Pantulan wajah sendiri pada cermin dipandang kosong. Anak mata hitamnya ditikam sayu. Birai sinki digenggam kemas sehingga urat lengan gagahnya timbul. Kuyu kelopak matanya jatuh semedang setiap patah perkataan yang keluar dari mulut Doktor Zubaidah pagi tadi bermain di telinga seperti kaset yang rosak.
Keadaan Eima makin merosot. Dua hari yang lalu Eima mengalami kadar penurunan oksigen secara mendadak. Oleh kerana itu, wanita itu terpaksa disambungkan dengan alat bantuan pernafasan. Dan Altaf rasa dunianya nyaris kelam tatkala dia dihentam oleh sebaris ayat yang membawa erti dia perlu bersedia melepaskan wanita kesayangannya itu.
Perlahan-lahan Altaf angkat tapak tangannya lalu meraup wajah sendiri. Bibirnya meligih, tangannya gementar hebat, dan dadanya berdegup kencang. Keadaan dirinya sekarang? Usah dibahas. Sejenak Altaf hampir lupa akan perasaan ini. Walhal, apa yang dia hadapi ini adalah perkara normal buatnya. Tetapi kehadiran Eima telah buat Altaf lupa akan segala seksaan dunia yang telah dia lalui sebelum ini.
Tidak mahu terus hanyut dalam kepiluan yang tiada tanda beransur hilang, Altaf masuk ke dalam surau hospital yang telah menjadi salah satu antara tempat persinggahannya kebelakangan ini.
Sejadah dia damparkan di atas tikar surau. Wajah diraup sekali lagi seiring dengan segala kerusutan dalam diri dia cuba ketepikan pada waktu itu. Kerana dia perlu kembali pada Yang Maha Esa.
Seusai menunaikan solat, Altaf mendapat sedikit ketenangan. Dia kekal berteluku di atas sejadah sembari bibirnya tidak henti-henti mengucapkan bait-bait kepujian pada Yang Satu.
Kedua belah tangan ditadahkan ke langit.
"Ya Allah, Asy- Syaaafii, Yang Maha Penyembuh, dalam sunyi malam yang gelap ini, hatiku dirundum oleh rintihan yang tiada hentinya merenung akan isteriku yang kini terpisah oleh keadaan yang tak terduga ini. Setiap hembusan nafasku dipenuhi dengan kerinduan yang mendalam akan kehangatan pelukannya, senyumannya, dan setiap kata-katanya yang penuh dengan kelembutan. Segala itu, mengukir sebuah kisah kasih yang tak ternilai di dalam hidup ini. Dalam ketiadaan bidadari kirimanMu itu, aku merasakan kekosongan mendalam, yang menggugah akan kelemahan dan keterbatasanku sebagai manusia. Nur Eima..."
Altaf berhenti sejenak. Kata-katanya bagai dicuri. Saat sebaris nama cantik tersebut meniti di bibir, perasaan sebak kian menghurung diri. Sungguh dia sedang bertempur dengan diri sendiri untuk meneruskan setiap bait yang hendak diungkap dan dipinta.
"... adalah anugerah terindah dalam hidupku dan juga kekuatan yang menguatkan setiap langkah untuk menempuhi segala belenggu hidup yang sementara ini. Wanita itu merupakan salah satu bentuk anugerah terindah yang pernah engkau hadirkan dalam hidup ini. Terlampau indah sehingga diri ini alpa bahawa kehadiran dan kasih sayangnya adalah sekadar satu bentuk pinjaman yang Engkau berikan padaku, ya Allah."
Kelopak matanya jatuh. Pada saat itu, dia dapat rasakan beberapa titisan mutiara jernih kian jatuh menodai segenap roman tampannya. Tapak tangannya yang terbuka luas itu turut meligih hebat.
Altaf lupa. Segala kebahaagian yang dia rasakan sepanjang setahun ini adalah merupakan salah satu bentuk kasih yang sekadar pinjaman daripada Yang Maha Esa. Kasih sayang Eima, perhatian Eima, setiap kata-kata Eima yang memujuk dirinya adalah antara kasih Tuhan kepadanya.
"Engkau yang Maha Mengetahui segala-galanya, Engkau juga mengetahui betapa besar dan dalamnya rasa kasih sayang serta cintaku kepadanya. Engkau juga mengetahui betapa sukarnya buatku untuk menghadapi ujian ini, untuk menemui ketenangan di dalamnya. Setiap detik yang berlalu tanpa kehadirannya terasa seperti satu abad yang panjang. Dalam ketiadaannya, aku belajar untuk berserah kepadaMu sepenuhnya, menerima bahawa setiap detik yang kami miliki bersama adalah satu kurniaan yang tidak ternilai dariMu."
YOU ARE READING
ALTAF'S SAVIOUR
RomanceNur Eima X Syed Altaf Qhadi Tolong jangan baca❗️ Sinopsis tak ada. Author dia tak reti nak karang sinopsis. Entah apalah dia ni reti pun tak tahu 🤷🏻♀️