Part 74

969 12 0
                                    


Senyap sunyi Syiha, khusyuk membuat kerja walaupun ramai orang masih bercerita tentang apa yang menimpa Johan. Masih belum ada berita tentang keadaan lelaki itu, tetapi dalam diam dia benar-benar takut.

"Syiha," panggil Hanim.

"Ya." Spontan Syiha memandang ke arah penyelianya itu.

"Cik Ariana panggil awak," tegur Hanim.

"Hah? Ada apa?" tanya Syiha mula cuak.

"Tak tahu. Pergi cepat," suruh Hanim.

Syiha bangkit juga walaupun hati berasa tidak sedap. Apabila difikirkan, tiada sebab orang akan menuduhnya. Semua itu sekadar kemalangan biasa.

Di hadapan bilik Ariana, gadis itu segera meminta Syiha mengikutnya.

"Kita nak ke mana?"

"Tan Sri nak jumpa you," jawab Ariana.

"Kenapa?"

Namun, Ariana hanya diam.

Ketika mendekati bilik mesyuarat, Syiha terpandangkan seorang lelaki tua sedang duduk di kerusi pengarah urusan sambil memandang laptop di atas meja itu. Adrean pula sedang berdiri di samping lelaki tua itu sambil berkata sesuatu sambil menuding ke arah skrin. Juga ada beberapa orang pengawal keselamatan di situ. Syiha makin tidak sedap hati.

"Come," ajak Ariana lantas masuk.

"Tutup pintu," arah Tan Sri Muzhaffar kepada anak bongsunya itu.

"Duduk sini," katanya kepada Syiha pula.

Menggigil lutut Syiha saat dia diminta duduk di kerusi dekat dengan lelaki itu.

"Duduk," arah Tan Sri Muzhaffar lagi. Matanya memandang gadis itu dari atas ke bawah. Setelah Syiha duduk, dia memusingkan laptop itu ke arah Syiha.

"Tengok," arah lelaki tua itu dengan pandangan mata tepat kepada Syiha.

Spontan Syiha menekup wajahnya saat terpandang dirinya sedang terlihat dalam rakaman itu.

"Anak saya masih berada di unit kecemasan. Belum sedar lagi. Kamu tahu apa kamu dah buat?" ujar Tan Sri Muzhaffar lagi.

Syiha menggeleng. Dia tidak sangka Johan yang terkena. Dia tidak bermaksud hendak mencederakan lelaki itu. Berderai air matanya. Sesal.

"Kenapa?" tanya Tan Sri Muzhaffar kepada gadis itu.

"Saya tak bermaksud nak buat macam tu pada dia."

"Tapi jelas you yang tolak besi tu," Adrean menyampuk. Tidak puas hati dengan jawapan Syiha.

"Dia target Kak Lyn," ucap Ariana pula.

"Betul ke?" tanya Tan Sri Muzhaffar serius.

Syiha tidak menjawab. Sebaliknya dia menangis agak kuat.

Tan Sri Muzhaffar menghela nafas perlahan. Perbuatan ini sukar untuk diterimanya.

"Panggil polis."

"Tan Sri, jangan! Saya minta maaf. Saya janji takkan ganggu Johan lagi. Tolong jangan panggil polis! Saya menyesal," rayu Syiha. Tidak semena-mena dia melutut di tepi lelaki tua itu.

"Maaf? Bukan sesuatu yang senang dimaafkan macam ni. Kalau terjadi apa-apa pada anak saya, macam mana?" jawab Tan Sri Muzhaffar. Tidak terusik hatinya dengan ucapan maaf itu. Betapa hanya Tuhan sahaja yang tahu kebimbangannya saat ini. Keadaan Johan masih tidak pasti. Anaknya sempat tersedar seketika semasa dirawat, namun tidak sedarkan diri semula.

"Saya tak sangka keadaan akan jadi macam ni, Tan Sri."

"Panggil polis. Saya tak boleh terima alasan tu. Awak tak berniat nak cederakan Johan, jadi awak berniat nak cederakan Azlyn ke? Kenapa?"

Curangla Lagi 2Where stories live. Discover now