MATA Dhia meliar memerhatikan sekeliling biliknya yang sudah dihias cantik untuk menyambut tetamu baru. Tapi sayang, tetamunya tiada malam ini.
“Dhia, Hayl nak balik rumah Aileen.”
Dhia terdiam. Wajah Hayl dipandang. Seriuslah Hayl nak tinggalkan mereka di malam pertama mereka?
“Err... Leen minta Hayl balik ke?” soal Dhia.
Hayl menggeleng. “Hayl yang nak balik sana. Hayl harap Dhia faham.”
Bila Hayl dah cakap macam tu, apa lagi yang Dhia mampu lakukan? Sudahnya dia hanya mampu makan hati melihat suami baru dinikahi pulang ke rumah isteri pertama.
Dia tahu perkahwinan ini bukan keinginan Hayl. Tapi itu tak bermakna Hayl boleh layan dia begini. Kalau Hayl tidak mahu menyentuhnya pun tidak mengapa. Dia faham. Tapi tak boleh ke Hayl menemaninya malam ini?
Dhia melabuhkan duduknya di birai katil. Terimbas kembali perbualannya dengan Hayl tempoh hari. Sebelum mereka memutuskan untuk berkahwin, Hayl mengajaknya bertemu.
“Hayl minta maaf. Sejujurnya, Hayl tak nak kita berkahwin. Hayl tak sanggup nak lukakan hati Aileen.”
Luahan jujur Hayl buatkan Dhia terdiam seketika.
“Dhia faham.” Dia tundukkan wajahnya.
“Memang Hayl tak boleh lupakan Dhia. Hayl mengaku yang Hayl masih teringatkan Dhia. Hayl pernah terfikir untuk kembali bersama Dhia. Tapi sekarang ni, Hayl dah tak rasa macam tu lagi. Hayl tak nak lukakan hati Aileen.”
Perlahan-lahan Dhia panggung kepala memandang Hayl. “Hayl dah tak cintakan Dhia?”
“Hayl silap selama ni. Sebenarnya Hayl bukan rindukan Dhia. Hayl cuma rindukan kenangan lama kita.”
Tersiat hati Dhia mendengarnya. Hayl cuma rindukan kenangan lama mereka dan bukannya dia?
“Jadi kenapa Hayl nak teruskan juga perkahwinan ni?”
“Hayl tunaikan apa yang Aileen minta.”
Makin pedih hati Dhia mendengar jawapan Hayl. Kenapa baru sekarang Hayl nak berterus-terang padanya? Di saat dia sudah meletakkan setinggi harapan pada lelaki itu.
“Hayl minta maaf.”
Dhia tersenyum kelat. Kepala digeleng perlahan. “Tak perlu minta maaf dengan Dhia. Hayl tak salah. Dhia yang salah sebab muncul semula dalam kehidupan Hayl. Beruntungnya Aileen... Dapat suami sebaik Hayl. Suami yang sangat cintakan dia.”
“Hayl dah banyak kali lukakan hati dia. Bukan Aileen yang beruntung tapi Hayl. Hayl yang beruntung kerana ada isteri macam Aileen.”
Dhia tunduk. Tubir mata terasa hangat. Sebak menghempas dada.
“Dah tak ada ruang ke dalam hati Hayl untuk Dhia? Walaupun sedikit?” Dia beranikan diri bertanya. Walaupun mungkin jawapannya nanti akan membuat dia bertambah terluka, Dhia sudah bersedia untuk mendengarnya.
“Hayl minta maaf. Hayl dah tak boleh nak cintakan Dhia macam dulu. Hati Hayl sepenuhnya milik Aileen.”
Dhia senyum paksa menutupi rasa hatinya. “Faham. Dhia faham.”
Dan sekarang... Dhia terikat dengan ikatan perkahwinan ini. Bukan kerana lelaki itu masih cintakannya.
Dhia melangkah ke meja soleknya. Laci ditarik. Satu sampul surat besar berwarna coklat dikeluarkan. Air matanya langsung mengalir laju mengenangkan hakikat ini. Hakikat yang dia tidak akan bertahan lama lagi. Sakit untuk ditelan.
Kenapalah hidupnya terlalu malang?
CELIK saja mata, wajah Hayl menyapa pandangan mata Aileen. Dia merenung wajah itu buat seketika. Rasa macam tak percaya yang sekarang ini Hayl bukan lagi hak milik dia sepenuhnya. Lelaki ini perlu dikongsi bersama dengan wanita lain.
Ketap bibir. Tangan naik mengusap perlahan pipi Hayl. Tiba-tiba terasa tangannya dipegang. Aileen tersentak. Hayl sudah terjaga rupanya.
“Morning.” Hayl tersenyum nipis.
“Kenapa abang balik sini?” Aileen menarik tangannya kembali. Dia langsung bangun daripada pembaringannya.
Hayl turut ikut sama bangun daripada pembaringannya. Wajah Aileen dipandang kehairanan. Aileen tak suka ke dia balik sini? Bukan ke sepatutnya Aileen lebih suka dia berada di sini? Di sisi Aileen.
“Sayang tak suka abang balik?” soal Hayl.
“Leen bukan tak suka abang balik sini tali abang kan baru je bernikah dengan Dhia semalam. Sepatutnya abang dekat rumah dia. Bukan dekat sini.”
Keluhan kecil terlepas daripada celah bibir Hayl.
“Abang kahwin sebab sayang yang minta.”
Jawapan Hayl buatkan telinga Aileen tak senang mendengarnya. Bukan jawapan ini yang dia nak dengar daripada mulut Hayl.
“Sekarang ni ada hati lain abang perlu jaga. Jangan anggap perkahwinan ni benda yang main-main abang. Abang kena adil. Dhia dah jadi isteri abang sekarang. Bukan ke sepatutnya abang lebih gembira?”
“Apa maksud sayang?” soal Hayl serius. Entah kenapa dia rasa sekarang ni Aileen seolah sedang menyindirnya.
“Sorry. Leen tak patut cakap macam tu.” Aileen sudah berkira-kira untuk turun daripada katil tapi Hayl lebih pantas menarik tangannya.
“Salah ke kalau abang nak balik rumah abang sendiri?”
“Leen bukan satu-satunya rumah yang abang ada. Ada rumah lain yang menunggu abang menjadi penghuninya.”
Hayl terdiam seketika.
“Dhia izinkan abang balik sini. Dia tak kisah pun.”
“Nanti apa pula orang cakap. Baru nikah dah kena tinggal dengan suami.”
“Buat apa kita nak kena dengar cakap orang? Bukan orang tu hidup sekali dengan kita. Dia tak ada dekat tempat kita pun. Buat apa kita nak kisahkan apa orang nak cakap?”
Kali ini Aileen yang kehilangan kata-kata. Dia terdiam.
“Kalau sayang tak suka abang ada dekat sini takpalah. Lepas solat subuh nanti abang pergi.” Suaranya kedengaran seperti berjauh hati. Hayl terus turun daripada katil.
Aileen ketap bibirnya. Dia hanya memerhatikan Hayl yang berlalu keluar meninggalkan bilik itu. Dia diselubungi rasa bersalah. Pasti Hayl kecil hati dengannya.
Ya lah, siapa saja yang tak kecil hati bila kehadirannya di sini tidak dihargai. Malah dipersoalkan lagi. Hayl sudah cukup terbeban dengan pernikahan ini. Ditambah pula dengan Aileen yang asyik mendesaknya pergi. Makin serabut kepalanya.
SELEPAS bersiap-siap mengambil wuduk dan memakai telekung, Aileen turun ke tingkat bawah. Mahu mencari Hayl. Masih marahkah lelaki itu padanya?
“Abang,” panggil Aileen saat melihat batang tubuh Hayl yang baru keluar daripada bilik tetamu itu.
Hayl hanya buat tak tahu. Bukannya dia tak dengar Aileen memangggilnya. Saja pura-pura tak dengar. Dia berjalan ke muka pintu utama.
“Abang, jom solat subuh berjemaah,” ajak Aileen.
“Abang dah solat.”
Jawapan Hayl buatkan hati Aileen terguris. Hayl solat terlebih dahulu tanpa menunggunya? Sampai hati Hayl!
“Kenapa abang tak tunggu Leen?” Suaranya kedengaran sebak.
“Leen kan tak suka abang balik sini. Jadi buat apa abang nak ada dekat sini lama-lama? Orang dah tak suka, kita pergilah.” Usai menghabiskan bicaranya, Hayl langsung pergi.
Aileen terkaku. Bukan itu maksudnya. Dia hanya mampu memandang lelaki itu pergi. Air matanya mengalir perlahan.
Maafkan Leen abang... Kalau Leen ada pilihan lain, Leen nak jadi satu-satunya isteri abang. Leen tak nak berkongsi abang dengan sesiapa.
Baru sehari Hayl dan Dhia bernikah hubungan mereka sudah jadi begini. Bagaimana mahu menghadapi hari-hari yang mendatang nanti?
YOU ARE READING
Jika Harus Begitu
Romance"I still love her." Hati isteri mana yang tak terluka apabila ayat itu keluar daripada bibir sang suami di malam pernikahan mereka. Namun Aileen tak mengalah. Sedaya upaya dia cuba membuat Hayl jatuh cinta padanya dan melupakan cinta lamanya. Namun...