1 | Kurang Ajar

304 49 71
                                    


Bunga Saifuddin : Kurang Ajar

"You shouldn't play with fire."

✄┈┈┈┈┈┈┈┈┈┈┈┈┈

KEPALA terus disandarkan di kepala katil hospital itu. Sekilas pandangannya jatuh pada sekeliling bilik wad yang kini dijadikan tempat untuk dia berehat. Sebelah tangan naik menyentuh kain balutan di kepalanya itu. Terbit senyum kecil di bibirnya saat dia mulakan sesuatu.

Sebenarnya, dia masih tidak percaya bahawa dia masih diberikan peluang yang bernilai ini untuk meneruskan hidupnya di muka bumi ini. Segalanya bermula dengan sangat pantas, dan kini dia masih terlantar di katil hospital ini. Dia sendiri tidak tahu bahawa ada satu ketumbuhan kecil di dalam kepalanya.

Fikirnya setiap kali dia mulai merasa pening kepala, itu hanyalah sakit kepala biasa. Semuanya terjawab saat dia tidak sedarkan diri ketika masih menjalankan satu misi bersama pihak FBI dahulu. Satu pembedahan terus dijalankan ke atasnya dengan menggunakan wang hasil sumbangan pihak FBI sendiri. Dengan kuasa Allah, dia akhirnya berjaya diselamatkan.

Dan sejak dia sembuh dari pembedahan itu, dia cuba untuk menerima kekurangan dirinya sendiri. Dahulu, dia dikenali sebagai lelaki yang sangat-sangat bencikan dirinya sendiri. Dia merasa jijik dan hina dengan dirinya sendiri. Dia selalu merasa yang dia tak layak untuk hidup di muka bumi ini. Namun dia cuba bertahan hidup untuk dua orang yang dia sangat cintai buat seumur hidupnya. Ibu dan adiknya, Sarah.

Tapi ada satu hal dia perlu sedar sebenarnya, seteruk apa pun dia pernah diuji dahulu, Allah tetap ada untuknya. Pada siapa lagi dia perlu bergantung jika bukan pada Allah sendiri? Dia wujud di dunia ini juga kerana izinNya. Dia masih bernafas di dunia ini juga kerana izinNya. Jadi, untuk apa dia menjadi manusia yang tidak tahu bagaimana mahu bersyukur?

Dan satu hal yang dia perlu tahu dan tanamkan ia di dalam lubuk hatinya yang paling dalam. Ada ramai lagi insan yang diuji hidupnya jauh lebih dahsyat darinya. Contohnya dia boleh lihat sendiri pada negara-negara yang sedang bergolak sekarang. Palestin. Syria. Myanmar. Kashmir.

Jutaan manusia di negara itu diuji setiap detik oleh Allah. Jika sekarang dia dapat berehat dan tidur ditemani ketenangan, mereka di sana dapat berehat dan tidur ditemani dengan ledakan bom dan tembakan bertalu-talu. Jika sekarang dia dapat makan bubur ketika lagi sakit, mereka di sana hanya dapat makan cebisan-cebisan kotak yang direbus ketika lagi sakit. Jika dia dapat mandi dengan wangian sabun dan syampu wangi, mereka di sana hanya dapat mandi dengan limpahan darah segar. Manusia di sana mati setiap saat. Nyawa mereka melayang setiap saat. Ketenangan mereka diragut setiap saat.

Tapi, mengapa sehingga kini mereka masih bertahan? Mengapa mereka masih sanggup menerima setiap ledakan bom dan tembakan bertalu-talu tanpa henti buat mereka? Mengapa mereka masih mampu tersenyum ketika diuji? Mengapa mereka tidak lari saja ke negara-negara aman di luar sana?

Hanya satu sebab saja mereka ada.

Mereka percaya Allah itu ada untuk mereka.

Mereka percaya rahmat Allah jauh lebih baik dari segala-galanya.

Mereka percaya bahawa syurga itu benar-benar ada buat mereka.

Dan mereka percaya, Allah tidak pernah meninggalkan mereka.

Ya Allah, sungguh kerdil diri ini apabila menyedari semua itu.

Terus diseka air matanya yang akhirnya gugur. Hatinya benar-benar sayu. Dia benar-benar bersyukur dengan apa yang selama ini dia rasai. Nafas yang diberi pinjam ini terlalu manis rasanya. Sukar untuk dia gambarkan bagaimana rasanya apabila nafas ini dapat ditarik dan dihela dengan tenang. Lancarnya nafas ini dengan izinNya.

Bunga SaifuddinWhere stories live. Discover now