🌹
FAJAR menyingsing. Ketika itu masih redup dan dingin. Hanya menunggu masa untuk matahari terbit. Menjamah maya dengan sinar di balik pintalan awan tebal yang berarak. Subuh itu sedikit murung. Membawa awan dan alam yang saling menyentuh.
Awal-awal lagi dia mendengar beberapa suara yang memecahkan kesunyian dari beranda rumah. Menenggelamkan suara azan dari surau usang di kampung itu. Buatkan perhatiannya sedikit sebanyak terganggu. Usai membersihkan diri dan bersiap-siap untuk menunaikan solat, dia melangkah keluar.
"Apa pula bising-bising dekat luar ni?" gumamnya, sendirian. Lekas dia membuka langkah menuju ke luar rumah.
"Abah, siapa datang?" soalnya. Dia sekadar berhenti di dahan pintu seraya memerhatikan Encik Yazid. Lelaki tua itu seperti baru sahaja berborak dengan seseorang di luar situ.
"Asalamualaikum, sahabat organik!"
Terbuntang luas matanya ketika mendengar suara garau itu. Buatkan dia terpinga-pinga seorang diri. Hairan akan kehadiran orang yang cukup dia kenali itu. Macam mana pula dia boleh sampai dekat kampung yang terpencil itu? Ah, sudah!
"Kau kenal? Dia kata kau ajak dia datang sini. Anak siapa pula ni?" Encik Yazid bertanya. Memetir keras suaranya ketika itu. Bersama wajah yang dingin membeku.
"Saya anak ustazah Fatimah. Nama saya Arzhel Muhammad Qadr. Umur rahsia, tapi masih muda. Saya biasanya jadi imam dekat masjid Ar-Rahman. Kalau nak tahu detail, kena follow Instagram saya." Bukan main mesra nada bicara tetamu yang tidak diundang itu mencelah. Seperti tiada rasa malu dan takut.
Karl Azriel menepuk dahinya sendiri. Sampai dengar bunyi 'Pap!'. Pagi-pagi lagi dia kena menghadap ujian hidup yang lain.
"Kamu dah ulang dua tiga kali. Aku bukannya pekak," bidas Encik Yazid. Jelingannya menampar tajam raut polos Arzhel yang seolah-olah tidak berperasaan itu. Macam nak cari gaduh pun ada.
"Tak ada Instagram lah tu!" celoteh Arzhel. Hanya disampaikan di dalam hati. Kalau dia cakap besar-besar, ada pula yang sarapan dengan batu dan kayu.
"Siapa yang ajak kau datang sini? Mana kau tahu tempat ni? Tak kerja? Kau buat apa dekat sini?" soal Azriel bertalu-talu. Memandang Arzhel yang masih berdiri di bawah sana.
Jejaka itu datang bersama bagasi berwarna merah jambu di sampingnya. Persis seperti kanak-kanak yang dibuang keluar dari rumah. Macam nak pindah rumah pun ada juga.
"Mentua sama menantu masing-masing memang perangai copy paste. Aku datang pagi-pagi buta macam ni bukannya nak pelawa naik. Disoal siasatnya aku ni macam budak-budak hilang," omel Arzhel. Dipelawa ataupun tidak, dia sendiri yang angkat bagasinya itu naik.
"Ada kami suruh naik ke? Sedap betul kau angkat barang-barang kau tu masuk rumah," protes Azriel.
Sejenak, tiada balasan daripada Arzhel Qadr. Jejaka itu dengan bangganya sudah masuk ke ruang tamu.
"Siapa tu?" Encik Yazid memandang Azriel. Masih tertanya-tanya siapakah jejaka muda yang tiba-tiba sahaja muncul itu. Datang macam dah lama kenal. Suka-suka hati masuk tanpa izin.
"Itu... Kawan Azriel. Tapi tak ada pula Azriel ajak dia datang sini. Dia datang sendiri. Tak tahu kenapa," jawab Azriel teragak-agak. Takut kalau-kalau Encik Yazid marah kepadanya.
"Haih, pelik-pelik perangai," keluh Encik Yazid.
"Mana ada pelik, Pak Cik. Saya datang sini sebab nak jalan-jalan. Jenguk kawan saya ni." Arzhel yang kembali terjengul di muka pintu, menepuk bahu kanan Azriel.
YOU ARE READING
𝐌𝐚𝐰𝐚𝐫 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐇𝐮𝐦𝐚𝐢𝐫𝐚
Romance"Jangan paksa perasaan aku, Maira. Aku tak boleh cintakan kau sama macam aku cintakan arwah Zaharah. Kau bukan dia."-𝐊𝐀𝐑𝐋 𝐀𝐙𝐑𝐈𝐄𝐋 Mana mungkin dia menerima kehadiran wanita lain selain daripada Zaharah. Dia seolah-olah enggan menerima bicar...