🌹
"AKU terima nikahnya Laura Humaira binti Yazid Yusuf dengan mas kahwin sebanyak RM 500, tunai."
Dalam satu alunan nada, suaranya berhasil membuat suasana bertukar hingar untuk seketika. Pada saat hatinya sama sekali tidak ikhlas. Segumpal rasa benci mulai terbit memamah raga.
Laura Humaira tersenyum kelat. Sejenak kemudian, dia melihat Karl Azriel yang menoleh ke arahnya. Terselit bara pada renungan Azriel tatkala mereka saling bersabung pandang.
Jejaka itu kemudian menuju ke arahnya. Tidak sampai beberapa saat, tangannya berada di dalam genggaman kemas Azriel. Kemudian, terasa kucupan hangat mendarat tepat pada dahi licinnya.
Begitu banyak suara-suara lantang yang bersorak gembira pada saat itu. Tapi entah kenapa, tatkala dia kembali melihat wajah Azriel, dia terkaku. Tiada secalit senyuman pada bibir pucat Azriel. Sedangkan tatapannya juga dibalas dengan lirikan yang tajam. Terasa bahang membakar tunak matanya.
"Kau yang pilih jalan ni, Maira. Aku tak paksa. Jadi jangan salahkan aku bila hidup kau dah berubah selepas ini," keras bisikan Azriel memetir ditelinganya. Cukup membuat dirinya tenggelam dalam perasaan hiba. Umpama ugutan, Humaira terkedu mendengar itu.
"Amboi, belum apa-apa lagi dah main bisik-bisik. Bisik apa tu, Azriel?" usik Puan Mariam, ibu kepada Karl Azriel.
"Saja. Bagi salam untuk isteri Azriel."
Sinis balasan Azriel. Buatkan semua yang tidak mengerti sekadar tertawa riang. Seolah-olah apa yang Azriel katakan itu adalah bait yang indah maknanya. Dia tahu. Perasaan benci dalam hati Azriel sudah lama berputik. Sejak pertama kalinya mereka dipertemukan.
Laura Humaira terdiam seribu bahasa. Melihat senyuman penuh makna pada bibir Azriel, hatinya bagaikan disayat. Terlakar sejuta rasa dendam dalam raut wajah Azriel.
Dia faham. Cinta Azriel hanya untuk Laura Zaharah. Ya, sepupu Humaira. Mak Long dengan ibunya berpakat untuk memberikan nama yang hampir sama untuk mereka. Disebabkan hari lahir yang sama. Ramai yang menganggap mereka adalah kembar. Jarang mereka berpisah.
Sudah hampir empat tahun Zaharah menjadi penghuni dalam hati seorang Azriel. Usah ditanya bagaimana mereka saling mencintai. Sehinggalah cinta mereka retak. Mahligai yang didambakan itu hancur sebaik sahaja Zaharah terlibat dalam kemalangan. Tiga bulan sebelum majlis pernikahannya dengan Azriel.
Ajal, rezeki dan takdir. Semuanya ketentuan Tuhan. Kendatipun dalamnya keinginan yang ada dalam diri manusia, kuasa yang Esa tetap melebihi segalanya.
Zaharah meninggal dunia di tempat kejadian. Membawa titik berdarah dalam sejarah keluarga mereka.
Lalu Humaira? Gadis itu rela menjadi pengganti kepada Zaharah setelah puas dihujani dengan pujukan. Entah itu pujukan daripada ibunya dan ibu Azriel, atau pujukan daripada ibu Zaharah, Mak Long. Demi menutup malu dan menjaga nama baik keluarga.
Bukan. Humaira bersetuju bukan atas dasar desakan. Melainkan keputusannya ketika itu didorong oleh perasaan cinta. Setelah betahun-tahun lamanya rasa itu dipendam. Tapi nyatanya? Hingga lafaz nikah meniti, Azriel tidak rela.
....
USAI akad nikah, semua tetamu bersurai. Majlis besar-besaran akan diadakan pada esok hari. Semua keluarga besar mereka akan bermalam di hotel. Cukup mewah. Keluarga Azriel bukannya calang-calang. Boleh dikatakan orang yang sangat berada. Tetamu yang diundang untuk majlis mereka juga kebanyakannya orang-orang ternama.
YOU ARE READING
𝐌𝐚𝐰𝐚𝐫 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐇𝐮𝐦𝐚𝐢𝐫𝐚
Romance"Jangan paksa perasaan aku, Maira. Aku tak boleh cintakan kau sama macam aku cintakan arwah Zaharah. Kau bukan dia."-𝐊𝐀𝐑𝐋 𝐀𝐙𝐑𝐈𝐄𝐋 Mana mungkin dia menerima kehadiran wanita lain selain daripada Zaharah. Dia seolah-olah enggan menerima bicar...