AILEEN duduk termenung di balkoni bilik sambil memerhati butir-butir bintang yang menghiasi dada langit. Angin semilir menampar lembut pipinya. Fikirannya jauh melayang teringatkan Hayl.
Selepas kejadian siang tadi, Hayl masih dingin dengannya. Aileen akui semuanya berpunca daripada dirinya juga. Kalau daripada awal dia berterus-terang dengan Hayl pasti lelaki itu tidak akan marah.
Lagipun mungkin apa yang Aileen lakukan itu adalah kelakuan. Melukakan hati seorang suami.
Manik-manik jernih membasahi pipi Aileen. Esakannya kedengaran memenuhi ruang itu.
“Aileen Syifa. Dekat luar tu sejuk. Jom masuk.”
Dengar saja suara garau itu, tangisan Aileen semakin menjadi-jadi. Suara esakannya semakin kuat. Tersedu-sedan dibuatnya.
“Aileen Syifa.” Pinggang isterinya itu dipeluk daripada belakang.
“Abang dah tak marah. Jom masuk,” pujuk Hayl lembut. Dia menarik perlahan tangan Aileen masuk ke dalam. Cuaca di luar ini sejuk. Tidak bagus untuk kesihatan Aileen yang sedang berbadan dua itu.
Aileen yang masih menangis itu dibawa duduk di birai katil. Hayl duduk bertinggung di hadapannya. Kedua belah tangan naik memegang pipi Aileen.
“Abang minta maaf... Abang tak sepatutnya marah sayang. Abang terlalu ikutkan emosi abang tadi.” Perlahan tangannya mengesat air mata yang membasahi pipi Aileen.
“Abang betul-betul minta maaf. Maafkan abang ya?” Dahinya dirapatkan dengan dahi Aileen.
Aileen sudah berhenti menangis. Cuma sisa esakannya yang kedengaran.
“Leen... Leen... Leen minta maaf...”
Hayl menggeleng. Tangan Aileen digenggam erat. “Sayang tak salah pun. Jangan minta maaf dengan abang. Abang yang terlampau ikutkan emosi abang. I’m sorry love.”
“Tapi Leen dah beritahu Abang Adam tentang kandungan Leen.”
Hayl senyum segaris. Dia tahu tentang hal itu pun lepas Adam mengucapkan tahniah pada mereka di group Whatsapp keluarga. Dari situlah dia tahu yang Adam dan Aileen bertemu tengah hari tadi.
Bila difikirkan semula tak ada apa yang hendak dicemburukannya. Dia sudah sedia maklum tentang hubungan Aileen dan Adam. Mereka memang rapat. Bahkan terlalu mustahil untuk Aileen curang di belakangnya.
Hayl terlalu mengikutkan emosinya siang tadi. Namun walaupun dia sedang marah dengan Aileen, dia masih ambil berat tentang isterinya itu. Makan malam Aileen awal-awal sudah disiapkan.
“Maafkan abang ya? Lupakan tentang apa yang abang cakap pada sayang siang tadi.”
Aileen mengangguk perlahan. Pertama kali Hayl marah dengannya sepanjang mereka berkahwin. Itu yang membuatkan dia sedih sangat. Tambah pula dalam keadaan dia sedang mengandung. Hatinya sensitif.
“Sayang tunggu dulu. Abang nak ambilkan susu dengan vitamin sayang.”
“Ala... Kena minum susu juga ke?” Aileen tayang muka kesian. Ingatkan hari ni dia terlepas daripada minum susu.
“No excuse Puan Aileen Syifa.” Pipi Aileen dikucup lembut sebelum dia bangun daripada duduknya. Kaki terus menapak meninggalkan bilik.
Aileen hanya senyum sambil menghantar pemergian suaminya itu dengan pandangan. Bila dah berbaik dengan Hayl, barulah hatinya lega. Jika tidak, selagi itulah hatinya rasa tak tenang. Dadanya terasa mengetat setiap kali memikirkan tentang hubungan mereka.
Aileen takut. Takut jika kesilapan yang dia lakukan ini akan membuatkan Hayl meninggalkannya. Membayangkannya pun Aileen tidak sanggup apatah lagi jika ia benar-benar terjadi.
YOU ARE READING
Jika Harus Begitu
Romance"I still love her." Hati isteri mana yang tak terluka apabila ayat itu keluar daripada bibir sang suami di malam pernikahan mereka. Namun Aileen tak mengalah. Sedaya upaya dia cuba membuat Hayl jatuh cinta padanya dan melupakan cinta lamanya. Namun...