🌹
"BOLEH tolong hantarkan saya tak?" Perlahan-lahan, dia membuka bicara. Dengan perasaan yang gugup, wajah bengis Azriel ditatap. Tipulah bila dia kata tidak takut. Belum dengar suara pun dah tahu macam mana reaksi lelaki itu.
"Pergi mana?" Balas Azriel sekadar bersilengah. Langsung tidak menoleh melihat wajah Humaira.
"Pergi beli barang dapur." Humaira menapak menghampiri Azriel yang membuang pandang ke luar sana. Entah kena sampuk apa sampai berdiri dekat balkoni sampai berjam-jam lamanya.
"Tak reti nak pergi sendiri?"
"Awak bagi ke saya pinjam keret awak? Takut calar pula. Nanti awak marahkan saya, macam mana?" laju Humaira menjawab. Ikutkan nawaitu diri, dibatalkan saja niatnya untuk bertanyakan itu kepada Azriel. Nampak sangat jejaka itu tidak sudi mahu menolong. Kerek!
Detik itu juga, Azriel melamparkan pandangan tajamnya. Jelas tidak berpuas hati. Seolah-olah berang disindir sebegitu. Seketika, rengusan kasar meniti pada bibir jejaka itu.
"Kau nak aku hantarkan?"
Humaira angguk perlahan. Ragu.
"Menyusahkan betul." Sejurus selepas itu, terus Azriel melangkah pergi. Diikuti dengan Humaira yang tergopoh-gapah mengejar langkah kaki suaminya. Bersyukur juga bila jejaka itu tidak terlalu banyak protes. Alhasil, diturutkan juga apa kehendaknya.
....
SENYUMAN manis terukir pada bibir mungil itu. Bersama mata yang tercelik luas menatap indahnya langit yang mencurahkan rahmat Allah di balik cermin kereta itu. Cukup tenang suasana pada petang itu. Ditemani tangisan semesta yang datang bertandang.
Rintik-rintik hujan yang berguyur jatuh menimpa alam ketika itu seakan-akan menemaninya. Memahami apa yang dipendam. Membaca setiap aksara luka yang tertulis pada dinding hatinya.
Usai membeli semua kelengkapan dapur, mereka terus bergerak pulang ke rumah. Bukannya Azriel berlembut hati mahu menawarkan dia untuk makan di luar. Tapi, tak apa. Asalkan Azriel tidak membuangnya di tepi jalan, dia cukup bersyukur.
Humaira menghela nafas panjang. Fikirannya benar-benar karar pada ketika itu. Namun malangnya, atmanya berkata lain. Perasaan gusar tiba-tiba sahaja datang menghantui.
Lama dia termenung. Sebelum akhirnya dia menyedari apa yang sedang berlaku. Lantas dia bangun daripada bersandar. Mimik wajahnya gesit berubah.
"Azriel, hujan lebat ni. Tak baik bawa kereta laju-laju." Nadanya beralun cemas. Risau bila menyedari lelaki itu memandu melebihi had laju. Lebih gusar tatkala melihat wajah dingin Azriel.
Jejaka itu sekadar berdiam. Terus-menerus menekan pedal minyak, memecutkan keretanya membelah suasana pada ketika itu. Merah wajahnya seakan-akan menahan amarah.
"Azriel, bahayalah!" Humaira sedikit melenting. Di tengah-tengah rasa cemasnya, dia memandang raut wajah Azriel yang sudah tenggelam dalam emosinya.
Selang beberapa saat, dia dikejutkan dengan tindakan Azriel yang tiba-tiba memberhentikan keretanya pada bahu jalan. Di tengah-tengah pintalan hujan dan bayu yang saling menyentuh.
"Turun," ujar Azriel, langsung tidak menoleh memandangnya. Buatkan dia terpempan mendengar itu. Langsung tidak memahami apa yang berlaku pada jejaka itu.
YOU ARE READING
𝐌𝐚𝐰𝐚𝐫 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐇𝐮𝐦𝐚𝐢𝐫𝐚
Romance"Jangan paksa perasaan aku, Maira. Aku tak boleh cintakan kau sama macam aku cintakan arwah Zaharah. Kau bukan dia."-𝐊𝐀𝐑𝐋 𝐀𝐙𝐑𝐈𝐄𝐋 Mana mungkin dia menerima kehadiran wanita lain selain daripada Zaharah. Dia seolah-olah enggan menerima bicar...