Bab 15

97 11 0
                                    

“DHIA sihat?” soal Hayl. Sungguh dia tidak sangka dia akan bertemu dengan wanita itu di sini.

“Dhia sihat. Hayl?”

Hayl mengangguk perlahan. “Hayl pun sihat. Dah lama ke Dhia kerja dekat sini?” Dia jarang singgah ke pasaraya serbaneka di sini. Kalaulah daripada awal dia tahu Dhia bekerja di sini, sudah lama dia singgah membeli barang di sini.

“Dhia baru ke kerja. Baru seminggu. Dhia baru pindah dekat kawasan sini.” Jantung Dhia berdegup kencang saat berhadapan dengan Hayl. Sama seperti kali pertama dia melihat lelaki itu dulu.

Penampilan Hayl sudah banyak berubah. Kalau dulu tubuh lelaki boleh dikatakan agak kurus kering. Tapi sekarang tubuhnya tegap. Dia juga nampak lebih kacak.

“Mungkin Dhia lambat, tapi Dhia nak cakap juga. Tahniah atas perkahwinan Hayl.”

Hayl terdiam seketika. Dhia tahu yang dia sudah berkahwin?

“Mana Dhia tahu?” soalnya.

Dhia senyum segaris. “Dhia nampak posting Facebook kawan-kawan yang lain.”

“Maaf sebab tak jemput Dhia. Hayl tak tahu macam mana nak contact Dhia.”

Dhia menggeleng kecil. “Tak apa. Kalau Hayl jemput pun, belum tentu Dhia kuat untuk datang.” Suaranya di hujung ayat perlahan saja kedengaran.

“Hah?”

Dhia menggeleng lagi. “Hayl tinggal dekat kawasan sini juga ke?” soalnya mengubah topik.

Hayl mengangguk tanda mengiakannya.

“Mana isteri Hayl? Datang seorang je?” soal Dhia lagi.

“Dia ada dekat kampung. Isteri Hayl baru lepas keguguran.”

Dhia tergamam. “Takziah Hayl.”

“Terima kasih. Dhia dah ada anak?”

“Dah. Anak Dhia dah umur empat tahun. Perempuan.”

“Kenapa Dhia pindah ke sini? Suami Dhia kerja kat mana?” soal Hayl lagi.

Kali ini Dhia terdiam. Dia tertunduk sedikit. Malu sebenarnya nak beritahu Hayl dengan apa yang berlaku padanya.

“Dhia?”

“Dhia dah bercerai. Sebab tu Dhia dengan anak Dhia pindah dekat sini.”

Hayl bungkam. Bercerai? Dhia dah bercerai?

“Kena...” Tak sempat Hayl nak menghabiskan ayatnya, Dhia terlebih dahulu memotong.

“Mungkin ini kifarah lepas apa yang Dhia dah buat pada Hayl.” Dhia tertunduk segan. Kalau orang tahu tentang statusnya, dia tidak kisah pun. Tapi kalau Hayl entah mengapa dia jadi malu dengan lelaki itu.

Mungkin kerana dia yang meninggalkan lelaki itu terlebih dahulu. Dan siapa sangka sekarang nasibnya begini. Menyedihkan!

“Dhia... Jangan cakap macam tu.”

“Dhia minta maaf Hayl. Mungkin kalau Dhia tak tinggalkan Hayl dulu, kita tak akan jadi macam ni. Sejujurnya, Dhia sangat menyesal putuskan hubungan kita.”

Hayl diam. Bola matanya bergerak-gerak memandang wajah Dhia. Wajah wanita itu masih sama seperti kali terakhir dia lihat dulu. Cuma seiring dengan usianya yang bertambah, wajah Dhia terlihat lebih matang.

“Dhia minta maaf. Dhia terbawa-bawa emosi pula. Dhia tak patut cakap macam tu dekat orang yang dah ada isteri.” Dhia seakan baru tersedar yang dia tak patut membicarakan kisah lama mereka.

Lagipun Hayl sudah menemui penggantinya. Lelaki itu sudah memiliki kehidupan sendiri sekarang ini. Malah mungkin Hayl lebih bahagia bersama dengan isterinya berbanding bersama dengannya dulu.

Jika Harus Begitu Where stories live. Discover now