11 | Seiring Waktu Berlalu

90 10 10
                                    

Bunga Saifuddin: Seiring Waktu Berlalu

“You shouldn't play with fire.”

✄┈┈┈┈┈┈┈┈┈┈┈┈┈

CORETAN jemarinya di atas buku terhenti saat matanya jatuh pada 'itu'. Diam sejenak, dari postur tubuh yang membongkok kerana khusyuk menulis tadi kini berubah arah. Dia menyandar. Kemudian bola matanya bergerak-gerak mencari jarum jam di pergelangan tangannya sendiri. Tak terasa waktu sudah pun jauh melangkah pergi. Padahal tadi baru sahaja dia selesai menunaikan solat fardhu Isyak kemudian menyambung belajar seperti kebiasaan. Namun aktiviti belajarnya terganggu dek kerana emosinya sedikit terusik pada malam ini. Entah kenapa, di saat dia sedang santai belajar sambil mendengar lagu; memori yang tak ingin dia ingati kembali menghantui diri seperti sedia kala. Malah ini lebih bertalu-talu dan sungguh menyesakkan dada.

Sukar diceritakan betapa gilanya dia cuba menenangkan dirinya sendiri. Getaran kuat dan rasa dingin mencucuk seluruh tubuhnya ketika itu. Daisy menggigit kecil bibirnya, sambil mengumpul kekuatan untuk membuang kesemua aura negatif yang suka sekali memakan diri yang mudah lemah ini. Kedua belah tangan diangkat dan perlahan-lahan Daisy merapatkan kedua-duanya lalu digosok. Mulut dikembungkan sebelum Daisy bertindak menghembus nafas yang ditarik sedalam mungkin sebentar tadi.

Seterusnya, kerusi ditarik ke belakang dan Daisy berdiri. Langkah dibawa ke belakang. Botol air yang masih tersisa itu diambil lalu dibuka penutup sebelum diteguk minum airnya. Daisy menikmati kesegaran air mineral itu dengan mata yang terpejam rapat. Rasanya seakan dia sedang mandi di sebuah tasik. Sejuk dan sangat-sangat menenangkan. Kelopak mata kembali dibuka. Daisy habis itu dilihat mula menuang sedikit air ke atas tangan kanannya. Tangan kanan yang basah dengan air itu kemudian dibawa ke muka. Daisy meraup wajahnya dengan basahan air mineral.

“Kita kena belajar untuk berhenti bergantung pada ubat ya, Daisy.” gumam Daisy sendiri. Pantulan cermin kecil yang tergantung cantik di depan matanya ditatap lama. Lekukan rahang di wajahnya jelas kelihatan. Itu menandakan betapa kurusnya dia sekarang. Malah ketika tidur sungguh tidak selesa seakan dulu. Terasa seperti seluruh tulang tubuhnya dapat dirasai olehnya sendiri. Tilam selembut itu mampu mendatangkan rasa sakit di tubuh kecilnya ini.

Daisy kecewa melihat perubahan terbesar di dalam dirinya sejak 'sakit' ini memakan dirinya selama bertahun-tahun. Namun, jika bukan kerana dia bergantung pada ubat-ubatan yang disediakan oleh doktor demi kelangsungan jiwanya bertahan hidup; mana mungkin semua ini terjadi dalam hidupnya. Setiap ubat yang diambil pasti ada kesan-kesan di sebaliknya. Tergantung pada penerimaan tubuh badan seseorang. Ada orang yang semakin gemuk kerana pengambilan ubat yang sama berpanjangan, ada juga yang semakin kurus seperti dirinya.

Tiada manusia yang ingin menamatkan perjalanan hidupnya dengan rasa sakit yang berpanjangan pada akhirnya.

Ekor mata Daisy mulai jatuh kembali pada 'itu', sesuatu yang begitu mengusik hatinya hingga detik ini. Perlahan-lahan dia mendekati meja itu. Lalu jemarinya lembut naik menyentuh tasbih yang pernah diberikan oleh seseorang yang sangat-sangat berharga dalam hidupnya. Biarpun kini sudah pun memasuki tahun pertama tanpa khabar berita dari lelaki itu, Daisy tetap merasakan bahawa lelaki itu sentiasa ada di sisinya. Gilakah dia?

Siapa sahaja tidak gila ketika jatuh cinta? Manusia yang mampu berfikir sekelip mata saja boleh menjadi sebodoh-bodoh manusia. Tidak peduli seberapa negatif aura seseorang itu di hidupnya, tidak peduli seberapa merah warna bendera yang terang-terang berkisar betapa teruknya seseorang itu. Gilanya, kita tetap jatuh cinta. Benarlah, warna merah merupakan warna cinta. Dan manusia buta jika ia tentang cinta.

“Tapi aku yakin, aku tidak buta tentang cinta kali ini.” Daisy membawa tasbih itu rapat ke dada. Dipeluk kecil satu-satunya pemberian terindah itu.

Senyuman terukir bersama jatuhnya air mata, menjadi saksi bahawa cinta itu bukanlah tentang memiliki semata-mata.

Bunga SaifuddinWhere stories live. Discover now