𝐀𝐋𝐓𝐀𝐅 | 𝐄𝐈𝐌𝐀 - 69

14K 1K 197
                                    

Altaf masuk ke sebuah ruangan yang menempatkan anak keduanya. Dia turut ditemani oleh seorang jururawat wanita yang telah ditugaskan untuk menguruskan si adik.

Melihat si kecil yang sedang dibuai lena, segaris senyuman terukir di bibir merahnya. Dalam tidak sedar, perasaan sebak mula hadir disulami dengan kebahagiaan. Serupa seperti waktu pertama kali dia melihat Eisar.

Altaf menunduk sedikit melihat si kecil di dalam inkubator itu. Meskipun lahir dalam keadaan pramatang, si adik lebih sihat dan berat berbanding abang.

Sejenak, senyumannya kin melebar. Benarlah tanggapan Eima. Adik gemuk!

"Alhamdulillah, Tuan. Walaupun dilahirkan dalam keadaan pramatang, bayi tetap sihat," kata jururawat tersebut. Dalam diam, dia turut kasihan akan nasib yang menimpa Altaf itu.

Setelah diarahkan oleh jururawat, Altaf mengangkat si kecil ke dalam pangkuan. Tubuh dihadapkan ke arah kiblat lalu mengalunkan azan serta iqamat. Sesekali kedengaran tenggelam suara garau dan dalam itu. Sedih dan terharu.

Setelah itu, Altaf ditinggalkan oleh jururawat itu. Memberi ruang kepadanya untuk bersama dengan si kecil memandangkan ini kali pertama mereka ditemukan.

"Assalamualaikum, adik..." rendah suara husky itu mengucapkan salam.

Iris hitam pekat miliknya menjamah segenap wajah si kecil itu. Jika si abang, Eisar itu serupa dengannya, maka si adik sebaliknya. Wajah itu amat persis dengan Eima. Lebih-lebih lagi pipi tembam kemerahan serta bibir sejemput itu.

Tindak balas akan salamnya itu, si adik menggeliat perlahan. Turut terletus bunyi si kecil yang sungguh merdu menyapa sistem pendengaran. Tatkala itu, Altaf turut perasaan akan kedua belah lekuk yang terhasil di sebelah juring bibir si kecil itu.

"Comelnya awak, adik. Macam ibu."

Mendengar komen itu, sebuah senyuman kecil terlorek di bibir merahnya sehingga Altaf yang melihatnya sudah terpana. Memang mini Eima sungguh. Pantang dipuji!

Belum sempat jari telunjuk Altaf singgah di pipi kemerahan itu, tiba-tiba jarinya digenggam. Altaf tersenyum sayu. Kecil sahaja genggaman itu. Setiap perbuatan si adik, amat mengingatkannya akan si abang pula. Hanya dia yang berinteraksi dengan Eisar.

Meskipun Tuhan telah tarik sesuatu yang berharga dalam hidupnya, Altaf tetap perlu bersyukur. Kerana dia masih ada bayi kecil di hadapannya. Begitu ajaib kerana dalam tidak sedar, anak perempuannya ini sedang merawat luka di hatinya.

"Pandai ya adik sorokkan abang, tak nak bagi ibu dan ayah tahu..."

Sekali lagi si kecil itu menggumam seolah-oleh tertawa apabila dimarah. Meskipun Altaf turut tersenyum, kesayuan yang dia rasakan tidak memudar. Entah si kecil ini tahu ke tidak bahawasanya si abang sudah tiada.

"Terima kasih, adik. Selalu ada dengan abang dan temankan abang untuk ayah dan ibu selama ini..." ucap Altaf lirih sembari dahi si kecil itu dia kucup lama. Haruman yang menerjah rongga hidungnya, mengingatkannya akan Eisar. Lagi.

Hakikatnya, Altaf harus biasakan diri. Kerana dia cukup tahu bahawa dia akan terus teringatkan anak pertamanya setiap kali memandang anak perempuannya ini.

Altaf hanya kekal diam. Banyak aksara yang ingin dia tuturkan, tetapi lidahnya kelu dihimpit sebak yang tiada tanda untuk beransur hilang.

"Sabar ya, adik? Nanti ayah bawa adik jumpa ibu. Ibu... Ibu tak sabar sangat nak jumpa adik..." Altaf telan liur payah. Sekali lagi kerongkongnya tersekat. Menahan tangisan. Sesungguhnya dia tidak mahu menangis di hadapan anak perempuannya.

Tetapi macam mana dia mampu kekal tenang sedangkan setiap memorinya bersama Eima terbayang-bayang di fikiran.

"Ayah minta maaf. Ayah tahu ayah terlambat. Ayah tak sempat beritahu abang. Jadi ayah beritahu dekat adik, ya?" Altaf pejam mata lalu menghembuskan sebuah keluhan panjang. Anak perempuannya dipandang lama.

ALTAF'S SAVIOURWhere stories live. Discover now