Bab 25

374 19 5
                                    

SEPANJANG perjalanan menuju ke pejabat, hati Aileen dihurung sebak. Selalunya dia dan Hayl akan ke pejabat bersama-sama. Dia tak perlu susah-susah nak memandu.

Tak sedar air matanya menitis perlahan mengenangkan hubungan mereka. Adakah Hayl sudah menemui bahagianya sekarang ini?

Pin!

Aileen tersentak mendengar bunyi hon daripada kereta di belakangnya. Dia cepat-cepat menekan pedal minyak. Lampu isyarat sudah bertukar hijau pun dia tak perasan. Jauh sangat mengelamun.

Selepas memarkir keretanya, Aileen terus turun daripada perut kereta. Dia tersenyum saat matanya bertembung dengan sepasang mata.

Hayl.

“Abang!” Aileen melambaikan tangannya ke arah Hayl.

Hayl hanya beriak biasa. Tiada secalit senyuman pun di bibirnya. Dia terus membuka langkah berlalu masuk ke dalam bangunan pejabat.

“Abang!” Tergesa-gesa Aileen mengunci pintu keretanya. Dia berlari anak mengejar langkah Hayl. Hampir-hampir saja dia tersadung.

Pin!!!

“Aileen!” Tubuh Aileen ditarik pantas ke tepi.

Aileen tergamam. Dia hampir saja dilanggar oleh sebuah motosikal gara-gara melintas melulu.

“Kau okey tak?” soal Nisa panik. Nasib baik dia ada. Kata dia tak tarik tubuh Aileen ke tepi tadi, agaknya kawannya itu sudah dilanggar oleh motosikal tadi.

Debar jantung memukul dada. Aileen mengangguk kecil. Dia masih terkejut dengan apa yang berlaku. Semuanya terlalu pantas.

Apa yang membuatkan dia sedih, Hayl langsung tak menoleh memandangnya saat dia memanggil nama lelaki itu. Kerana ingin mengejar langkah Hayl lah dia hampir saja dilanggar. Adakah lelaki itu masih marah padanya?

“Kenapa kau rushing sangat ni?” soal Nisa lagi. Pelik. Nak kata dah terlambat, baru pukul 8.15 pagi. Waktu kerja mereka bermula pukul 9 pagi.

Aileen menggeleng perlahan. “Terima kasih Nisa.”

“Leen... Kau betul-betul okey ke ni?”

Aileen senyum segaris. “Aku okeylah. Terima kasih jadi hero selamatkan aku pagi ni.”

“Leen.” Nisa terus menarik tubuh Aileen ke dalam pelukannya.

Air mata Aileen langsung gugur. Esakannya kedengaran. Belakang tubuhnya terasa diusap lembut oleh Nisa.

“Kau kuat Leen. Kalau orang lain yang berada dekat tempat kau, belum tentu dia boleh bertahan sampai sekarang ni.”

Aileen memejamkan matanya. Tiada siapa yang harus dipersalahkan dalam hal ini. Dan jika ada orang yang dipersalahkan, orang itu adalah dirinya sendiri. Dia yang mahukan semua ini demi kebahagiaan Hayl.

Jadi sakit macam mana pun yang dia rasakan, Aileen perlu telan semuanya.

“Mengalah untuk kebahagiaan orang yang kita sayang tu adalah satu hal yang cukup hebat,” ujar Nisa sebak.

Dia faham apa yang Aileen rasa kerana dia sudah pernah berada di situasi itu. Cuma jodohnya dengan bekas suaminya tidak panjang dan dia tidak cukup kuat seperti Aileen untuk berkongsi kasih. Jadi dia lebih rela untuk mengalah.

Pelukan dileraikan. Aileen cepat-cepat mengesat pipinya dengan belakang tangan. Dia tutup segala lukanya dengan senyuman.

“Terima kasih Nisa.”

“Jom masuk.” Nisa tarik tangan Aileen. Dia tak dapat nak bayangkan perasaan Aileen sekarang ini.

Sudahlah bekerja sebumbung dengan suami. Selalunya pergi dan pulang kerja bersama-sama. Tapi sekarang ni keadaan sudah berubah.

Jika Harus Begitu Where stories live. Discover now