SEMINGGU berlalu, Bunga bergelar sebagai tunang Hazir. Dalam tempoh itu jugalah Hazir kerap menghantar makanan yang dipesan oleh Bunga melalui aplikasi foodpanda. Terang lagi bersuluh nama lelaki itu tertera pada nama rider sewaktu meninggalkan pesanan. Tiga kali hantar makanan ke A.Holders, Bunga jadi terbiasa dengan kejutan dari jejaka itu.
Bunga pun curiga dengan perangai Hazir. Sekejap dingin sekejap romantik. Pernah sekali tiba-tiba Fadlina hulur beg kertas putih kepadanya bersama sekuntum bunga mawar. Fadlina kata ada rider foodpanda hensem bagi. Menyirap juga telinga ini mendengar encik tunang kena puji dengan perempuan lain.
"Siapa rider foodpanda tu? Bukan main puji sampai panas telinga saya dengar. Entah-entah tak hensem pun sebenarnya." Fadlina ketawa kecil. Gelagat bosnya mengutuk tunang sendiri mencuit hati. Ini kalau Hazir dapat tahu pasti dia kena marah.
"Amboi cik Bunga sedap mengata bakal suami. Beruntung tau cik Bunga dapat bakal suami macam encik Hazir tu. Manis betul orangnya," usik Fadlina.
"Lama-lama awak tengok muka dia pun muak tau," seloroh Bunga padahal hati sedang berdebar laju. Terutamanya apabila melihat mawar merah yang terletak elok dalam beg kertas putih itu. Fadlina sembunyikan senyuman.
"Mulut mengutuk tapi dalam hati gembira."
"Sibuklah dia." Tersipu malu tatkala kena usik begitu. Fadlina tahan saja senyum. Suka tengok Cik Bunga bahagia seperti sekarang. Kalau tidak, muka mak singa saja yang ditayang.
BEG galas berwarna hijau disandang pada bahu. Minggu depan kahwin tapi kena pulang kem hari ini. Puan Ilyas menghantar anak lelakinya sehingga ke pintu dengan wajah risau atas dua sebab. Pertama, Hazir boleh ke kembali dalam masa terdekat sedangkan paling lama dia pergi operasi pun makan masa berbulan. Kedua, apakah penerimaan bakal menantunya bila dapat tahu?
"Boleh ke balik sebelum majlis? Ibu minta tangguhkan dulu sementara kamu selesaikan operasi," kata Puan Ilyas kepada Hazir yang sedang memakai but tentera.
"Nanti Hazir beritahu ibu. Hazir balik kem pun nak beritahu Komander Qalid berkenaan perkara ni. Ibu doakan Hazir selamat pergi dan balik," pinta Hazir sambil melabuhkan ciuman pada tangan Puan Ilyas.
"Ibu sentiasa doakan anak-anak ibu. Jangan lupa beritahu kalau tak ibu merajuk." Sengaja Puan Ilyas pura-pura merajuk. Hazir tertawa kecil. Tubuh Puan Ilyas dipeluk sekejap lepaskan rindu. Lepas kahwin peluk isteri pula.
"Hazir pergi dulu."
Puan Ilyas melambai sehingga Mitsubishi Triton hitam hilang dari pandangan. Dalam hati Puan Ilyas tak berhenti mendoakan keselamatan anaknya. Hanya Hazir saja yang berani meneruskan perjuangan Encik Hadif sebagai tentera menggalas tanggungjawab sebagai leftenan muda. Tanpa sedar, Puan Ilyas melepaskan keluhan.
KAKI menapak ke pejabat untuk melaporkan diri. Beberapa orang prebet menyapa Hazir sewaktu bertembung dengan jejaka itu. Luaran saja nampak dingin tapi masih boleh dijadikan kawan. Biasa mood bertukar kepada leftenan bila sampai di sini. Pintu pejabat diketuk sebelum tombol pintu Hazir pulas lepas mendapat kebenaran.
"Selamat sejahtera, Komander." Hazir memberi ucapan kepada orang atasan yang berada dalam pejabat itu. Seorang lelaki dalam lingkungan 45 tahun menyambut kedatangan Hazir dengan wajah dingin.
14798 Brigadier Jeneral Mohd Qalid.
Nama dan pangkat yang tertera pada tag nama yang tersarung elok pada bahagian kanan poket baju celoreng.
"Saya ada perkara yang perlu dibincangkan dengan Komander." Komander Qalid memandang Hazir sekejap lalu menyuruhnya untuk duduk. Hazir akur.
"Perkara apa tu? Nampak macam penting."
"Saya nak kahwin minggu depan," terang Hazir.
"Minggu depan? Kau jangan buat hal. Tahu kan ada kursus payung terjun untuk dapat sayap berdarah bintang. Kahwin ni perkara yang serius dan tak semua askar ada masa bersama keluarga, Leftenan Muda Hazir Erman!" Tajam panahan anak mata Komander Qalid seakan memberi amaran.
"Tapi askar pun manusia juga. Mereka tak layak untuk bahagia? Tak layak untuk berkeluarga?"
"Keluar dari sini! Saya tak nak tengok muka kamu lagi. Keluar!" tempik Komander Qalid.
Nada suara itu jelas yang orang atasan Hazir begitu kecewa mendengar berita itu. Hazir akur lalu terus keluar dari pejabat selepas mengucapkan terima kasih. Komander Qalid memandang kosong Hazir yang telah pergi. Bibir mengukir senyuman sinis.
"Anak kau berbeza sangat daripada kau, Hadif. Aku berharap sangat dia dapat isteri yang kuat sebagai tulang belakang. Hidup jadi askar ini keras," gumam Komander Qalid sendirian.
YOU ARE READING
ᴋᴇsᴀʏᴀɴɢᴀɴ ʟᴇꜰᴛᴇɴᴀɴ ʜᴀᴢɪʀ ᴇʀᴍᴀɴ (TERBIT)
Romance"𝓘'𝓶 𝓗𝓪𝔃𝓲𝓻 𝓔𝓻𝓶𝓪𝓷. 𝓛𝓮𝓯𝓽𝓮𝓷𝓪𝓷 𝓗𝓪𝔃𝓲𝓻." Berkahwin di usia muda kerana ayahnya memerlukan cucu lelaki sebagai pewaris syarikat. Bunga Athalia mula jalankan misi mencari bakal suami bersama sahabat baiknya, Nurina Balqis dalam temp...