Beberapa hari lalu dia memasang keinginan untuk bertemu Ariana, baru kini dia mampu melakukan kerana kesibukannya di tempat kerja. Ketiadaan Johan kerana ke luar negara sebelum ini membuatkan dia terkejar-kejar mahu lekas pulang ke rumah.
Setelah Johan pulang semalam, barulah kini dia dapat meluangkan masa untuk bertemu dengan Ariana. Kebetulan pula hari ini dua penerbangan dari Dubai yang seharusnya tiba jam 2 petang tadi telah dibatalkan. Kelapangan yang ada ini digunakan sebaiknya untuk merungkai teka teki dalam kepalanya.
"Apa maknanya semua ni, Ary?" soal Lyn setelah bertemu dengan Ariana di Restoran Ole-Ole Bali di Sunway Piramid tengah hari itu.
Ariana memandang seketika kakak iparnya itu. Surat yang dikirimkan kepada Lyn melalui Bibik Sutinah tempoh hari, kini kembali ditunjukkan Lyn kepadanya. Matanya memandang surat itu lama sebelum kembali memandang kakak iparnya. Terasa sukar untuk dia berterus terang tentang keadaan sebenar, namun merahsiakannya daripada Lyn juga dia tidak sampai hati. Dia sudah tidak sanggup melihat kakak iparnya yang selama ini rapat dengannya terus ditipu dengan sandiwara abangnya itu.
"Cakaplah, Ary. Jangan diam aja macam ni. Akak tak faham tentang semua ni. Tolonglah akak," pinta Lyn separuh merayu. Resah hatinya melihat Ariana yang hanya diam membisu.
"Sebenarnya Abang Johan ada perempuan lain, kak." Sebaris ayat itu meluncur perlahan daripada mulut Ariana.
Lyn yang mendengar bungkam jadinya. Lidahnya kelu. Mulutnya yang sedikit terbuka ditutup dengan tangan. Terasa nafasnya kian sesak setelah mendengar sesuatu yang amat ditakutinya. Kalau lebih seminggu yang lalu dia hanya mendengar spekulasi sahaja daripada Bibik Sutinah, kali ini dia dihidangkan dengan kebenaran. Tanpa dapat ditahan matanya berkaca.
"Ya ke? Mana Ary tahu?" soal Lyn lantas menyeka air matanya yang mahu gugur. Cuba dikuatkan semangatnya agar hakikat ini dapat didepaninya dengan sabar. Dia perlukan bukti dan bukannya cakap kosong. Siapa yang suka jika suaminya dituduh sembarangan?
"Ary tahu sebab budak ni budak department Ary sendiri. Dia budak lepasan diploma UITM. Baru beberapa bulan bekerja di NH sebagai sales person. Sebelum ni Ary ada dengar desas-desus tentang hal itu. Tapi Ary tak percaya sebab Ary tak nampak apa-apa yang pelik dengan perangai Abang Johan waktu dekat pejabat. Tapi sebelumnya akak balik hari tu, Ary nampak dia orang dekat True Fitness KLCC."
"Mungkin dia orang sekadar kebetulan datang kat situ aja kut." Lyn memintas dengan anggapan itu. Masih berharap agar segala yang dikatakan Ariana itu sekadar omong kosong sahaja. Masih enggan percaya suaminya berubah laku sehingga begitu.
"Kak, Ary tahu akak mesti susah nak terima kenyataan ini. Tapi mereka bukan sekadar kebetulan bertemu. Tapi tiada kebetulan dengan waktu itu, kak. Ary nampak perempuan itu duduk atas riba Abang Johan. Kalau dah bergelak ketawa mesra, lepas tu berpegangan tangan, takkan masih kebetulan lagi? Mata Ary ni yang nampak sendiri! Ary tak tipu! Surat yang Ary bagi itu bukti jelas. Abang Johan belikan perempuan itu kereta! Bagi perempuan itu duduk kondo dia di Pantai Hill Park," tekan Ary dalam kelembutan berbicara.
Semakin terkelu Lyn mendengar cerita Ariana. Dadanya berombak kencang.
"Lagipun dah ramai sangat orang yang bercerita hal yang sama. Masakan semuanya bohong? Sebab tu waktu akak balik dari Dubai hari itu, Ary nak sangat jumpa akak sebab Ary nak akak tahu tentang ni. Semakin lama nanti semakin teruk Abang Johan tu jadinya. Perempuan tu ketuk duit Abang Johan kawkaw. Abang Johan dah ditimbun dengan hutang. We must stop him before it's too late!"
Lyn tersandar di kerusi itu. Air matanya bertakung dan dengan pantas mengalir di pipi. Perlahan dia menekup mulutnya cuba menahan diri daripada meraung di situ. Dia tenggelam dengan lautan kekecewaan yang amat menyakitkan. Tidak disangka, suaminya yang amat dipercayainya selama ini sanggup membuat begini kepadanya.
YOU ARE READING
Curangla Lagi 2
RomansaCurang? Perkataan itu pantang bagi semua isteri atas dunia ini. Begitu juga dengan Azlyn. Ketika di kemuncak bahagia, dia diuji dengan kecurangan suaminya Johan. Johan telah membuat hubungan dengan gadis muda di pejabatnya. Sebagai perempuan, sudah...