Bab 13

3.9K 162 5
                                    

"MAMA! Papa!" Lantang jeritan Wafa, memecahkan keheningan suasana di rumah agam itu. Berlari-lari dia menapak ke ruang tamu, teruja mahu bertemu dengan kedua orang tuanya yang sudah lama dirindui itu.

"Bisinglah kamu ni." Tuan Wazif yang tenang duduk di sofa sambil membaca akhbar menjeling. Terganggu bacaannya dek jeritan puterinya itu. Macamlah dia ni pekak sehingga gadis itu hendak memekak. Memanglah dia ni dah tua, tapi alhamdulillah, sampai sekarang pendengarannya masih baik.

"Anak mama!" Kelihatan Puan Talia bergegas keluar dari dapur dengan sudipnya masih elok di tangan. Nampak saja tubuh Wafa tercegat di ruang tamu, terus dia melompat ke dalam pelukan gadis itu.

"Rindunya mama." Pelukan mamanya Wafa balas ketat-ketat, melepaskan rindu. Sempat dilabuhkan kucupan sekilas di pipi gebu wanita itu.

"Papa, marilah join kami berpelukan sekali," ajak Wafa.

"Malaslah papa." Mendatar suara Tuan Wazif, tidak berminat. Bacaan akhbar yang tergendala kembali disambung.

Wafa mencebik. "Tak syok la papa ni." Seusai berpelukan, terus dia labuhkan duduk di sebelah papanya. Akhbar dalam pegangan lelaki itu dirampas sebelum dia letakkan ke atas meja, mahu perhatian lelaki itu diletakkan sepenuhnya terhadapnya. Macamlah dia tidak tahu mengapa layanan papanya itu tiba-tiba berubah dingin.

Selama ini, setiap kali dia pulang ke Malaysia, lelaki itulah orang pertama yang datang memeluknya. Agak terkilan kerana hari ini tidak sama dengan hari sebelumnya, tapi penyebab papanya sebegitu berpunca daripadanya juga.

Melihat layanan dingin suaminya, Puan Talia hanya menggelengkan kepala. Malas mahu masuk campur hal dua beranak itu, dia membawa diri ke dapur semula. Masakannya pun masih belum selesai. Nanti sajalah dia sambung sesi melepaskan rindu dengan puteri bongsunya yang seorang itu.

"Sejak bila kamu bercinta dengan Althaf tu?" soal Tuan Wazif, straight to the point. Puterinya di sebelah dipandang, serius.

"Entahlah." Wafa dengan selamba angkat bahu, sengaja hendak mengelak daripada jujur. Takkanlah dia nak jawab yang mereka tu baru kenal tak lebih dari sebulan?

Memang taklah papanya hendak bersetuju dengan pernikahannya nanti. Tak semena-mena segala angan-angan Tuan Aaren dan Puan Lisa yang beria-ria hendak mejadikannya sebagai menantu mereka turut hancur nanti. Dia sendiri pun tidak sanggup untuk mengecewakan pasangan itu, sudah banyak jasa mereka yang belum dibalasnya.

Biarlah dia terus mengelak sebegini, asalkan dia tidak berbohong.

"Kamu serius ke nak kahwin ni?" Tuan Wazif menyoal lagi. Masih tidak percaya sebenarnya bila gadis itu tiba-tiba saja membuat keputusan untuk berkahwin di usia yang masih muda.

Sangat muda sebenarnya! Belajar pun belum tamat lagi! Tak menyabar sungguh! Gatal!

"Serius sangat-sangat." Yakin Wafa menjawab. Kepala disertakan dengan anggukan berkali-kali.

"Yakin ke dia boleh bahagiakan kamu?"

Soalan itu buat Wafa terdiam untuk beberapa ketika. "Mungkin." Kali ini, dia ragu-ragu dengan jawapan sendiri. Memang patut pun dia ragu-ragu sebab hati dan budi lelaki itu pun dia belum kenal sepenuhnya lagi. Setakat ini, elok. Suatu hari nanti, tak mustahil boleh jadi tak elok.

Manusia kan tak tetap sikapnya.

"Papa tak suka jawapan tu, Wafa. Kalau tak yakin, jangan kahwin. Papa tak nak tengok anak bongsu papa ni terluka lagi," tegas Tuan Wazif. Bukan dia sengaja mahu mengungkit kisah lama, dia cuma tidak mahu kalau perkara yang sama berulang kembali. Cukuplah sekali!

Cukuplah sekali dia rasa gagal menjadi seorang bapa.

"Memanglah Wafa tak yakin sebab Wafa tak tahu jalan hidup Wafa selepas ini macam mana. Hati manusia ni macam musim, papa. Berubah-ubah. Kalau Wafa ditakdirkan untuk dicurangi sekali lagi, mungkin itu juga adalah satu ujian untuk Wafa." Tenang Wafa membalas. Penuh reda nada suaranya.

Cinta SejatiWhere stories live. Discover now