Setahun kemudian..
Bunyi ketukan pada pintu bilik mengalih tumpuan Bella yang sedang mengenakan tudung bawal di kepalanya. Kelihatan wajah mama terjengol di muka pintu.
"Bella, dah siap belum? Baba dah tunggu dekat bawah tu. Nanti kita lambat pulak nak sampai rumah auntie Aisyah tu"
"Kejap mama. Tinggal nak atur tudung lagi ni. Nanti Bella turun. 2 minit okay" Bella tayang sengih.
"Hǎo, bié tuō tài jiǔle (Okay, jangan lama sangat)" Pesan Puan Jia lagi sebelum dia menutup daun pintu.
Petang ini, Bella sekeluarga akan ke rumah Puan Aisyah, merangkap kawan baik mama dia sendiri untuk menyambut hari jadi cucu sulung Puan Aisyah. Mama dan Puan Aisyah baru je berkawan rapat sejak setahun ni selepas mereka kenal dalam satu majlis keramaian Minggu Wanita. Hmm, cepat je dua orang wanita ni jadi kawan baik ye. Dan hari ini, pertama kali Bella mahu mengikut mama dengan baba untuk hadir ke majlis-majlis keramaian. Dan ini juga adalah kali pertama dia akan berjumpa dengan Puan Aisyah yang selalu mamanya ceritakan. Puan Aisyah yang baik, Puan Aisyah yang lemah lembut. Dan dia tidak sabar mahu berkenalan dengan wanita itu nanti.
Selama setahun dia cuba mengubati hatinya sendiri. Kecewa dalam percintaan, sementelah lagi bila berita pertunangan Eijaz dan Yasmin sampai ke telinganya, makin menambahkan parah pada lukanya yang cuba dilupakan hampir setahun lamanya.
Dan dia juga langsung tidak mahu menghadirkan diri ke majlis pertunangan Eijaz dan Yasmin 2 bulan yang lalu. Mama dengan baba la yang paling banyak memujuk dan menceriakan hari-harinya yang terasa sendu. Biarpun baba sangat marah dengan Eijaz, tapi baba redha untuk terima yang Eijaz memang bukan lelaki terbaik untuknya. Baba selalu berpesan, selalu percaya pada jodoh yang dah Allah aturkan. Inshaallah nanti pasti akan ada lelaki yang benar-benar tulus dan setia menyayangi dirinya.
Hari ini, dia tekad mahu melupakan semua kekecewaan itu. Tak guna untuk dikenang lagi. Hidup harus diteruskan seperti biasa. Lelaki yang dia sayang sudah menjadi milik wanita lain biarpun dia tahu Yasmin memang main kotor untuk mendapatkan Eijaz. Tapi kalau Eijaz tak melayan, benda tu tak akan jadi. Ternyata Eijaz bukan lelaki yang setia pada cinta. Mudah goyah dan tidak mampu untuk mempertahankan hubungan mereka. Terlalu mudah tergoda dan membiarkan dirinya digoda oleh perempuan seperti Yasmin.
Dan semenjak itu juga, hubungan Bella dan Yasmin bertambah buruk dan semakin renggang. Mak long pula kalau ke rumah, tak sah kalau tak sakitkan hati mama. Baik tak payah datang kalau macam tu. Tapi mama, tetap layan mak long dengan baik walaupun mulut mak long sangat berbisa bila bercakap dengan mama. Bella kasihan tengok mama. Bertahun-tahun menghadap kebencian mak long sampai ke hari ini, dan dia turut terkena tempias kebencian mak long sekali.
Mak long pula langsung tiada rasa bersalah bila anaknya sudah merampas Eijaz dari dirinya. Bangga lagi adalah bila Yasmin berjaya memiliki lelaki hebat seperti Eijaz. Bella tahu, mak long memang sengaja hendak merosakkan kebahagiaannya kerana hati mak long memang takkan pernah puas hendak mengenakan keluarga mereka.
Selesai mengenakan tudung bawal, Bella menyembur sedikit minyak wangi ke pergelangan tangan dan tubuhnya. Cukuplah sekadar untuk dihidu oleh dirinya sahaja. Nafas panjang dihela sebelum dihembus perlahan. Kalaulah ditakdirkan dia bercinta lagi selepas ini, dia tidak akan pilih lelaki yang ada rupa, kerana bagi dia lelaki yang ada rupa itu tidak tahu erti setia. Lelaki ada rupa itu sentiasa merasakan diri mereka menjadi perhatian, dan mulalah nak berlagak dan mendabik dada.
Tak apalah kalau dia dapat jodoh lelaki muka tak berapa nak kacak pun, yang penting hati yang baik, ikhlas dan setia pada cinta. Hanya itu yang dia mahu. Dia tidak mahu kecewa dan terluka berkali-kali. Tas tangan dicapai dan dia melangkah keluar dari bilik.
YOU ARE READING
Dear Mr Mask - Ebook (Full Version)
RomanceAdi Akashah, kehilangan isteri tercinta dalam satu kemalangan, telah menjadikannya seorang lelaki yang hidup dalam jiwa yang mati. Menyalahkan diri sendiri sebagai punca kematian isterinya, dia telah nekad untuk tidak membenarkan cinta hadir lagi k...