Bab 16

46.5K 2.1K 383
                                    

🌹

AMARANNYA yang melarang Azriel untuk mengganggu dirinya itu seperti diturutkan. Sudah hampir empat minggu lamanya dia terpuruk sendirian. Tiada peneman. Tiada yang memberi kekuatan kepadanya. Hanya menjalani hari-harinya dengan kekecewaan yang berpanjangan.

Di rumah itu, acap kali dia menghamburkan perasaannya seorang diri. Entah kadang kala itu perasaan sepi, lengang, ataupun marah. Malu pada Tuhan bila mana dia selalu menangis meminta agar rasa sedihnya itu segera diusir. Dia malu bila mana ibadahnya sering kali bertemankan nestapa.

Segala yang ada di rumah itu umpama menjadi saksi bagaimana keadaannya. Ketika ahli keluarga dan beberapa orang bertanya, bagaimana Azriel di sana? Dia hanya tersenyum. Menyembunyikan laranya. Semua baik-baik sahaja. Itu jawabnya. Dipendam kemas.

Dan lebih beberapa minggu itu juga, suasana begitu hening. Azriel berdiam tanpa khabar. Itulah yang dia inginkan. Dia sendiri yang meminta untuk Azriel menjauhkan dirinya. Tapi, hatinya tidak tenang. Pemergian Azriel seolah-olah menyiksa perasaannya.

Bagaimana keadaan Azriel di sana? Lenakah tidurnya? Sempurnakah ibadahnya? Selamatkah siang dan malamnya?

Berusaha keras untuk dia mengubah hatinya. Gemersik rindu semakin bergulung-gulung, bertindih-tindih menghambat hatinya. Lantas, bila rasa itu akan pudar?

Jika dikira usia hari semenjak Azriel bertolak ke Itali, sudah lebih sebulan lamanya. Dia tidak bersua dengan suaminya itu. Azriel hilang tanpa khabar.

Azriel tidak pernah menghubunginya. Jangankan mendengar suara itu daripada hujung talian, sebaris mesej pun tidak pernah dia terima. Azriel menurutkan kemahuannya. Ada penyesalan berbungkus di situ.

Dan, tahu apa yang lebih menyakitkan?

Dua minggu sudah usianya kini. Hadir sebagai bentuk rezeki. Penghias hari tika menjulang waktunya. Mendulang masa depan dengan harapan yang sungguh tinggi. Gelak tawanya pasti akan menenggelamkan kelamnya dunia seorang Humaira.

Ya. Ada zuriat di dalam tubuhnya. Terlalu cepat rezeki itu datang.

Selepas terakhir kali dia berhubungan dengan sang suami. Dia menemukan kejanggalan dalam diri. Muntah dan sakit yang tidak biasanya ada. Apabila diperiksa, dia ternyata mengandung. Sehingga lidahnya kelu untuk mengungkapkan apa-apa selain syukur. Hanya dia yang tahu tentang khabar gembira itu.

Beberapa waktu itu juga dia sedar. Dia sudah lama tidak tersenyum. Ada kalanya benci dia rasakan. Tapi entah kepada siapa rasa bencinya itu dituju. Dia kehilangan dirinya sendiri. Itu yang paling menakutkan. Dia sepertinya hilang arah. Sehingga dia sudah tidak tahu cara memujuk hatinya sendiri seperti sebelum ini.

Telefonnya kini digenggam kemas. Bersama bibir pucatnya yang dikemam. Dia— suara Azriel ingin dia dengar. Sungguh seksa. Menahan egoisnya diri itu.

"Maaf... maafkan saya," rintihan demi rintihan selalu keluar dari mulutnya. Jemarinya naik mencengkam dada sendiri. Perit.

Azriel berhak untuk tahu. Pujuknya, terkadang seorang diri. Di sebalik cinta yang semakin fana, ada sekelumit rindu yang digenggam. Dia rindukan suara Azriel.

Telefonnya direngkuh naik ke telinga.

Tatkala telinganya mendengar suara operator yang bergema di corong panggilan, dia terpana. Nombor yang terakhir kali Azriel gunakan untuk menghubunginya sudah tidak aktif lagi.

"Awak di mana, Azriel?" Ada kerisauan beriak-riak pada cebisan nadanya kecil itu. Matanya dipejam. Mencari-cari sebuah ketenangan.

Tanpa sedar, air matanya jatuh lagi. Kegusarannya ketika itu bukan sekadar bidaan. Detak hatinya semakin tidak keruan. Kenapa Azriel menghilang? Di mana dia ingin mencari Azriel?

𝐌𝐚𝐰𝐚𝐫 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐇𝐮𝐦𝐚𝐢𝐫𝐚Where stories live. Discover now