih untuk dia. Leen sanggup tunggu sampai hati abang berubah untuk Leen. Sampai abang betul-betul lupakan dia. Tapi Leen betul-betul kecewa bila abang tak ada usaha langsung untuk lupakan dia. Kalau terusan macam ni, sampai bila-bila pun abang tak akan dapat lupakan dia.”

Hayl terdiam. Dia hilang diksi. Tiada apa yang salah dengan apa yang isterinya itu katakan. Itulah hakikatnya. Dia sendiri tidak berusaha untuk melupakan Dhia. Segala barang-barang kenangan bersama dengan Dhia masih disimpan. Sayang sangat nak buang semuanya.

Jika Harus Begitu Where stories live. Discover now