Bab 6

246 17 3
                                    

SEMENTARA menunggu Aileen mandi, Hayl masuk ke dapur terlebih dahulu. Mahu menyediakan makan malam mereka. Tiga hari sebelum mereka berkahwin, Hayl sudah siap membeli barang-barang keperluan dapur. Tak banyak. Cukuplah untuk beberapa minggu.

Ayam mentah dikeluarkan daripada peti sejuk. Hayl bercadang mahu masak sambal ayam saja. Ringkas dan mudah. Cukuplah tu untuk mengisi perut mereka malam ini.

Ayam mentah yang sudah siap disiang itu direndam seketika. Sementara itu Hayl mula menyediakan bahan-bahan untuk membuat sambal. Disebabkan dia sudah biasa memasak, kerja-kerja ini mudah saja untuknya.

“Hayl.” Aileen berjalan masuk ke dapur.

“Iya,” sahut Hayl.

“Kalau kita bungkus makanan dekat kedai kan lagi senang,” ujar Aileen. Dia berjalan merapati Hayl.

“Tak apalah. Hayl nak masak sambal ayam. Senang je ni,” balas Hayl.

Hah senang? Senang bagi lelaki itu! Aileen ni kalau disuruh goreng ayam pun masih terkial-kial lagi. Hmm... Nasiblah Hayl kahwin dengan perempuan sepertinya.

“Nak Leen tolong apa-apa tak?” soal Aileen. Takkan dia nak tengok je suaminya itu memasak. Dah lah sepatutnya itu tugasnya.

“Leen tolong masak nasi boleh?”

“Okay.” Haa, nasib baiklah Hayl minta dia masak nasi je. Kalau suruh buat benda lain macam mana? Belum tentu dia tahu.

Masak nasi pun sebenarnya masih terkial-kial lagi. Gigih nak ukur paras air. Takut terlebih air nanti nasi jadi lembik. Kalau kurang air, keras pula.

Aileen terus bergerak mengambil periuk nasi lalu diisikan beras. Satu cawan kecil saja. Cukuplah ni buat mereka berdua. Aileen biasanya memang jarang makan waktu malam. Nak jaga badan kononnya. Tapi bila dah kahwin ni, kenalah dia makan sekali. Lagi-lagi suami dah masak. Kecil pula hati Hayl nanti kalau dia tidak mahu makan.

Siap memasak nasi, Aileen lihat Hayl sudah mula menggoreng ayam. Sambalnya pula sudah siap. Lepas ni tinggal nak gaul je ayam goreng tu dengan sambal.

“Hayl nak minum air apa?” soal Aileen.

“Apa-apa pun boleh.”

“Nak Leen buat air manis?” soal Aileen lagi.

“Boleh juga.”

“Okay. Leen bancuh sirap ais.”

“Cun!” Hayl tersenyum memandang Aileen sambil mengangkat ibu jarinya.

“Gelas dekat mana Hayl?” soal Aileen. Air sudah siap dibancuh. Gelas pula tak jumpa.

“Dalam laci tengah tu Leen.”

Aileen terus menarik laci kabinet yang berada di tengah-tengah. Dekat situ rupanya Hayl simpan gelas. Puas dia cari tadi. Elok je kemas tersusun gelas-gelas dekat situ.

Sewaktu mengambil gelas, mata Aileen terpandangkan sebiji muk berwarna biru lembut. Apa yang membuatkan dia tertarik pada muk itu adalah ukiran huruf yang ada pada muk itu.

Huruf H dan D. H sudah tentu untuk Hayl. D... Kalau bukan untuk Dhia, apa lagi? Entah kenapa Hayl masih simpan muk itu.

“Leen, jumpa tak?” teguran Hayl membuatkan Aileen tersentak.

Cepat-cepat Aileen ambil dua biji gelas dan menutup kembali laci itu. Nanti bila Hayl tiada di rumah, dia akan buang muk itu. Dia tak akan biarkan Hayl simpan lagi kenangan lamanya bersama dengan Dhia.

“Jumpa.” Dia terus berlalu ke ruang makan.

***

SELEPAS makan, Hayl dan Aileen duduk menonton televisyen di dalam bilik mereka. Aileen memang jarang menonton televisyen. Dia kurang gemar. Waktu duduk di rumah sewanya dahulu, dia memang langsung tak pernah menonton televisyen.

Jika Harus Begitu Where stories live. Discover now