Entah apa anginnya hari itu, selepas maghrib Johan mula memandu ke rumah isterinya. Dia mahu menjenguk anak-anaknya. Rindunya kepada anak-anak sudah tidak tertanggung. Sudah tidak mampu menunggu sehingga ke hari cuti hujung minggu.
Sesampai di kediaman wanita itu, Bibik Sutinah yang menyambut kedatangannya. Dua anak perempuannya sedang membuat kerja rumah di ruang tamu. Melompat anak-anak itu sebaik sahaja terpandangkan Johan.
"Mummy mana, sayang?" soal Johan lembut.
"Mummy kat dalam bilik dengan adik. Adik asyik nangis aja," ucap Dani.
"Ya ke? Kenapa adik nangis? Dani kacau adik ya?" soal Johan mesra.
"Mummy kata adik tak sihat."
Johan terdiam mendengar jawapan anaknya itu. Zairyl tak sihat? Kenapa dia tidak tahu? Buat seketika dia menemani dua anaknya itu di ruang tamu.
Tidak lama kemudian Lyn keluar dari bilik. Langkah wanita itu terhenti melihat Johan berada di ruang tamu. Dia tidak tahu pula Johan datang bertandang. Dalam keadaan dia begini, tiba-tiba dia rasa segan pula. Mahu berpatah balik ke bilik sudah tidak sempat, Johan sudah terpandangkan dia.
Johan turut terpaku melihat susuk isterinya itu. Hanya sesaat dua pandangan mereka bersatu. Selebihnya Lyn terus berjalan menuju ke tengah rumah dengan muka selamba seolah-olah tiada apa-apa.
Johan hanya mampu meneguk liur memandang isterinya itu. Matanya tidak mampu dilarikan daripada memandang setiap gerak-geri Lyn. Dadanya tidak keruan melihat sang isteri yang cukup selamba mengenakan kemeja putih longgar sebagai pakaian di rumah. Masalahnya, yang separas paha hingga ke bawah itu hanya terdedah begitu sahaja. Berdegup kencang dada lelaki itu dibuatnya.
"Dani.....Dina....ajak Daddy makan. Lepas tu siapkan kerja sekolah. Dah siap, tidur. Esok sekolah." Lyn bersuara dari tengah rumah itu.
"Okey, mummy!" sambut dua anak itu ceria.
"Daddy, jom makan," ajak Dani sambil mencapai tangan si daddy agar ikut serta di meja makan.
"Yalah." Johan akur sahaja dengan ajakan si anak. Harapannya dapatlah dia mendekatkan diri dengan wanita itu di ruang tengah itu. Namun saat dia menempatkan diri di sana, Lyn terus menonong berjalan untuk kembali ke bilik tanpa menegurnya.
"Lyn tak makan sekali?" pelawa Johan sebelum sempat Lyn menghilang dari pandangannya. Harap-harap Lyn sudi menemaninya makan di meja itu.
"Makanlah. I dah kenyang," jawab Lyn sepintas lalu.
Johan hanya mampu meneguk liur. Putih mata melihat Lyn begitu pantas melesapkan diri ke dalam bilik. Ingatkan bolehlah dia mencuci mata memandang lama sedikit. Wanita itu lebih cekap meneka apa yang bermain dalam fikirannya dan melarikan diri daripadanya. Johan termalu sendiri.
Selesai makan, dia menemani lagi anak-anaknya itu. Namun sebenarnya fikiran Johan sudah terbang mencari wanita di dalam bilik sana. Akalnya sentiasa mencari idea untuk mendekati wanita itu. Hanya satu sahaja alasan yang tinggal. Zairyl!
"Dani dengan Dina tunggu sini ya? Daddy nak pergi tengok adik kat dalam," ucap Johan sudah tidak tertahan. Mahu juga dia melihat apa yang sedang dilakukan Lyn di dalam bilik sana.
"Okey," jawab Dani dan Dina serentak.
Dengan penuh debaran dalam hati, Johan melangkah mendekati bilik tidur isterinya itu. Pintu dilihatnya tidak tertutup sepenuhnya. Dengan penuh hati-hati, dia menyelitkan diri di celahan pintu bilik yang separuh tertutup itu. Dari tempat dia berdiri, dia sudah terhidu haruman yang membuatkan dia kembali teringat pada kamar tidur mereka dahulu. Haruman ini membuatkan hatinya semakin digamit rindu terhadap wanita itu.
YOU ARE READING
Curangla Lagi 2
RomanceCurang? Perkataan itu pantang bagi semua isteri atas dunia ini. Begitu juga dengan Azlyn. Ketika di kemuncak bahagia, dia diuji dengan kecurangan suaminya Johan. Johan telah membuat hubungan dengan gadis muda di pejabatnya. Sebagai perempuan, sudah...