Bab 20

168 13 1
                                    

TOMBOL pintu dipulas. Langkah kaki dibawa masuk ke dalam bilik itu. Mata meliar memerhati satu per satu potret yang berada di dalam bilik itu. Hatinya diselaputi rasa sayu.

Kini dia hanya mampu menatap lukisan dan gambar-gambar Aileen sahaja. Suara gemersik isterinya itu tidak lagi kedengaran di telinga.

Sudah hampir dua minggu Aileen meninggalkan rumah. Dia meminta Hayl agar tidak mencarinya. Jika lelaki itu mencarinya, dia tidak akan kembali lagi. Hayl terpaksa akur. Dan dia masih menanti kepulangan wanita itu.

“Sayang nak tinggalkan abang?” Rapuh kedengaran suara Hayl menyoal.

“Leen bukan nak tinggalkan abang. Tapi Leen perlukan masa sendirian. Leen dah penat hadap semua ni daripada awal lagi. Tolong bagi Leen ruang.”

Hayl terdiam seketika. Sukar untuk dia melepaskan Aileen pergi. Bagaimana kalau Aileen pergi dan tidak mahu kembali? Apakah yang bakal terjadi pada hubungan mereka?

“You will never give up on me right?”

Aileen diam. Mengangguk tidak. Menggeleng juga tidak.

“Leen minta izin untuk pergi sekejap. Tolong jangan cari Leen.”

“Abang minta maaf sayang.”

Kata maaf yang diucapkan Hayl sudah tidak memberi makna apa-apa pada Aileen. Kali ini dia tekad ingin membawa diri. Hatinya sudah hancur lumat. Dan kali ini biarlah dia pergi merawat luka di hatinya. Andai masih bisa dirawat luka yang parah ini...

“Mungkin bila kita berjauhan, abang akan sedar siapa sebenarnya Leen dalam hidup abang.”

“Sayang bermakna dalam hidup abang. Abang perlukan sayang dalam hidup abang.”

Senyuman nipis terukir di bibir Aileen. Dia tak pasti sama ada Hayl benar-benar maksudkannya atau ia hanya sekadar ayat memujuk hatinya.

Jika kehadirannya penting dalam kehidupan lelaki itu, kenapa sampai sekarang Hayl masih belum dapat melupakan bekas kekasihnya itu? Dan andai Hayl benar-benar bermakna dalam kehidupan Hayl, mengapa Hayl tega mencipta luka di hatinya?

Buk!

Kanvas yang terjatuh mematikan lamunan panjang Hayl. Toleh ke belakang. Dia lihat kanvas yang terlakar wajah Aileen di atasnya terjatuh. Terus kakinya bergerak mengutip kembali kanvas itu.

Lukisan itu masih belum siap sepenuhnya. Hayl letak kembali kanvas itu di atas easel stand. Tangannya mengusap perlahan kanvas itu. Rindu menggebu di dalam hati. Kehidupannya jadi tidak normal tanpa kehadiran Aileen di sisinya lagi.

Tidur entah kemana. Makan entah kemana. Fokus kerjanya juga lari. Asyik teringatkan si jantung hati yang kini dia sendiri tidak tahu di mana keberadaannya.

“Abang rindukan sayang...” gumamnya sendiri.

Tangan mencapai berus lukisan dan palet warna. Dia menyambung kembali melakar lukisan wajah Aileen. Terubat sedikit rindu di hati bila melihat senyuman si isteri walaupun hanya sekadar di dalam lukisan.




NAFAS dihela berat. Halaman rumah yang luas menjadi tatapan mata. Sedar tidak sedar sudah dua minggu Aileen berada di kampung halamannya. Ini kali kedua dia berjauhan dengan Hayl dan kali ini tempohnya lebih lama berbanding sebelum ini.

Aileen buntu. Tidak tahu apa yang perlu dia lakukan lagi. Sejujurnya dia sangat merindukan Hayl. Ingin pulang bertemu lelaki itu tetapi akal warasnya menghalangnya daripada berbuat demikian.

Apabila mengenangkan kembali kejadian Hayl membantu Dhia tempoh hari, Aileen melupakan hasratnya untuk kembali pulang ke pangkuan lelaki itu.

“Jauhnya termenung cik adik oi.”

Jika Harus Begitu Where stories live. Discover now