Lewat petang itu barulah Johan kembali semula ke pejabat. Sempat terpandangkan isterinya berjalan menuju ke keretanya. Johan berlari anak mendapatkan wanita itu. Lyn yang masih tidak sedar kehadiran suaminya segera membuka pintu. Dan tanpa sengaja dia menonggeng sesaat dua di celahan pintu untuk meletak barangan di kerusi sebelah sana. Tidak tahu ada mata memandang penuh minat."Ehem...." tegur Johan.
Lyn menoleh ke belakang.
"Eh! Bila masa you ada kat sini?" tanya Lyn terkejut.
Johan tidak menjawab pertanyaan itu. Sebaliknya dia mendekatkan diri ke pintu kereta yang sedang terbuka luas.
"Abang ada call anak-anak tengah hari tadi. Abang bercakap dengan Dina."
"Apa dia cerita?"
Johan menggaru dahinya seketika sebelum menjawab.
"Abang ambil dia orang berdua esok, ya?"
"Okey. Tapi bila?"
"Tengah harilah. Malam abang hantar balik."
"Aril?"
"Aril biarlah dengan Lyn. Abang nak bercakap dengan dia orang berdua."
"Okey," jawab Lyn ringkas. Seterusnya dia masuk ke dalam kereta. Masih lagi menanti apa lagi yang mahu diucapkan oleh Johan. Tetapi lelaki itu terus sahaja menutup pintu kereta itu.
Lyn menurunkan cermin jendela kereta.
"Ada apa-apa lagi?"
"Tak ada. Baliklah cepat. Nanti bising pula mak cik dua orang kat rumah tu."
Tanpa sengaja Lyn tergelak sedikit.
"Okey."
"Hati-hati, sayang."
Lyn sekadar mengangguk. Sempat memandang pemergian suaminya itu melalui cermin pandang belakang. Secara tidak sengaja dia terlihat kelibat Syiha berdiri seperti mahu menunggu Johan. Lekas-lekas dia menoleh untuk melihat apa yang berlaku di belakang sana.
Dan dia terpandangkan Johan tiba-tiba membuat lencongan ke arah ruangan parkir semula. Gadis itu dilihatnya menghentak sebelah kaki akibat kecewa. Seterusnya dia melihat Syiha mengekori Johan. Mulalah dia sibuk nak jadi spy.
Lyn keluar semula dari kereta. Dia terlihat suaminya berjalan laju di belakang deretan kereta lain. Syiha juga ikut berjalan laju untuk mendapatkan Johan. Sudahnya lelaki itu berlari pula sehingga pos pengawal. Syiha tidak jadi mahu mendapatkan Johan. Lelaki itu sudah jauh ke hadapan sana.
Lyn ketawa berdekah-dekah melihat gelagat dua manusia itu. Tidak sangka Johan akan buat begitu kepada Syiha.
Syiha berpatah balik setelah tidak berjaya mendekati Johan. Terlihat pula dia Rosman sedang menjinjing beg kerja sambil berjalan mendapatkan keretanya. Dia berjalan laju ke arah lelaki itu.
"Abang Rosman, boleh tumpangkan sampai stesen LRT tak?" tanya Syiha. Tidak sedar dia sedang berdiri dekat dengan musuh ketatnya.
Rosman terpaku memandang Syiha. Tidak pernah-pernah perempuan ini menegurnya. Mimpi apakah dia?
"Saya pun balik jalan kaki," jawab Rosman lantas ketawa kecil sebelum berlalu meninggalkan Syiha.
Lyn bergerak ke arah belakang keretanya. Sengaja dia berdiri di situ agar Syiha menyedari kehadirannya.
Syiha terus terpaku memandang musuhnya ada di situ. Benci! Tetapi tidak mampu hendak meluahkan bicara. Sedar.... kalau tak pandai, lebih baik jangan bermain kata-kata dengan wanita itu. Takut dia yang menangis tidak berlagu nanti.
"Kalau nak, I boleh tumpangkan you. Tapi I hantar you pergi zoo."
Syiha mendengus dengan muka masam sebelum mengatur langkah semula. Bukan main laju dia berjalan. Sakit hati. Hari ini kena naik bas lagi!
YOU ARE READING
Curangla Lagi 2
RomantizmCurang? Perkataan itu pantang bagi semua isteri atas dunia ini. Begitu juga dengan Azlyn. Ketika di kemuncak bahagia, dia diuji dengan kecurangan suaminya Johan. Johan telah membuat hubungan dengan gadis muda di pejabatnya. Sebagai perempuan, sudah...