SEPERTI yang diduga Aryan, sarapan pada pagi itu meriah dengan pengawal-pengawal peribadi yang dibawa Zayn dari Malaysia. Dia pun tak tahu mengapa Althaf mengupah pengawal peribadi seramai ini. Dia rasa, empat hingga lima orang pun sudah lebih daripada cukup setakat mahu mengiringi Wafa ke sini. Terlebih protektif dah adik dia ni!
"Kalau tak cukup, tambahlah lagi. Banyak aunty masakkan untuk korang." Senyuman Puan Lisa paling menyerlah ketika itu. Gembira apabila semua tampak berselera menikmati air tangannya.
"Baik, aunty."
"Althaf dengan Zayn mana, Aryan?" Mata Puan Lisa mengelilingi ruang. Mencari kelibat dua lelaki itu untuk diajak bersarapan. Namun, tidak kelihatan.
Aryan mengangkat kedua belah bahu, serentak. "Tak tahulah, mommy. Tadi ada dekat ruang tamu." Kedua biji mata Aryan turut melingas ke sekeliling. Manalah tahu kalau Althaf dan Zayn terkepit di celahan bodyguards yang bertubuh sasa itu.
"Aryan tengokkan tetamu, ya? Mommy nak ajak mereka berdua makan. Mereka aje yang tak sarapan lagi ni."
"Mommy, biar Aryan yang pergi cari dia orang. Lenguh lutut mommy nanti," pelawa Aryan. Tubuh mommy yang sedang berdiri itu dipaksa untuk duduk di atas kerusi.
Puan Lisa hanya mengangguk sembari mengukir senyuman di bibir. Bersyukur tidak terkata apabila dapat melahirkan anak yang baik budi pekertinya.
Segelas air masak sempat diteguk sebelum Aryan mempamitkan diri untuk ke tingkat atas.
"Zayn!" Pintu bilik sendiri dibuka. Kepala terjengul sebelum kedua biji mata melingas ke segenap ruang. Ingatkan Zayn kembali ke bilik dan menyambung tidur. Tapi dia silap. Dia bergerak ke bilik sebelah pula.
"Thaf!" Pintu bilik tidur Althaf diketuk dulu. Beberapa saat menunggu, muncul Wafa yang sedang melapikkan tuala di atas kepala, menggantikan tudung. Mata adik iparnya yang memandang kelihatan layu. Sekejap tertutup. Sekejap terbuka. Mengantuk sangatlah tu!
"Althaf ada tak dekat dalam?"
Wafa gelengkan kepala. "Abang Althaf cakap dia nak sambung buat kerja tadi. Dalam bilik kerja dia la kot sekarang." Wafa sudahi bicara dengan menguap. Sempat ditutup mulut dengan belakang tangan. Tidak mahu Aryan melihat perangai tidak senonoh dia.
Aryan tergelak kecil. "Okey, terima kasih, Wafa. Pergilah sambung tidur."
"KITA perlukan bukti yang kukuh dan saksi yang betul-betul boleh dipercayai untuk bawa kes ni ke mahkamah, Thaf. Dan, bukannya senang untuk cari semua itu. Apatah lagi bila sudah tiga tahun berlalu."
Suara Zayn membantutkan niat Aryan untuk terus membuka pintu. Telinga dilekapkan pada muka pintu. Mahu mencuri-curi dengar perbincangan dua manusia itu.
"Aku... dah ada bukti." Suara Althaf dengar tidak dengar saja. Bagai takut untuk memberitahu perkara itu kepada Zayn.
"Bukti apa yang kau ada? Macam mana kau boleh dapat?" Suara Zayn kedengaran seperti tidak percaya. Ya la, benda dah lama berlalu. Mestilah susah untuk mencari bukti yang benar-benar kukuh.
"Aku dah ada bukti tu sejak tiga tahun lalu. Aku cek setiap CCTV yang ada dekat tempat kejadian."
Menerima pengakuan itu, terus Aryan memulas tombol pintu dan masuk ke dalam. Wajah Althaf yang terkejut itu dicerlung setajam-tajamnya. "Kau gila, ke? Baru sekarang kau beritahu?" Nadanya sedikit meninggi.
Zayn terus mengunci mulut sebaik melihat Aryan yang tengah berang itu. Baru dia nak hambur tadi, tapi Aryan dah mencelah dulu. Alhamdulillah, jimat air liur dia.
"Kau sepatutnya serah bukti tiga tahun lalu, Althaf Zaiden. Masa kes ini masih dibuka dan dalam penyiasatan pihak polis!" Berombak kasar dada Aryan ketika itu. Benar-benar marah dengan Althaf. Kenapalah suka berahsia sangat? Tengok, ramai orang yang kena tempias dari tindakan bodoh Althaf!
YOU ARE READING
Cinta Sejati
RomanceIkatan perkahwinan yang terjalin tanpa merantaikan cinta, tidak mudah bagi pasangan itu hendak mengekalkan kekukuhan rumah tangga. Lagi-lagi apabila sebelah pihak masih tidak sudah dengan masa lalunya. "I already have my own girl to spend my love fo...