Bab 32

12.5K 550 22
                                    

🌹

"KENAPA termenung? Nasi tu tak boleh berjalan sendiri naik ke mulut," tegur Encik Yazid tatkala menyedari bahawa Azriel sudah termenung lebih kurang sepuluh saat. Lama betul jejaka itu berdiam diri.

Encik Yazid memandang. Ibarat ada panahan petir yang membersit pada ekoran matanya ketika itu. Mulutnya berhenti mengunyah. Lauk ikan bakar itu dipandang silih berganti dengan wajah kuyu Azriel.

Sepertinya fikiran mereka waktu itu masing-masing dilanda badai dan bencana. Masing-masing mengalami nasib yang sama. Kecewa yang sama. Kehilangan yang peritnya juga sama. Sewajarnya mereka ketika itu saling memahami. Mereka kehilangan bayang yang sama.

Encik Yazid menghela nafasnya. Terlepas keluhan pada bibirnya ketika itu.

"Aku tak boleh masak sama macam arwah isteri aku masak. Aku tak boleh masak macam mana arwah isteri kau masak." Sebenarnya lelaki tua itu ingin memujuk. Ingin memberikan nasihat kepada Azriel untuk terima semuanya dengan lapang hati. Tetapi mulutnya seperti enggan.

Encik Yazid juga masih menyimpan sekelumit benci pada jejaka muda yang duduk bertentangan dengannya itu. Dia masih menganggap bahawa Azriel bukan lelaki yang baik untuk Humaira. Azriel kejam di matanya. Masih ada kemelut yang dia pendam. Sehingga detik itu.

Namun benci itu tersisa hanya secebis ketika dia melihat bagaimana Azriel datang dengan segunung niat yang baik. Lagi pula, tiada gunanya jika dia berdendam semata-mata hal remeh yang masih boleh diluruskan.

"Eh, Azriel tak cakap pun yang masakan abah tak sedap. Cuma Azriel teringat. Ini makanan terakhir yang Maira masak sebelum... Sebelum dia bersalin," ujarnya. Dihambat sebak.

Kali terakhir dia merasakan masakan Humaira adalah sebelum tragedi pahit itu berlaku. Lauk ikan bakar. Dicicah bersama air asam. Persis seperti yang Encik Yazid hidangkan kepadanya ketika itu. Setelah itu, hanya tinggal rindu dan kenangan. Ah, lelahnya menanggung rasa kehilangan. Tidak pernah ada yang baik dari sebuah kehilangan.

Encik Yazid tersentak. Wajah tenangnya sedikit goyah bila mendengar kata-kata Azriel itu. Segelas air putih diteguk.

"Ini makanan kegemaran kami anak-beranak. Sharifah selalu masakkan kami lauk ni. Sebab tu aku tak pandai masak lauk yang lain," hujahnya. Menggamit kenangan lama antara dia dan keluarga kecilnya itu.

"Dua tiga hari ni, inilah makanan yang selalu aku masak," sambungnya lagi.

Setiap kali dia menyuap makanan itu ke mulut, pahit rasanya ditelan. Seperti ada bayangan dua bidadari itu di hadapannya. Tersenyum dan tertawa bahagia. Dia seorang suami yang ditinggalkan. Dan dia seorang ayah yang juga ditinggalkan. Perit, bukan?

Azriel terkesima. Dia memilih untuk berdiam. Sekadar mencedok nasi ke pinggan lalu mula menyantap makanan yang dihidangkan. Mulutnya mengunyah lemah. Seperti mengunyah pasir dan tanah. Hambar dan tawar. Bergetar jemarinya ketika itu.

"Sekarang tak biasa. Tapi lama-kelamaan, jiwa kita akan penat. Faham?" soal Encik Yazid. Buatkan Azriel mengangkat wajahnya memandang wajah yang sudah dimamah usia itu.

Azriel menggeleng. "Tak faham, abah."

"Sabar dan ikhlas bukan datang percuma dekat kita. Semakin banyak kita berdoa minta kesabaran dan ketabahan, semakin banyak ujian yang Tuhan bagi. Sampai kita sendiri yang penat," jelas Encik Yazid.

𝐌𝐚𝐰𝐚𝐫 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐇𝐮𝐦𝐚𝐢𝐫𝐚Where stories live. Discover now