Azan maghrib mula berkumandang, mengiringi nada suara anakku, Nada, yang sedang aku ajar tentang solat, aurat, dan ilmu agama yang lain. Dengan khusyuk, dia solat maghrib bersama opah dan atuknya.
Memandangkan hari ini aku sedang bercuti, aku mengambil kesempatan untuk merehatkan diri di atas sofa empuk, hanya ditemani bunyi televisyen.
Sudah beberapa bulan sejak aku bercerai dan kembali menetap di rumah ayah dan ibu. Diusir keluar dari rumah bekas suami memang pengalaman yang pahit, tetapi aku reda dan bahagia di sini bersama Nada.
Aku bersandar, dagu kuletakkan di tangan, dan tanpa sedar, wajah lelaki bernama Anaqi mula menjelma dalam ingatan. Siapa dia sebenarnya? Baik dan pemurah, walaupun tak murah.
Senyuman mula terukir di bibir tanpa aku sedari. Pelik, tapi bila berada di sampingnya, aku terasa... selamat. Kacak, bertubuh tegap, bermata hitam pekat. Ah, mungkin aku jatuh cinta.
Namun, adakah dia akan pandang aku yang hanya seorang janda, seorang bekas isteri orang, yang penuh dengan kekurangan ini?
"Mommy!" Nada menjerit riang sebaik sahaja selesai solat, melompat ke arahku, cuba minta didukung. Aku ketawa kecil melihat wajah comelnya yang gemuk dan manja. Bukannya aku tak nak riba dia, tapi anak ini berat!
"Mommy, can I ask you something?"
Aku tersenyum lembut dan mengusap pipinya yang gebu. "Apa dia, sayang?"
Nada memandangku dengan mata yang bercahaya, kedua-dua telapak tangan dirapatkan seperti memohon. "Nada nak jumpa Daddy lagi... please, Mommy..." suaranya meleret manja.
Aku terdiam, menarik nafas panjang. 'Daddy, daddy'... dia masih ingat lelaki itu sebagai 'daddy'-nya, walhal itu cuma 'uncle' saja.
"Uncle, sayang, bukan daddy. Dia bukan ayah kamu," jawabku lembut sambil mencubit pipinya.
Nada merengek, "Nada still want to call him daddy. Please, Mommy... Nada nak jumpa Daddy." Tangannya menggoncang lenganku memohon rayu. Budak ini, mana aku nak cari 'daddy jadi-jadian' dia?
"Mana mommy nak cari 'daddy' awak tu, Nada? Kita baru je kenal dia," ujarku, sedikit tergelak kecil, walau dalam hati terasa juga rindu pada lelaki itu.
Hening seketika, kemudian Nada tersenyum lebar sambil menghulurkan sekeping kad kecil ke arahku. "Nah! Nombor daddy!"
Mataku terbeliak melihat kad putih di tangannya. Ternyata anak ini bijak juga, pandai-pandai buat kerja belakang aku.
"Mana Nada dapat ni? Senyap-senyap ye, buat kerja belakang Mommy?" tanyaku, separuh geram tapi kagum.
Nada ketawa sambil menutup mulut kecilnya. "Daddy bagi masa Nada dekat taman. Daddy kata... Daddy akan rindu Nada."
Aku ketawa kecil, menggelengkan kepala melihat betapa pandainya Nada. Kad di tangannya aku capai, dan sedikit rasa berdebar timbul. Telefon aku ambil, cuba masukkan nombor itu ke dalam senarai WhatsApp.
Dalam ruang mesej, aku pandang lama nama Anaqi. Nak mesej atau tak? Fikiranku bercelaru, jari-jemari terasa kaku. Tidak! Aku takkan mesej dia.
Cepat-cepat aku letakkan telefon, bangun dari sofa, dan melangkah masuk ke dalam bilik. Mata sudah terasa berat. Aku baring, melepaskan keluhan terakhir sebelum mata perlahan-lahan terpejam, memikirkan entah apa yang bakal terjadi antara aku dan dia.