Siling adalah benda pertama yang menyapa korneaku sebaik sahaja aku buka mata. Aku menguap menahan kantuk yang masih bersisa walaupun sudah tertidur lama. Aku tutup mulut yang terbuka luas itu dengan belakang telapak tangan. Badan agak terasa lenguh dan pegal gara-gara banyak mengerah tenaga dan otot untuk jayakan majlis pertunangan Hanis semalam.Aku pandang kiri dan kanan cuba mencari telefon pintarku yang terdampar entah di mana. Gagau sana sini baru jumpa. Ada terselit di bawah bantal. Aku tekan punat on untuk melihat waktu sekarang. Aku rasa dah nak masuk tengah hari. Tapi bila skrin telefon menyala, aku dikejutkan dengan notifikasi panggilan tak berjawab daripada Eton.
Aku yang masih terpisat-pisat itu terus mengerutkan muka. Ada apa Eton telefon aku banyak kali. Sampai lima panggilan tak berjawab. Pelik, aku terus dail nombor Eton.
"Salam Ton, ada apa call aku banyak kali?" Soalku langsung setelah panggilan bersambut.
"Wassalam my sweet Aileen. Kau pergi mana baru nak call aku balik?"
Kening aku hampir bercantum bila Eton tiba-tiba panggil aku sweet Aileen. Dah buang tabiat ke kawan aku sorang ni. Tak pernah-pernah panggil aku sweet Aileen. Semalam Eim pun panggil aku sweet Aileen juga. Dia orang berpakat ke apa?
"Aku baru bangunlah. Penat semalam tak habis lagi."
"Memandangkan kau baru bangun tidur dan suara kau pun masih tenang setenangnya. Mesti kau tak tahu lagi. Sebagai kawan kau yang baik, biar aku jelah yang bagi tahu kau. Tahniah, kau dah viral Nur Aileen. Maksud aku, kau dengan Abang Eim dah viral. Hashtag my sweet Aileen."
Dapat aku tangkap suara Eton sedang gelak. Hah? Aku viral? Kenapa pula? Aku ada buat benda bodoh atau memalukan ke semalam? Biasanya dua perkara itu sahaja yang akan cepat menular di laman media sosial.
"Kau jangan nak bodoh-bodohkan aku eh Eton? Kenapa pula aku nak viral? Aku buat apa?"
"Kau tak percaya kan? Nanti aku send link dekat kau."
Selepas Eton cakap macam tu, terus panggilan terputus. Seminit kemudian ada beberapa link yang masuk dekat Whatsapp aku. Laju jari mengesek skrin telefon. Cepat-cepat aku menekan pautan yang dihantar Eton. Pautan satu video Tiktok dari akaun rasmi Hanis. Aku dah tak sedap hati bila tengok video yang bermula dengan rakaman persembahan Jay semalam.
Beberapa saat kemudian rakaman video itu beralih kepada arah aku dan Eimran di mana Eimran tolak muka aku suruh pandang dia dengan hujung sudu. Bahagian di mana Eimran menyebut 'Eyes on me, my sweet Aileen' juga turut terakam dalam video Tiktok yang berdurasi lebih kurang seminit itu.
Oh. My. Goodness!
Laju aku buka ruang komen. Rata-rata komen positif. Nasib baik juga. Boleh murung kalau ramai yang mengecam. Majoriti yang tinggalkan komen mengatakan yang mereka suka dengan panggilan my sweet Aileen itu. Bebola mata mula bergerak-gerak membaca komen-komen yang ditinggalkan.
YOU ARE READING
One Sweet Mistake [TERBIT]
RomanceDalam hidup Nur Aileen, masalah dia cuma satu. Aunty Nora. Mak cik kesayangannya itu tak henti-henti aturkan blind date buatnya. Untuk mengelak, Aileen minta Eton yang pandai melukis untuk wujudkan seorang 'boyfriend jadian' untuknya. Tapi tanpa Ail...