KELUAR saja daripada bilik, Aileen melangkah ke dapur. Mahu membantu ibu dan makcik-makciknya menyediakan sarapan. Hayl pula duduk di pangkin hadapan rumah sambil berbual dengan bapa saudara Aileen.
“Amboi... Sampai sembab mata kau ya Leen. Suami kau tak bagi kau tidur ke malam tadi?” Memetir suara mak ngah menegur. Disambut dengan gelak ketawa yang lain.
Aileen ketap bibir. Belakang lehernya diusap perlahan. Mesti mereka fikir matanya sembab sebab tak cukup tidur. Padahal dia menangis teruk malam tadi.
“Mana ada mak ngah,” nafi Aileen segan.
“Biasalah tu. Pengantin baru. Mak long pun masa mula-mula kahwin, macam Leen juga. Jangan dilayan mak ngah Leen ni. Dia apa tahu.” Kali ini mak long yang sedang menumis sambal itu pula yang bersuara.
Aileen hanya ketawa. Dia membantu mak su nya mengupas bawang. “Nak masak apa ni?” soalnya.
“Pagi ni nak masak nasi lemak dengan mi goreng. Hayl makan kan?” soal mak su.
Aileen mengangguk. “Hayl makan je. Dia tak memilih.”
“Baguslah kalau macam tu. Senang Leen nak masak nanti bagi dia makan,” celah mak lang.
“Apa? Leen masak? Hmm... Alamatnya kelaparanlah menantu aku tu kalau nak tunggu Leen yang masak.” Mak Siti yang sedari hanya menjadi pendengar bersuara.
“Ibu...” Aileen tayang muka kesian. Memanglah dia tak tahu masak. Tapi boleh belajar kan? Lagipun Hayl sendiri tahu dia memang tak pandai memasak. Tapi apa yang Aileen tahu suaminya itu memang pandai memasak. Selalu masuk dapur agaknya. Eh, tapi kau pun selalu masuk dapur juga Leen? Hmm... Masuk dapur cari makanan bolehlah.
“Tak apalah Leen. Semua tu boleh belajar lepas kahwin,” ujar mak long.
Aileen mengangguk setuju.
“Rancaknya borak. Dah siap ke nasi lemaknya?” sapa suara garau itu.
Mereka semua menoleh ke pintu dapur. Figura Adam terjengul di situ. Adam ialah anak kepada mak lang. Sepupu Aileen yang paling rapat sekali dengannya kalau nak dibandingkan dengan sepupu-sepupunya yang lain.
“Haa Adam, ada ke roti canainya? Punyalah lama kau pergi beli roti canai. Ke kau pergi mengorat Milah janda tu?” soal mak ngah.
Mereka semua ketawa. Dah kenal sangat dengan mulut mak ngah yang berbisa itu. Kalau orang luar yang baru kenal mak ngah mesti kecil hati mendengar ujaran mak ngah.
“Orang ramailah mak ngah. Berpeluh-peluh Adam tunggu,” balas Adam seraya melangkah masuk ke dapur. Plastik roti canai yang dibelinya tadi dihulurkan pada Aileen.
Aileen terus bangun dan mencapai pinggan di rak. Roti canai di dalam plastik itu dikeluarkan lalu diletak ke dalam pinggan. Kuah dal pula dituang ke dalam mangkuk.
“Sedapnya roti canai ni. Dah lama Leen tak makan,” ujar Aileen. Dia jarang pulang ke kampung. Sibuk bekerja di bandar. Sebulan sekali pun susah nak balik.
“Leen punya pasal, abang sanggup beratur lama-lama,” balas Adam. Mak uda ada cakap yang Aileen teringin nak makan roti canai. Itu yang pagi-pagi dia sanggup keluar mencari roti canai Pak Ali.
“Dekat KL tu tak ada jual roti canai ke Leen?” soal mak ngah.
“Bukan tak ada mak ngah. Ada. Tapi rasanya tak sesedap roti canai dekat sini,” jawab Aileen.
“Majlis Leen dah selesai. Kamu pula bila lagi Adam?” soal mak long tiba-tiba.
Adam garu kepalanya yang tidak gatal. Tahun hadapan umurnya nak masuk 30 tahun dah. Tapi sekarang ni bayang jodohnya pun masih belum kelihatan. Bukannya dia tidak laku. Ramai je yang datang mendekat tapi semuanya tak berkenan di mata Adam. Nak buat macam mana, hatinya sudah berkenan pada yang seorang tu.
YOU ARE READING
Jika Harus Begitu
Romance"I still love her." Hati isteri mana yang tak terluka apabila ayat itu keluar daripada bibir sang suami di malam pernikahan mereka. Namun Aileen tak mengalah. Sedaya upaya dia cuba membuat Hayl jatuh cinta padanya dan melupakan cinta lamanya. Namun...