Bab 17

16.1K 758 81
                                    

🌹

"SUAMI awak sedang bertarung nyawa. Tapi percayalah, dia seorang yang kuat." Suara garaunya memulakan bicara. Arzhel cuba memujuk Humaira. Ada sekelumit senyuman pada bibir pucatnya.

Mereka kini berada di hospital. Azriel dikatakan sedang bertarung nyawa. Dalam tempoh beberapa hari lalu, lelaki itu sempat mendapatkan rawatan di unit perawatan di Itali. Sebelum dibawa pulang ke Malaysia.

Gusar. Resah. Dan tentunya, sedih. Itulah yang dia rasakan sebaik sahaja berita buruk itu meniti di telinganya. Seakan-akan apa yang terjadi itu adalah sebuah mimpi ngeri. Menutup mata kadang kala dirasakan lebih baik. Hanya dari itu, dia dapat melihat senyuman kacak seorang Karl Azriel.

Tapi malangnya, senyuman itu sirna tatkala dia mencelikkan kelopak mata. Yang tinggal hanyalah sekujur tubuh yang terbaring lemah bersama wayar yang berselirat pada tubuh. Bantuan pernafasan tak pernah lekang dari mulut dan hidungnya.

"Empat minggu lebih. Penantian saya, hanya untuk melihat suami saya bertarung nyawa?" Bidasnya. Hatinya sedikit payah untuk terima kenyataan. Umpama benci pada bicara takdir.

"Saya minta maaf. Saya tahu macam mana perasaan awak. Semasa di Itali, kami terperangkap. Saya tak dapat hubungi awak." Arzhel menundukkan wajahnya.

"Apa yang dah jadi?" Humaira melirik. Bersama suara yang mendatar. Arzhel terlihat lelah. Banyak luka lebam pada wajah dan calar pada kulit tangan jejaka itu.

"Awak tahu kenapa kami dihantar ke Itali?" Itu yang pertama Arzhel tanya. Hanya dibalas dengan anggukan kecil Humaira.

Sejujurnya, banyak persoalan yang timbul. Jika Azriel tidak dalam keadaan koma, sudah pasti dia mengamuk. Mengenang bagaimana diri itu terasa dikhianati.

"Pencurian kapal dan senjata? Termasuk kes penyeludupan dadah," balasnya.

"Tak hanya itu. Kami dihantar sebab pelaku tu adalah orang yang sama yang menyebabkan kematian Zaharah. Kemalangan Zaharah was not an accident. Melainkan ada yang cuba untuk sabotaj," terangnya. Humaira diam sejurus. Sedikit terkejut dengan hujah Arzhel.

"Itulah yang Azriel korbankan selama ini?" Faktanya, Azriel sendiri yang mengatakan itu. Lelaki itu sanggup buat apa sahaja untuk Zaharah.

"Saya faham maksud awak. Tapi, awak ingat lelaki yang pernah pecah masuk rumah awak semasa awak seorang diri di rumah? Lelaki yang bertopeng, awak ingat?" Bertambah bingung dengan apa yang Arzhel cuba sampaikan. Wajahnya mulai berkerut.

Dia menggangguk. Menjadi tanda tanya kenapa Arzhel tahu tentang kejadian yang menimpanya itu. Azriel bagitahu?

"Dia orang yang sama yang menyebabkan kematian Zaharah. Dia salah satu anggota dalam kumpulan jenayah terancang yang kami telah selidik. Pencurian kapal dan senjata, dia terlibat sama. Jadi bermaksud, lelaki tu adalah dalang daripada tiga kes sekali gus." Dia lihat Arzhel begitu bersungguh-sungguh.

"Apa motif dia buat macam tu dekat saya dan Zaharah?" Iulah yang menjadi pertanyaan besar dalam mindanya.

"Dahlia ada datang jumpa awak? Saya terserempak dengan kereta dia sebelum saya ke rumah awak," Arzhel bertanyakan hal lain tanpa menjawab soalannya. Mendengar nama itu, dia mengangguk.

Soal Dahlia, dia juga tertanya-tanya. Terbayang wajah Dahlia yang tampak ketakutan di mindanya.

"Ada. Saya rasa ada yang tak kena dengan dia. Dia datang minta maaf. Saya tak tahu apa yang dia maksudkan," jawabnya.

𝐌𝐚𝐰𝐚𝐫 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐇𝐮𝐦𝐚𝐢𝐫𝐚Where stories live. Discover now