Syed Fyad meletakkan Syed Faiq perlahan-lahan ke atas sofa. Syed Faiq mengaduh sedikit apabila tangannya yang masih sangat cuba menghalang tubuhnya daripada terus duduk. Bukan sahaja belakang badannya sakit, siku kirinya juga terhentak kuat pada lantai dan berasa sakit. Memang kuat tolakan daripada Alliya, silapnya juga kerana langsung tidak teringat akan trauma yang dihadapi gadis itu.
"Kau nak pergi klinik ke?" Syed Fyad menyoal risau apabila terdengar adiknya mengaduh sakit. Dia tahu pasti kuat sekali tolakan Alliya, jika tidak tak akanlah tubuh Syed Faiq yang lebih tegap berbanding dirinya itu boleh terjatuh ke belakang.
Dia juga dapat merasakan tolakan Alliya ketika gadis itu menolak isterinya.
"Sikit je ni. Aku ok." Syed Faiq menilik sedikit bahagian sikunya, ada sedikit lebam.
"Dia kenapa?" Hairan Syed Fyad apabila Alliya sanggup menolak Syed Faiq sekuat itu. Dia tahu gadis itu menghidap depression, tetapi dia tidak menyangka gadis itu akan menolak Syed Faiq sekuat itu.
Syed Faiq mengangkat kepala dahulu, mengabaikan sakit pada belakangnya yang kian mencucuk.
"Dia trauma. Silap aku tak terfikir langsung tentang itu, tak sangka dia akan..." Kata-kata Syed Faiq terhenti apabila tulang belakang semakin sakit. Lantas tangan kanannya diletakkan pada tulang belakang.
"Aduh." Syed Faiq sudah tidak mampu bertahan. Tulang belakangnya benar-benar sakit ketika ini.
"Kau sakit ke? Kita pergi hospital." Kelam-kabut Syed Fyad dibuatnya. Dipegang sisi tangan Syed Faiq.
"Tak payah. Sikit je ni." Sedaya-upaya Syed Faiq cuba menolak, walaupun belakangnya benar-benar sakit. Dia sendiri tidak dapat menggerakkan badannya. Dia tidak mahu tinggalkan Alliya. Gadis itu masih belum stabil.
"Sikit apanya, tulang belakang kau tahu tak? Boleh lumpuh. Aku bawa kau pergi hospital." Syed Fyad berdiri dahulu sebelum menghulur tangan untuk memapah Syed Faiq.
Syed Faiq tidak menyambut huluran.
"Tapi Alliya..." Belum sempat Syed Faiq berkata, laju sahaja dipotong oleh Syed Fyad. Dia risaukan isterinya.
"Diorang ada jaga dia. Fikir pasal diri kau dulu Faiq, kalau kau sendiri sakit macam mana kau nak jaga isteri kau?" Tanpa menunggu, Syed Fyad terus memapah Syed Faiq. Jika lambat dia risau akan melarat. Hentakan kuat tadi tidak boleh diabaikan.
.
.
.
Pintu bilik dibuka perlahan-lahan sebelum kepala dijengul keluar memandang kiri dan kanan. Hairan Alliya dibuatnya, rumah sunyi sepi. Selalunya pasti rumah ini meriah dengan suara Damia. Kepala yang terasa pening dibiarkan. Selepas kejadian dia meracau sebentar tadi, Alliya tidur agak lama. Rania sengaja membiarkan Alliya berehat. Dia mahu Alliya betul-betul tenang.
Kaki melangkah keluar sebelum berjalan ke dapur. Lega Alliya apabila melihat Rania sedang memasak dan Damia berada di floating table, tengah tekun mewarna.
"Alliya." Rania berpusing menghadap Alliya apabila mendengar derapan kaki masuk ke dapur.
Alliya senyum dahulu. Sebenarnya dia masih segan dengan Rania memandangkan dia menumpang di rumah Rania dan Syed Fyad.
"Hai akak." Damia sengih dahulu kepada Alliya sebelum kepala kembali ditundukkan. Sekejap sahaja dia memandang Alliya sebelum kembali tekun mewarna.
"Alliya nak makan? Kejap lagi kita makan bertiga." Rania berpusing dahulu sebelum mengambil tomato yang sudah dipotong lalu dimasukkan ke dalam periuk.
Dahi Alliya berkerut.
"Bertiga? Mana yang lain akak?" Alliya menyoal hairan.
"Diorang tak ada. Keluar."
"Faiq sekali?" Jarang Syed Faiq meninggalkannya sendiri.
Rania diam seketika. Dibiarkan sahaja soalan Alliya sebelum dia menutup api dapur apabila tomyam yang dimasaknya sudah siap. Perlahan-lahan Rania berpusing sebelum berjalan ke arah Alliya.
"Faiq dekat hospital." Perlahan sahaja suara Rania. Naik risau dia dibuatnya apabila melihat riaksi Alliya.
"Hah? Kenapa? "
Rania diam. Dipandang wajah Alliya. Benar apa yang dia rasakan.
"Akak, kenapa Faiq dekat hospital?" Alliya menyoal kembali. Tidak berpuas hati apabila Rania tidak menjawab soalannya.
"Alliya tak ingat apa jadi tadi?" Rania menyoal dahulu. Diperhatikan tindak tanduk Alliya.
Alliya berfikir sejenak. Dia tahu yang dia meracau sebelum dia tidur, tetapi apa yang berlaku langsung dia tak ingat.
Alliya menutup mata, cuba untuk mengingati dengan lebih jelas, akan tetapi kepalanya tiba-tiba sahaja berasa sakit.
Tangan naik mengurut dahi.
"Alliya, jangan paksa diri." Kelam kabut Rania dibuatnya apabila melihat Alliya seperti kesakitan. Laju sahaja kaki melangkah ke arah Alliya.
"Saya tahu saya meracau tadi, tapi saya tak ingat apa yang jadi." Alliya betul-betul tak ingat. Dia seolah-olah tidak sedarkan diri waktu itu.
Rania terdiam seketika. Dalam diam dia menahan sebak. Dia tahu apa yang terjadi pada Alliya. Keadaan mental Alliya sekarang semakin teruk.
Rania tarik nafas dahulu sebelum cuba untuk senyum.
"Tak apa, kejap lagi Abang Fyad balik, kita pergi tengok Faiq." Rania mengusap lembut bahu Alliya.
"Akak tak nak bagitau saya ke?" Alliya mula berasa tidak sedap hati. Pasti sesuatu yang buruk terjadi kepada Syed Faiq.
"Nanti Alliya tahu."

ANDA SEDANG MEMBACA
Mrs Monseiur Revamp
Любовные романыKisah silam telah menghantui Alliya. Walapun sudah bertahun, dia tidak mampu sembuh daripada tekanan yang dialami. Semakin lama semakin parah apabila lelaki itu muncul semula. Segala bayangan gelap kembali mengganggu dirinya. "Saya nak berkawan deng...