Bahagian 4

159 18 0
                                        

"Terima kasih sebab dah tolong ayah saya tadi," luahku tatkala hampir setengah jam kami berdua sekadar diam membisu di ruang beranda luar ini.

Dia yang duduk di anak tangga paling atas sekadar membalas ucapan penghargaan aku dengan anggukan faham. "Abidzar. Awak boleh panggil saya, Abid."

Terdiam aku seketika setelah dia memulakan sesi perkenalan pula. Sememangnya sedari tadi aku tertanya-tanya siapa gerangan lelaki asing ini, cuma tidak jangka dia yang memperkenalkan dirinya terlebih dulu.

"Nama awak?" dari duduk, Abid berdiri. Tepat tubuhnya menghala ke arahku yang masih setia berdiri di sebelah tiang seri beranda ini.

Aku betulkan anak tekak, berura-ura mahu membalas soalan Abid tetapi belum sempat sepatah kata dapat dizahirkan, nada dering panggilan telefon memecah kesunyian ruang yang baru menjengah tadi.

Abid keluarkan telefon dari saku seluar, tanpa melihat skrin depan laju dia menjawab panggilan yang diterimanya itu.

Tiada apa-apa yang dibualkan. Malah hampir kaku dan diam riak wajah Abid setelah badan telefon melekap dekat pada cuping telinga kirinya.

Sesekali dia memandang ke arahku. Itupun aku cepat-cepat mengalih pandangan setelah terasa perbuatan aku memerhati perilakunya yang sedang menjawab panggilan itu bukanlah satu tindakan yang sopan.

"Ya, baru sampai."

Aku masih cuba memacu fokus ke arah sepanjang jalan masuk ke pekarangan rumah ini. Sekadar memerhati mana-mana kawasan laluan yang berjaya diterangi lampu jalan.

"Apa nama kampung ni?"

Tersentak dengan soalan yang nadanya seperti diaju terus kepadaku, laju aku memanah pandangan ke wajah Abid semula. Soalan yang sama dia ulangi apabila aku masih cuba menghadam pertanyaan awalnya itu.

"Kampung Danau," balasku. Mustahil untuk aku katakan Abid ini berasal dari kampung sini mahupun kampung sebelah. Pasti orangnya dari kawasan luar. Orang bandar mungkin. Yelah, kereta yang dia pandu itupun bukanlah kereta yang biasa orang kampung sini mampu miliki.

"Ya, faham. Baik."

Talian dimatikan sebelum aku dapat menangkap keluhan lemah kedengaran dari bibir Abid. Lebih-lebih lagi riak wajahnya sedikit berubah. Seolah-olah panggilan tadi bukanlah panggilan yang disenanginya.

"Hidup ini akan rasa susah kalau kita yang asyik kena jaga hati dan perasaan orang lain," luahnya bersahaja.

Terpempan aku mendengar, seketika. Ayat Abid tak ubah seperti ayat ayah. "Tapi, kita tak boleh pentingkan diri sendiri juga," celahku.

Dari riak mencuka tadi, Abid tersenyum nipis. Bola matanya melintas pada wajahku seketika sebelum dia angguk seolah-olah setuju dengan kata balasku tadi.

Tidak lama kami saling berbalas pandangan apabila deruman enjin kereta mencelah kesunyian lewat malam ini. Setibanya kenderaan itu di ruang pekarangan, aku sudah dapat meneka gerangan pemandunya siapa.

Turun sahaja Abang Rushdi dari tempat pemandu, sapaannya singgah ke arah Abid terlebih dahulu. "Abang ingat kau dah tersesat ke mana tadi," suaranya dengan nada gurauan.

Abid segera turun ke tanah. Didakap tubuh Abang Rushdi sebelum perbualan mereka berdua sukar untuk aku mencuri dengar. Melihat kemesraan Abang Rushdi dengan Abid, aku fikirkan pasti mereka sudah lama mengenali antara satu sama lain.

"Ayah Nami macam mana?" soalan Abang Rushdi menarik perhatian aku kembali ke arah di mana mereka berdua saling berdiri itu. Kali ini riak runsing terpamer jelas pada wajahnya pula.

"Ayah dah masuk berehat tadi. Mungkin ayah terlebih penat hari ni." Aku tidak pasti jika alasan yang ayah berikan itu adalah jawapan yang terbaik bagi menjawab soalan Abang Rushdi. Tapi, aku tetap berharap ayah akan jujur dengan aku mengenai kesihatannya selepas ini.

Abang Rushdi hanya mengangguk faham. Fokusnya kembali ke arah Abid yang masih membelakangi aku ketika ini. Entah apa yang mereka bualkan tetapi daripada riak wajah Abang Rushdi, topik perbualan mereka pasti perkara yang cukup serius ketika ini.

Dari berdiri lama di beranda itu, aku mula menapak masuk ke ruang dalam. Meninggalkan Abang Rushdi dengan Abid di halaman bawah. Sebelum masuk ke bilik tidur, sempat aku mengintai ke ruang kamar ayah. Melihat ayah sedang nyenyak tidur, aku teruskan langkahan. 

NAMITempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang