Bab 34

12.7K 495 3
                                    

🌹

MASA berjalan terlalu pantas. Malam itu, entah sudah lembaran ke berapa yang dia selak. Bait-bait aksara suci itu ditenung mendalam. Sebagaimana dalamnya kekecewaan yang dia pikul. Ada kalanya dia memaksakan matanya daripada terpejam. Berusaha keras dia mengusir rasa kantuk yang menggigit mata. Hanya kerana dia masih ingin meladeni kesepiannya.

Terkadang pula dia memandang ke arah pintu biliknya itu. Melihat kalau-kalau ada bayangan seseorang yang akan muncul di situ. Tapi nyatanya tidak. Ada pun datangnya seseorang ketika itu, bukan Humaira. Cukup lama dia duduk di atas sejadah. Bersama Al-Quran yang tidak pernah lepas daripada jemarinya. Sesekali dia menundukkan kepalanya, merasa kecilnya diri itu di hadapan Sang Pencipta.

Di situ, sudah lebih daripada tiga jam lamanya. Dia mendiamkan diri. Langsung tidak berbicara. Ketika Arzhel berborak kosong dengan Encik Yazid, dia memilih untuk berkurung. Mahu mengisi kekosongan hati, kemudian meluahkan banyak hal kepada-Nya. Lagi pula, mereka sudah pasti memahami kenapa dia menjauh untuk seketika.

Tidak lama sebelum dia duduk di tempat itu, dia sempat menerima panggilan daripada ibunya. Mengatakan bahawa keadaan Arzen semakin membaik. Semakin sihat. Bila mendengar khabar gembira itu, hati kecilnya tercuit.

Dia perlu segera kembali ke rumahnya. Dia perlu memberikan perhatiannya pada Arzen. Kekecewaannya terkadang membuat dia lupa akan dirinya yang sudah menjadi ayah. Bukan perasaan sedihnya yang perlu dia jaga.

Azriel mengakhirkan bacaannya. Kitab suci itu dikucup lembut, sebelum menyimpannya di rak yang paling atas. Sejadah dilipat lalu disimpan semula pada tempatnya. Kemudian dia melabuhkan duduknya di birai katil.

Seketika kemudian, dia mendengar bunyi engsel yang saling berlaga. Menandakan bahawa ada orang yang melangkah masuk. Dahan pintu yang terkuak lebar itu sama sekali tidak mencuri perhatiannya. Pandangannya masih terpaku pada lantai.

"Dah habis baca Al-Quran? Kata nak solat maghrib dan isyak dekat surau? Jom!"

Karl Azriel tersentak. Kepalanya serta-merta diangkat lalu memandang lurus ke muka pintu. Kelu lidahnya tidak terkata. Tekaknya terasa bersimpul mati. Lama dia termangu-mangu seorang diri.

"Abang? Kenapa ni?" Dia lihat Humaira yang kebingungan ketika tiada reaksi yang dia bagi. Hanya kaku di tempatnya.

Azriel meraup wajah. Sebelum kembali merenung figura itu.

"Ada sesuatu dekat muka Maira ke?" Wanita itu memegang kedua pipi merahnya. Mahu memastikan dirinya terlihat cantik di hadapan Azriel.

"Tak." Azriel geleng. "Tapi..." Belum sempat dia menyambung semula ayatnya, dia diberhentikan.

"Abang duduk sini sorang-sorang buat apa? Abah dah pergi surau daripada tadi lagi. Jom," ujar Humaira.

Humaira yang sudah siap bertelekung itu mengambil sejadah yang tadinya Azriel simpan. Kemudian melangkah mendekati suaminya. Sejadah itu dihulurkan, bersama senyuman manis yang meniti di bibir merahnya.

Azriel masih diam. Hanya menyambut huluran Humaira dengan mata yang kuyu. Masih cuba mencerna apa yang sedang dia lihat.

"Mai... Maira?" Azriel terngadah.

"Jom, nanti kita lambat." Humaira berdiri tepat di hadapan Azriel. Hujung lengan baju suaminya ditarik.

Perlahan-lahan lelaki itu berdiri. Sebelum membuntuti Humaira dari belakang. Masih dalam keadaan bingung.

𝐌𝐚𝐰𝐚𝐫 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐇𝐮𝐦𝐚𝐢𝐫𝐚Where stories live. Discover now