🌹
GEMERETAK air yang mengguyur membasahi bumi menjadi tatapan sayunya ketika itu. Setiap dentuman guruh yang datang bertandang, merenjis kepahitan dalam setiap detak rasanya. Sakit. Pilu melampar di mana-mana.
Merenung itu, terasa separuh nafasnya dibedal hiba. Sejenak, anak matanya menjamah ranting-ranting yang dipuput angin melayah ke kiri dan kanan. Dia meruyupkan matanya. Ingin melihat jelas pepohon yang sudah mati itu.
Bahkan ia masih tegar berdiri meskipun sudah kering. Seperti keterpaksaan dirinya kini. Dipaksa tegar walaupun kekuatan itu hanyalah sekadar bidaan. Ada kelelahan yang dia rasakan berputik di setiap putaran roda waktu ketika itu.
"Doa saya dimakbulkan. Allah tarik ingatan dia. Saya tak sempat nak bersandar pada bahu dia. Saya tak sempat rasa kenangan di antara kami. Dia lupakan saya," Laura Humaira mengulum kata. Ada berbakul penyesalan pada bait-bait nada itu.
Dia melihat Azriel yang masih berdiri pegun, bersama payung hitam di tengah-tengah guyuran hujan. Di situ, sudah lebih satu jam lamanya. Azriel berdiri di hadapan pusara seorang Zaharah.
Seperti itukah makna cinta yang sesungguhnya?
Dia cemburu. Bahkan bila nyawanya ditarik sekalipun, belum tentu Azriel akan berbuat sedemikian rupa. Tapi apa kudratnya untuk utarakan rasa cemburu itu?
"Dia boleh sembuh. Ingatan dia boleh kembali. Asalkan awak selalu ada di samping dia. He need you, trust me." Arzhel mengeluh. Cukup memahami apa yang Humaira rasa.
Dia sudah menjelaskan semuanya kepada Azriel. Bermula daripada kematian Zaharah, sehinggalah perkahwinan antara Azriel dengan Humaira. Termasuk kejadian ngeri di Itali.
Dan setelah itu, Azriel terus berdiam diri. Seperti tidak percaya pada kenyataan yang dia terima.
"Go talk to him." Arzhel tersenyum kecil. Cuba memujuk.
"Dia bencikan saya, Arzhel."
Keluhannya jelas terdengar. Sudah pasti dialah orang yang paling dibenci oleh Azriel kini. Sama seperti hari pertama mereka bersatu.
Semuanya kembali seperti sedia kala. Alurnya masih sama. Masih tentang Zaharah.
"Saya lelaki, Humaira. Saya tahu isi hati Azriel. Benci mana sekalipun, hati dia tetap akan berubah. Jangan awal sangat mengalah," pujuknya lagi dan lagi. Sedikit sebanyak, Humaira akur.
Terus dia keluar daripada perut kereta. Menapak mendekati Azriel yang berdiri tegak. Langsung tidak pernah mengalihkan pandangannya. Tak pernah lekang dari terus memerhatikan makam kekasih hatinya.
Sekuat hati, Humaira bersuara. Menyembunyikan lara yang semakin mencengkam. Dia tidak mahu menangis lagi. Dia tidak mahu Azriel melihat air matanya. Cukup tahu bahawa tangisannya hanya akan menambahkan rasa benci Azriel terhadapnya.
"Abang, kita balik dulu ya? Esok lusa, kita boleh datang sini lagi jenguk Zaharah." Humaira tersenyum hambar. Pandangannya jatuh melihat rumah Zaharah. Sebaris nama itu ditatap lama.
Seharusnya rasa cemburu itu tidak perlu diladeni. Zaharah sudah pergi. Bukan salah Azriel jika saat ini jejaka itu masih berharap agar kekasih hatinya kembali.
YOU ARE READING
𝐌𝐚𝐰𝐚𝐫 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐇𝐮𝐦𝐚𝐢𝐫𝐚
Romance"Jangan paksa perasaan aku, Maira. Aku tak boleh cintakan kau sama macam aku cintakan arwah Zaharah. Kau bukan dia."-𝐊𝐀𝐑𝐋 𝐀𝐙𝐑𝐈𝐄𝐋 Mana mungkin dia menerima kehadiran wanita lain selain daripada Zaharah. Dia seolah-olah enggan menerima bicar...